UKM Komited Tangani Isu Perubahan Iklim Melalui Jaringan Industri


Oleh Murniati Abu Karim
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 11 April 2022 – Universiti Kebangsaan Malaysia melalui Institut Perubahan Iklim menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Pantas Software Sdn. Bhd. sebagai tanda komitmen kedua-dua pihak dalam menangani isu perubahan iklim.

Menurut Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Alumni dan Masyarakat, Prof. Dato’ Dr. Norazah Mohd Nordin, jalinan ini akan membangunkan perisian untuk mengesan, mengira, memantau dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau yang dikenali sebagai Pantas-UKM Green Solutions dalam tempoh tiga tahun.

“Perisian ini dijangka akan dapat memberi manfaat kepada industri dan organisasi di Malaysia dan seterusnya rantau Asia Tenggara dalam menilai pelepasan gas rumah hijau mereka.

“Kita semua sedia maklum bahawa isu pemanasan global kesan daripada pembebasan gas rumah hijau ini merupakan isu yang harus ditangani secara bersama.

“Menyedari isu perubahan iklim yang kian meruncing, kerajaan Malaysia juga telah mengumum komitmen untuk menjadi negara neutral karbon menjelang tahun 2050.

“Sehubungan dengan itu, kerjasama strategik antara UKM dengan Pantas ini dilihat sebagai serampang dua mata apabila kedua-dua pihak akan menggembleng kepakaran masing-masing dalam membantu negara mencapai aspirasi neural karbon yang telah disasarkan.

“Kerjasama ini juga diharap mampu menjana pendapatan kepada kedua-dua belah pihak hasil daripada pengkomersilan projek ini kelak,” katanya.

Tambahnya, hasil kerjasama ini juga diharap dapat mengukuhkan lagi jaringan kolaborasi industri-akademia yang sememangnya menjadi agenda utama UKM dalam memastikan keterlibatan UKM bersama industri memberi impak yang besar kepada pembangunan masyarakat dan negara.

Perjanjian ini ditandatangani oleh Prof. Dato’ Dr. Norazah, Timbalan Pengarah Institut Perubahan Iklim Prof. Ir. Dr. Mardina Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Pantas Software Sdn. Bhd., Max Lee.