UKM Teruskan Program LPIE5R Fasa 2 di 79 buah Sekolah di Kedah


Oleh Asmahanim Amir
Foto Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina

BANGI, 2 Februari 2023 – Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) dengan kerjasama Fakulti Sains dan Teknologi (FST) meneruskan lagi Program Pengurangan Kesan Plastik Terhadap Alam Sekitar Melalui Modul 5R (tolak, kurang, guna semula, kitar semula dan pulih) (LPIE5R) untuk fasa 2 di 79 buah sekolah menengah di sekitar negeri Kedah.

Fasa pertama telah berlangsung dengan jayanya tahun lepas di 71 buah sekolah di Kedah dan untuk fasa 2 ini pula diteruskan lagi di 79 buah sekolah yang lain.

Ketua Projek LPIE5R, Prof. Madya. Dr. Muhamad Azry Khoiry berkata untuk fasa 2, satu taklimat telah diberikan kepada pengetua dan guru penyelaras LPIE5R yang diadakan pada 26 Januari 2023 di Hotel Seri Malaysia Sungai Petani, Kedah.

“Seramai 158 orang peserta terdiri daripada pengetua dan guru penyelaras di 79 buah sekolah yang terpilih dari empat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) iaitu Baling, Kuala Muda/Yan, Kulim/Bandar Baharu dan Sik, telah menghadiri sesi taklimat ini.

“Taklimat ini bertujuan untuk memperkenalkan projek LPIE5R dan kaedah pelaksanaan aktiviti projek kepada pengetua dan guru penyelaras yang akan dijalankan bermula sesi persekolahan akan datang pada bulan Mac 2023,” katanya dalam satu kenyataan.

Taklimat untuk projek LPIE5R disampaikan olehketua projeknya sendiri, manakala taklimat berkenaan Program Kitar Semula IdamanXchange disampaikan oleh Ketua Unit Pengurusan Kitar Semula, Jabatan Perancangan dan Operasi, E-Idaman Sdn. Bhd, Farhana Abdul Kudus.

Prof. Madya. Dr. Muhamad Azry berharap agar projek LPIE5R akan mendapat sokongan dan persetujuan daripada pengetua-pengetua sekolah untuk melibatkan semua warga sekolah dalam aktiviti-aktiviti projek LPIE5R Fasa 2 seperti Bengkel Training of Trainers (TOT) untuk guru-guru penyelaras, penyampaian modul di sekolah, pembangunan projek inovasi, program jelajah di sekolah, program kitar semula IdamanXchange, pertandingan Jualan Balik Barang Kitar Semula, Cabaran Inovasi STEM 5R, Pertandingan Video Kelestarian dan Pertandingan Fotografi Kelestarian Bulanan.

Program LPIE5R adalah program komuniti yang memberi kesedaran berkaitan kepentingan mengurangkan sisa buangan domestik dan menggalakkan untuk mengitar semula barang dengan menyasarkan penglibatan pelajar sekolah menengah rendah, guru, kakitangan sekolah, ibu bapa dan masyarakat setempat.

Konsep 5R dan pendidikan kelestarian serta ilmu STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan & Matematik) diperkenalkan melalui Modul 5R Plastik dan Kelestarian Alam Sekitar yang telah dihasilkan oleh kumpulan penyelidikan FKAB dan FST.