UKM Bantu UIR Indonesia Tingkatkan Kualiti Pendidikan

UKM To Aid UIR Indonesia Raise Quality Of Education

Oleh Asmahanim Amir
Foto Abd Ra’ ai Osman

BANGI, 14 Mei  2015 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan membantu  meningkatkan kualiti pendidikan Universiti Islam Riau (UIR), Indonesia.

Sehubungan itu UKM telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama UIP bagi menjalin kerjasama strategik, di sini pada 22 April.

Rektor UIR, Prof Dr H Detri Karya berkata MoU itu penting bagi universiti tersebut meningkatkan kualiti staf akademik dan juga penghasilan jurnal yang bernilai  tinggi.

“UIR mempunyai kira-kira 800 pensyarah tetap dan kontrak. Sepatutnya 20 peratus daripada jumlah itu perlu mempunyai status Dr. iaitu kira-kira 200 pensyarah, tetapi kita hanya mempunyai 56 sahaja pensyarah yang berstatus Dr.

“Sekarang ini, staf akademik kita yang sedang mengikuti pengajian di peringkat PhD (Doktor Falsafah) adalah seramai 67 orang. Jumlah itu masih belum cukup untuk mencapai 20 peratus pensyarah yang mempunyai PhD,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis tandatangan MoU tersebut.

Katanya beliau berharap agar kerjasama yang dijalankan antara mereka akan dapat membantu UIR meningkatkan jumlah pensyarah yang mempunyai kelulusan Doktor Falsafah.

“Mungkin UKM dapat bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Jakarta (KP) untuk memberi biasiswa kepada pensyarah-pensyarah yang ada supaya dapat melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi di UKM kerana biasiswa untuk melanjutkan pelajaran hanya ada di KP,” katanya.

Beliau berkata jika UKM dapat menjalin kerjasama dengan KP, ia akan memudahkan UIR mendapatkan biasiswa daripada kerajaan Indonesia dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke UKM.

Selain itu, beliau turut berharap agar kerjasama antara UKM-UIR akan dapat membantu UIR dalam meningkatkan kualiti penghasilan jurnal setaraf antarabangsa.

“Kualiti jurnal-jurnal yang diterbitkan di UIR masih lagi belum sampai ke peringkat antarabangsa dan jurnal yang dihasilkan itu masih sedikit,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi) Prof Dato’ Dr Mazlin Mokhtar berkata beliau gembira apabila mendengar tawaran daripada UIR yang menggalakkan staf akademik mengikuti pengajian di peringkat PhD di UKM.

“Saya kira itu satu penghormatan dan perlu kita fikirkan untuk mengambil peluang ini dan sama-sama membangunkan rakan-rakan kita untuk melakukan kerja-kerja penyelidikan yang lebih berkualiti,” katanya.

Beliau berkata topik-topik penyelidikan hari ini amat digalakkan supaya dapat melihat kepada isu dan masalah yang sedang didepani oleh mana-mana negara sama ada di Malaysia, Indonesia atau di Asia Tenggara.

“Masalah (kajian) itu banyak sekali, sama ada dari aspek budaya, sosial, politik dan apatah lagi dalam bidang sains dan teknologi, bencana, perubahan iklim, dan sebagainya,” ujarnya.

Prof Dr Mazlin turut mengucapkan tahniah kepada Prof Madya Dr Muhammad Rizal dan pasukan dari Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) atas kejayaan melakukan penyelidikan di Riau dan berjaya menghasilkan dua seminar berimpak tinggi di negeri Sumatera tersebut serta menghasilkan dua buah buku hasil penyelidikan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM.

“Insya-Allah kita galakkan kerjasama ini supaya dapat mengembangkan ilmu dan kalau boleh menerbitkan lagi buku-buku baru, video-video dan lain-lain kerana ini adalah satu peluang yang wajar dilakukan bersama oleh UKM dan UIR.

“Melalui kerjasama ini, insyaAllah ia akan membawa dapatan dan hasil kajian menjadi modul dan manual yang boleh dibawa ke dalam sesi latihan pembangunan  dan keupayaan profesional yang boleh menjana pendapatan kepada kedua-dua universiti,” katanya.