UKM-99 Speedmart Bekerjasama Tingkatkan Kualiti Graduan dalam Keusahawanan


Oleh Engku Shariful Azni
Foto oleh Shahiddan Saidi

KLANG, 22 Jun 2018 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Fakulti Ekonomi dan Pengurusan bekerjasama dalam meningkat kualiti graduan terutamanya dalam bidang keusahawanan.

Pro Naib Canselor UKM (Strategi dan Pembangunan Korporat), Prof. Dr. Ishak Yusoff berkata kerjasama yang dibuat itu adalah sejajar dengan pelan strategik UKM yang mahu melahirkan graduan yang inovatif dan berdaya saing dalam industri.

“Kami berharap melalui perjanjian ini, pihak 99 Speedmart dapat membantu UKM untuk melahirkan lebih ramai graduan yang berjaya dalam bidang keusahawanan,” katanya semasa Majlis Menandatangai Memorandum Persefahaman (MoU) antara UKM dengan 99 Speedmart, baru-baru ini.

Beliau berkata berbekalkan kepakaran yang ada, UKM akan menawarkan modul latihan secara meluas kepada semua pekerja 99 Speedmart, selain meningkatkan dan menambah baik modul sedia ada melalui kajian-kajian yang dibuat.

Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Urusan 99 Speedmart, Lee Thiam Wah berbesar hati dengan bekerjasama tersebut dalam melahirkan graduan cemerlang dalam dunia keusahawanan.

“Dengan kepakaran yang ada daripada UKM, kami berharap UKM akan turut bekerjasama untuk menghasilkan modul latihan yang lebih baik,” jelasnya.

Menurut Thiam Wah, 99 Speedmart mensasarkan pembukaan 250 cawangan kedai di serata Malaysia pada tahun ini.

“Di setiap kedai, kami memerlukan seorang pengurus dan seorang pembantu pengurus.

“Jadi, kami akan memerlukan 500 graduan untuk mengisi kekosongan tersebut.

“Oleh itu, pihak kami sentiasa mengalu-alukan graduan daripada UKM khususnya untuk menyertai kami di 99 Speedmart,” katanya.