UKM Lancar 2 Buah Kenderaan Hidrogen


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 8 Mac 2022 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melancarkan dua kenderaan hidrogen yang dibangunkan melalui pengubahsuaian terhadap kenderaan elektrik oleh sekumpulan penyelidik dari Institut Sel Fuel UKM dengan kerjasama pihak industri.

Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata dua kenderaan tersebut iaitu kereta golf (bugi), UKM-FCH2B dibangunkan dengan kerjasama pihak PETRONAS, manakala kenderaan utiliti sukan (sport utility vehicle, SUV) hibrid versi mini, UKM-FCH2HC adalah kerjasama dengan syarikat Myrenergy Sdn. Bhd.

“Bugi mempunyai keunikan tersendiri kerana sumber kuasa elektrik menggunakan bateri telah digantikan dengan sistem sel fuel untuk meningkatkan kecekapan pengoperasian bugi.

“Ia juga boleh berfungsi sebagai penjana kuasa pegun berkuasa 3000 W bagi penggunaan peralatan elektrik,” katanya.

Beliau berkata kenderaan SUV pula adalah kenderaan hibrid sel fuel dan bateri dengan nisbah 0.5 yang mana setiap sumber kuasa mampu mencapai kapasiti sehingga 10 kW, membolehkan kenderaan bergerak lebih jauh dari jarak perjalanan asal.

“Sistem sel fuel ini dilengkapi dengan unit sokongan seperti pelembap dan pendingin air bagi memastikan prestasi sistem sentiasa berada dalam keadaan yang optimum,” katanya.

Selari dengan kemampuan membangunkan kenderaan sel fuel hidrogen, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan berkata Institut Sel Fuel UKM juga telah diiktiraf sebagai Ketua Program Konsortium Kecemerlangan Penyelidikan (KKP) dalam katogeri Pengangkutan dan Mobiliti oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Pelancaran kenderaan sel fuel hidrogen ini merupakan tanda sokongan dan komitmen UKM terhadap Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon (LCMB) 2021-2030 Malaysia untuk mencapai pengurangan gas rumah hijau (GHG) sehingga 45 peratus menjelang 2030 dan menjadi negara neutral karbon seawal tahun 2050.

“Hal ini selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang digariskan oleh Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu di bawah matlamat SDG ke-7, akses kepada tenaga yang mampu dimiliki dan bersih,” ujarnya.

Beliau berkata demikian di Majlis Bicara Perdana Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia 2022, di sini, hari ini. Hadir sama ke majlis itu ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak.

Pada majlis tersebut, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Pengarah menerima relika cek bernilai RM450,000 daripada Pusat Pembentukan Pendidikan Lanjutan & Profesional UKM (UKM Shape) melaui pengarahnya, Datuk Dr. Muhammad bin Hussin, (kanan) bagi sumbangan membeli kenderaan untuk kegunaan Pasukan Polis Bantuan UKM.