Unit KASIH@FSSK dan Rakan Strategik Sumbang Bekalan Makanan kepada Pelajar FSSK


Oleh Asmahanim Amir
Foto Fakulti Sains Sosial Kemanusiaan

BANGI, 6 September 2021 – Unit KASIH@FSSK yang ditubuhkan bagi menjalankan program-program kebajikan, kesukarelawanan dan khidmat komuniti melibatkan warga Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) dan komuniti setempat telah bekerjasama dengan tujuh rakan strategik bagi membantu pelajar FSSK yang sedang menjalani latihan industri dan menetap di kolej kediaman mendapatkan bekalan makanan melalui Projek Kotak KASIH@FSSK.

Penyelaras Unit KASIH@FSSK, Dr. Noremy Md Akhir berkata Projek Kotak KASIH@FSSK itu adalah projek kelima Unit KASIH@FSSK yang tercetus apabila menerima maklumat daripada pelajar melalui Persatuan Mahasiswa FSSK (PMFSSK) berkaitan rungutan pelajar tahun akhir yang sedang menjalani latihan industri dan menetap di kolej kediaman.

“Kita faham pelajar-pelajar ini susah nak keluar bagi mendapatkan bekalan makanan terutama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19.

“Oleh itu, unit KASIH@FSSK terpanggil untuk menyantuni pelajar-pelajar ini dengan menyediakan bekalan makanan melalui Projek kotak KASIH@FSSK,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata selain daripada sumbangan dari rakan strategik dan industri, projek kotak KASIH@FSSK itu turut menerima sumbangan daripada warga FSSK, Alumni dan warga UKM yang menyumbang melalui Tabung KASIH@FSSK.

“Sumbangan yang diterima melalui tabung ini akan terus digunakan untuk menjalankan projek-projek yang pastinya akan memberi manfaat kepada golongan pelajar dan komuniti setempat di masa hadapan berdasarkan keperluan semasa,” katanya.

“Kami di Unit KASIH@FSSK berharap agar program seumpama ini bukan sahaja dapat membantu pelajar yang memerlukan malah ia menjadi platform terbaik untuk memupuk dan menyemai keperihatinan dan semangat membantu dalam kalangan ahli fakulti, Alumni, rakan industri dan NGO serta orang ramai untuk berganding bahu memberikan khidmat bantuan terbaik kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Tujuh rakan strategik yang terlibat itu ialah The Lost Food Project, Superlife Sdn. Bhd., Institut Onn Jaafar, Laila Fabrika Sdn. Bhd., Monti Keopi, Malaysian Youth Community (MYC) dan KaxPrint.

Kebersamaan industri dan rakan strategik dalam projek ini menunjukkan komitmen mereka dalam membantu pelajar-pelajar yang memerlukan, kata Dr. Noremy.

Seramai 80 pelajar tahun akhir FSSK yang menjalani latihan industri menetap di Kolej Rahim Kajai, Kolej Keris Mas, Kolej Ibrahim Yaakub, Kolej Aminuddin Baki, Kolej Dato Onn’ dan Kolej Tun Hussein Onn.