UKM Dinobatkan ‘The Most Influential Innovators’ di South and South East Asia Innovation Awards

Oleh Asmahanim Amir

Foto Izwan Azman

BANGI, 25 Disember 2020 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) diumumkan sebagai penerima anugerah ‘The Most Influential Innovators’ di South and South East Asia Innovation Awards bagi kategori institusi akademik, sekali gus menjadikannya satu-satunya universiti tempatan yang mengungguli anugerah ini.

Dengan pengiktirafan tersebut, UKM berada sebaris dengan beberapa buah universiti lain seperti National University of Singapore dan Hanoi University of Science and Technology.

Pengumuman itu dibuat oleh Clarivate di Innovation Forum yang diadakan pada 18 dan19 November 2020. Forum tersebut menghimpunkan pemimpin akademik, kerajaan dan sektor industri dari segenap dunia bagi berkongsi amalan terbaik inisiatif transformasi yang memacu inovasi.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dato’ Ir. Dr. Abdul Wahab Mohammad berkata anugerah itu adalah satu pengiktiran yang diberikan oleh Clarivate kepada perubahan yang telah dilakukan oleh UKM dalam inovasi dan paten (pengkomersilan).

“UKM telah mengangkat kepentingan inovasi apabila menubuhkan Pusat Inovasi sejak tahun 2010, dan bermula dari situ kita sudah memulakan pengukuhan inovasi secara berpusat. Dariapda situ juga UKM terus menghasilkan inovasi bagi meningkatkan penyelidikan universiti ini. Kita nak mengubah inovasi ini menjadi satu budaya di UKM,” katanya.

Beliau berkata, UKM melihat penganugerahan tersebut adalah satu komponen yang amat penting dalam membudayakan inovasi penyelidikan.

“Kita akan terus meningkatkan kepentingan paten melalui salah satu syarat alternatif kepada pelajar pasca siswasah untuk bergraduat, Selain dari menghasilkan penerbitan, mereka perlu menghasilkan inovasi dan meningkatkan paten untuk pengkomersilan,” katanya.

Kriteria The Most Influential Innovators dibuat berdasarkan analisis jumlah paten (analysis of patent volume), jumlah citation (citation volume), kejayaan paten (patent success) dan tahap globalisasi (the level of globalization).