UKM Bakal Menerima 29 Pelajar Indonesia Kumpulan Pertama Biasiswa Gybenor NTB


Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

PUTRAJAYA, 28 Ogos 2019 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bakal menerima 29 pelajar Indonesia pada September untuk pengajian sesi akademik 2019-2020 melalui biasiswa Gubenur Nusa Tenggara Barat (NTB) ke Malaysia.

Pelajar-pelajar tersebut adalah antara 146 pelajar Indonesia yang bakal melanjutkan pengajian di lima Universiti Awam (UA) di Malaysia pada September ini dibawah tajaan biasiswa tersebut.

Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malek berkata, 146 pelajar tersebut adalah kumpulan pertama dan jumlah itu akan meningkat sehingga 500 pelajar untuk tempoh lima tahun.

“Ini adalah selaras dengan Pelan Pembangunan Malaysia Pendidikan Tinggi (PPM(PT) 2015 hingga 2025 untuk mencapai sasaran 250,000 orang pelajar antarabangsa pada tahun 2025,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Pembangunan Pendidikan (LPP) Provinsi Nusa Tenggara Barat (NTB) Indonesia dengan Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia (IPT).

Beliau berkata, MoU itu menyediakan peluang untuk pelajar berpotensi dalam kalangan rakyat NTB melanjutkan pengajian ke IPT di Malaysia.

“Ini adalah usaha produktif Malaysia dalam meningkatkan kerjasama antara kdua-dua negara dan ia bukan sahaja untuk tempoh lima tahun akan datang, tetapi untuk tahun-tahun berikutnya juga,” katanya.

Katanya, keutamaan objektif kerjasama itu adalah untuk meningkatkan bilangan kemasukan pelajar Indonesia ke Malaysia dan beliau berharap agar kerjasama tersebut akan menjadi perintis kepada kerjasama lain dengan negara rantau Asia Tenggara.

Sebanyak 18 IPT terlibat dalam MoU itu antaranya UKM, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Tenaga Nasional (Uniten).

Majlis MoU itu disaksikan oleh Dr Maszlee Malek dan Gabenor Provinsi Nusa Tenggara Barat Indonesia, Dr H Zulkieflimansyah. UKM diwakili oleh Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof Dato’ Dr Imran Ho Abdullah.