UKM Pakarunding Kaji Semula Cara Nilai Kualiti Udara

01
Peserta-peserta Seminar Projek Kajian Semula Indeks Pencemaran Udara dan  Ozon pada bulan Oktober di Putrajaya

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto UKM Pakarunding Sdn Bhd

16 November 2015 – Bahagian Udara, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Malaysia  melantik UKM Pakarunding Sdn Bhd bagi melaksanakan dua kajian penting iaitu Kajian Semula Indeks Pencemaran Udara (IPU) dan Kajian Pencemaran Ozon seluruh negara.

Kedua-dua kajian ini telah dimuktamadkan dan satu bengkel dilangsungkan di Putrajaya bagi memurnikan deraf laporan akhir kajian tersebut baru-baru ini,  kata Pengarah Pembangunan Perniagaan UKM Pakarunding Syamsul Amri Abd Razak.

Kata Syansul Amri projek-projek ini bersifat strategik dan berimpak polisi melibatkan pasukan khas UKM yang diketuai Prof Dr Talib Bin Latif dari Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Anggota-anggota lain dalam pasukan yang mengkaji semula IPU terdiri daripada Dr Liew Juneng (Perunding), Dr Mohd Shahrul Bin Mohd Nadzir (Perunding), Dr Md Firoz Khan (Perunding), Fatimah Pk Ahamad (Pembantu Penyelidik), Chung  Jing Xiang (Pembantu Penyelidik), Intan Suraya Binti Razak (Pengurus Projek) dan Khairul Ridzuan Bin Ya’akub (Eksekutif Projek).

“Kajian-kajian ini tidak melibatkan kerja lapangan dan tertumpu kepada bengkel, perbincangan dan penilaian desktop serta penghasilan laporan yang diperlukan pihak JAS Malaysia,” beliau menjelaskan.

Pengenalan Projek Kajian Semula Indeks Pencemar Udara (IPU)

Menurut beliau, Indeks Pencemar Udara (IPU) digunakan untuk memberikan maklumat yang cepat, tepat dan mudah difahami berkenaan status kualiti udara di sesuatu kawasan.

“Nilai IPU memudahkan orang awam untuk menentukan kualiti udara di sesuatu kawasan sama ada berada pada tahap baik, sedehana, tidak sihat, sangat tidak sihat dan berbahaya.

“IPU sedia ada dikira berdasarkan 5 pencemar udara utama yang terdapat dalam Garis Panduan Kualiti Udara Ambien Malaysia yang telah diperkenalkan pada tahun 1989, iaitu zarahan terampai bersaiz 10 mikrometer atau kurang (PM10), Sulfur Dioksida (SO2), Karbon Monoksida (CO), Nitrogen Dioksida (NO2) dan Ozon Aras Bumi (O3),” kata beliau.

Namun begitu, beliau menegaskan Garis Panduan Kualiti Udara Ambien Malaysia telah dikemaskini dan ditambahbaik kepada Standard Kualiti Udara Ambien Malaysia pada tahun 2014. Penambabaikkan ke atas garis panduan sedia ada adalah merangkumi perkara- perkara berikut :-

  1. Menambah parameter kabus halus iaitu zarahan terampai bersaiz 2.5 mikrometer atau kurang (PM5).
  2. Menetapkan had kepekatan baru bagi pencemar udara iaitu PM10, SO2, CO, NO2, dan O3. Penepatan had kepekatan ini akan dilaksanakan secara berperingkat berdasarkan kepada 3 peringkat sasaran interim iaitu interim 1 (IT-1) pada tahun 2015, interim 2 (IT-2) pada tahun 2018 dan pemakain standard sepenuhnya pada tahun 2020.
  3. Objektif Kajian Semula IPU adalah selaras dengan Standard Kualiti Udara Ambien Malaysia 2013, iaitu membangunkan metodologi pengiraan IPU baru, membuat perbandingan antara IPU sedia ada dengan IPU baru, dan mencadangkan kategori bagi status kualiti udara berdasarkan IPU baru.

Pengenalan Projek Kajian Pencemaran Ozon di Malaysia

Ozon aras bumi merupakan salah satu bahan pencemar sekunder di dalam atmosfera. Pencemar ozon aras bumi terbentuk melalui tindak balas sebatiaan organic meruap (VOC) dan nitrogen oksida (NOX) dalam kehadiran haba dan cahaya matahari. VOC dan NOX merupakan pencemar daripada pelbagai sumber seperti kenderaan bermotor, loji kimia, loji penapisan minyak, loji janakuasa eletrik dan sumber-sumber pembakaran lain.

Ozon aras bumi boleh terbentuk dan bergerak jauh dari lokasi sumber penghasilannya mengikut arah tiupan angin.

Ozon aras bumi memberikan pelbagai kesan buruk kepada manusia dan tumbuh-tumbuhan. Pendedahan kepada ozon aras bumi sering dikaitkan dengan masalah system penafasan. Ia bukan sahaja mengurangkan daya tahanan badan terhadap jangkitan, tetapi juga pendedahan jangka masa panjang boleh mengakibatkan kemerosotan fungsi paru-paru dan keradangan lapisan paru-paru.

Untuk mencegah kesan-kesan pencemaran ozon aras bumi menjadi semakin serius, maklumat awal dan pelan pencegahan perlu dibangunkan. Oleh itu, kajian ini dilaksanakan baagi menangani isu pencemaran ozon aras bumi di seluruh Malaysia.

Matlamat kajian Pencemaran Ozon Di Malaysia adalah bagi mengenalpasti punca-punca pencemaran ozon di Malaysia, membantu pembuat dasar dalam merangka dasar dan strategi bagi menangani isu pencemaran ozon dan mengkaji, menganalisis dan membangunkan pelan tindakan bagi pengurangan pencemar yang menjadi penyumbang (precursor) kepada pembentukan pencemar ozon

Ia juga akan mengesyorkan langkah-langkah pencegahan, pemantauan dan pematuhan ke atas aktiviti-aktiviti yang boleh mengurangkan pencemaran ozon.

UKM Pakarunding Sdn Bhd merupakan cabang khidmat perundingan UKM yang memasarkan kepakaran ahli akademik dan penyelidik UKM kepada klien-klien.ukmnewsportal-bm
02

Ceramah ketika Seminar IPU dan Ozon