UKM Serah Telaga Tiub dan Sistem Tapisan Air kepada Kampung Labu Lanjut


Oleh
Nabila Nurnatasya Ibrahim
Foto oleh Kamarul Arifin Mohd. Sanusi

SEPANG, 1 Mac 2023Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyerahkan Telaga Tiub dan Sistem Tapisan Air bagi memberi manfaat penyaluran air kepada 12,000 orang penduduk setempat di sekitar Masjid Asy-Syakirin, Kampung Labu Lanjut, Sepang.

Projek Telaga Tiub dan Sistem Tapisan Air itu adalah kerjasama antara Yayasan Canselor dan Fakulti Sains dan Teknologi UKM, melalui hasil sumbangan Dana Amal Jariah Etiqa General Takaful Berhad sebanyak RM195,500.00

Exco Pembangunan Luar Bandar dan Kebudayaan Negeri Selangor, Borhan Aman Shah berkata, kerjasama antara UKM dan Etiqa General Takaful Berhad merupakan satu usaha murni bagi menyantuni masyarakat dan contoh jalinan kerjasama dalam menyokong hasrat kerajaan Malaysia iaitu melahirkan sebuah negara yang bersifat Madani.

“Ini adalah antara usaha murni dalam menyantuni masyarakat yang menjadi agenda Kerajaan Negeri Selangor khususnya, dan juga pimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Sekiranya dapat dilaksanakan bersama dengan kerjasama semua pihak seperti komuniti kampung, daerah dan negeri, serta agensi-agensi kerajaan, maka ia akan mencapai satu matlamat untuk mendedahkan kepada masyarakat tentang teknologi, keharmonian, ukhwah di antara penjawat awam, agensi kerajaan dan masyarakat.

“Saya bagi pihak kerajaan Negeri Selangor, mengucapkan terima kasih kepada UKM dan Etiqa, kerana sudi dan  memberi perhatian khususnya kepada daerah Sepang Negeri Selangor untuk bekerjasama,” katanya semasa menyampaikan ucapan di Program UKM@ Labu Lanjut sempena Penyerahan Telaga Tiub dan Sistem Tapisan Air, di sini, baru-baru ini.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada UKM yang turut menganjurkan program Sunathon di kawasan tersebut. Seramai 57 orang kanak-kanak yang terdiri daripada keluarga B40 menyertai program ini.

“Program Sunathon ini amat membantu masyarakat di kawasan luar bandar dan golongan B40 yang tidak berkemampuan kerana kini kos untuk berkhatan adalah sekitar RM200. Sekiranya anak melebihi daripada seorang, kos bersunat akan meningkat.

“Dengan usaha antara agensi-agensi, badan berkanun dan swasta, maka kita dapat meringankan beban masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Dato’ Ts. Dr. Norazah Mohd Nordin berkata kerjasama itu menyediakan platform bagi pakar-pakar dalam pelbagai bidang di UKM menyumbang ilmu, kemahiran dan pengalaman kepada komuniti.

“Dengan pembiayaan oleh pihak Etiqa General Takaful Berhad, pakar-pakar UKM berganding bahu dalam memastikan air yang diperolehi berkualiti tinggi dan menepati standard jaminan kesihatan kepada pengguna. Telaga tiub ini akan memberi manfaat yang besar kepada penduduk kawasan ini,” katanya.

Pada program itu juga, pihak UKM turut memberi sumbangan bakul makanan melalui Dana Wakaf Ilmu UKM (DWIUKM), Pusat Zakat UKM dan Syarikat Terrain Resources Sdn. Bhd., yang diserahkan kepada 100 keluarga asnaf di kampung tersebut.