UKM Sedia Bantu Jadikan Bangi Bandar Ilmu

1

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 17 Jun 2016 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sedia menerajui usaha menjadikan Bangi Bandar Ilmu, kata Timbalan Naib Canselor  (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Datuk Ir Dr Riza Atiq Abdullah O.K. Rahmat.

Katanya UKM boleh menjadi hab penerokaan dan pencambahan ilmu di kawasan ini sekali gus menjalinkan kerjasama dikalangan pelbagai institusi pengajian tinggi, tokoh ilmuwan, badan berkanun, serta institusi agama seperti masjid dan surau.

“Persediannya juga tentu sekali akan turut membabitkan pelbagai wacana ilmiah, agama, budaya serta isu semasa serta penghasilan bahan penerbitan sebagai rujukan untuk generasi masa depan, beliau menjelaskan ketika merasmikan majlis Eksplorasi Elektrik dan Elektronik 2016 Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Elektronik dan Sistem (JKEES) di sini pada 26 Mei lalu.

Selain daripada UKM, di antara universiti dalam kawasan Bangi ialah  Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN),  Universiti Kuala Lumpur (UniKL),   Universiti Sains Islam Malaysia (USIM),   dan  Universiti  Multimedia (MMU).

Kata beliau sebagai sebuah bandar terancang yang dibina pada tahun 1970-an, Bandar Baru Bangi dilengkapi dengan zon perumahan, zon perniagaan, zon rekreasi dan zon perindustrian.

Selain itu Kawasan Perindustrian Bandar Baru Bangi mempunyai banyak kilang kerana premium tanah yang rendah dan dilengkapi dengan infrastruktur yang canggih.

Mengenai Eksplorasi Elektrik dan Elektronik 2016 UKM atau ringkasnya E3@UKM 2016, beliau menyifatkannya sebagai salah satu program penting dalam rangka promosi untuk meningkatkan reputasi dan ketampakan JKEES kepada masyarakat setempat dan luar.

E3@UKM2016 merupakan pertandingan pelajar-pelajar jabatan membentangkan poster hasil penyelidikan yang dijalankan selama dua semester, kepada masyarakat umum.

Hasil mahasiswa tersebut dinilai oleh panel akademik yang tersohor dalam bidang masing-masing, manakala panel industri juga memberikan ulasan kepada para pelajar.

“Saya difahamkan ada beberapa hasil kajian yang boleh dikomersialkan,” kata beliau.

Timbalan Naib Canselor berkata kejayaan ini membuktikan usaha UKM untuk merealisasikan dasar From Lab to Community amat berbaloi.

Seramai 30 pelajar tahun ketiga mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut.ukmnewsportal-bm
2

3

4