UKM dan Institut Karolinska Pertama Kali Jalin Kerjasama dalam Kajian Pencegahan Gangguan Kognitif dan Demensia

Oleh Asmahanim Amir

BANGI, 4 Disember 2020 – Bagi memberi kesedaran berkenaan dengan penyakit berkaitan penuaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Fakulti Sains Kesihatan (FSK) telah menjalin kerjasama buat julung kalinya dengan Institut Karolinska, Sweden iaitu sebagai sebahagian daripada The Worldwide FINGERS Trial.

The Worldwide FINGERS Trial adalah kajian Intervensi Geriatrik Finland untuk Mencegah Kemerosotan dan Kecacatan Kognitif, yang merupakan rangkaian global yang melibatkan lebih daripada 25 negara iaitu usaha pasukan antara disiplin (interdisciplinary) untuk berkongsi pengalaman dan merancang inisiatif antarabangsa bersama dalam pencegahan gangguan kognitif dan demensia.

Menurut Timbalan Naib Canselor, Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dato’ Ir. Dr. Abdul Wahab Mohammad, kerjasama yang dijalankan itu memberi pemahaman yang mendalam dalam kalangan profesional penjagaan kesihatan dan ahli akademik dari kedua-dua institusi yang akan memberi bermanfaat dalam bidang penyelidikan perubatan dan klinikal.

“Usaha sama ini sejajar dengan idea universiti untuk membina jaringan dengan industri dan menjalin hubungan baik dengan masyarakat tempatan dan antarabangsa,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian.

Sebagai institusi terkemuka di negara ini, katanya, UKM berkongsi semangat untuk memajukan pengetahuan dan berusaha ke arah kesihatan yang lebih baik seperti yang disarankan oleh Institut Karolinska.

“Kerjasama ini akan memberi laluan baharu kepada UKM dan Institut Karolinska dan saya berharap agar kita mempunyai lebih banyak program yang berkaitan dengan penyelidikan dan juga pendidikan antara kedua-dua institusi,” katanya.

Mengikut kajian terkini yang dijalankan dalam kalangan warga emas di Malaysia, lazimnya keuzuran kognitif adalah sebanyak 2.2 peratus (%). Antara peramal keuzuran kognitif adalah peningkatan usia, kekurangan vitamin D, depresi yang wujud bersama keuzuran fizikal, kemerosotan mobiliti berfungsi dan penurunan kelajuan pemprosesan.

Sebagai langkah pencegahan, kajian mendapati bahawa intervensi yang menggabungkan pelbagai komponen (pemakanan, aktiviti fizikal, kognitif, pengurusan metabolik dan vaskular) mampu meningkatkan kesejahteraan kesihatan mental dan fizikal, dan juga kualiti hidup warga emas.

Kesimpulannya, kajian ini mampu memberi impak yang besar terhadap kesejahteraan warga emas dan mengurangkan kadar demensia secara global.