Prof. Dr Zaharani dilantik ke Kursi Pengajian Melayu di Universiti Korea Selatan

SELASA, 02 NOVEMBER 2010 17:08

Oleh Abdul Ghani Nasir
Foto oleh Saliman Leman

BANGI, 2 Nov.  2010 – Sebuah Kursi Pengajian Melayu akan ditubuhkan lewat bulan ini di Universiti Pengajian Asing Hankuk, Korea Selatan. Ia adalah peningkatan daripada Jabatan Pengajian Melayu yang sebelum ini digabungkan dengan Pengajian Indonesia.

Serentak dengan penubuhannya, Profesor Dr Zaharani Ahmad, 54, mantan Timbalan Dekan (Siswazah dan Hubungan Antarabangsa) Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM telah dilantik menyandang Kursi itu selama dua tahun.

Sebelum ini beberapa Kursi Pengajian Melayu telah pun ditubuhkan di universiti-universiti terpilih di Amerika Syarikat, China, Belanda dan New Zealand.

Prof. Zaharani menganggap tugas yang disandangnya amat mencabar tetapi sedia dipikulnya berkat  pengalaman luasnya dalam bidang pendidikan bahasa Melayu. Beliau adalah seorang guru bahasa sebelum menyertai UKM sebagai tutor di Jabatan Linguistik pada 1985.

Ketika di Universiti Hankuk, beliau akan memberi syarahan mengenai Pengajian Melayu meliputi aspek bahasa, linguistik, kesusasteraan, sejarah, geografi, politik, ekonomi, kebudayaan dan juga pelbagai bidang mengenai Malaysia.

Beliau juga akan membuat penyelidikan dalam semua bidang itu dan mengumpulkan sumber kajian dalam satu atau lebih bidang berkaitan Pengajian Melayu.

Diharapkan penubuhan kerusi itu akan membolehkan pelajar dan masyarakat Korea mendekati dan memahami bahasa, sastera dan budaya Melayu dengan lebih rapat lagi.

Prof Dr Zaharani akan diminta membantu menyediakan pelajar yang hendak menjalankan penyelidikan mengenai Malaysia dan memberi ceramah dan menganjurkan seminar selain membantu universiti itu mengukuhkan aktiviti berkaitan Pengajian Melayu.

Beliau juga ditugaskan membantu mengukuhkan pemahaman dan kerjasama di antara kerajaan Malaysia dengan Republik Korea melalui penganjuran seminar, persidangan, syarahan, jemputan serta pertukaran maklumat, tenaga pengajar atau pelajar di kalangan IPT.

“Saya akan berusaha membantu mengembang dan memperkemas program Pengajian Melayu di Korea yang biasanya diikuti oleh kira-kira 60 pelajar termasuk 20 pasca-siswazah.

“Di samping itu, saya akan mengkaji dan menilai program itu di Universiti Hankuk agar betul-betul baik dan menjadi mantap,” tegasnya.

Orang Korea telah lebih awal terdedah kepada Pengajian Indonesia bukan saja kerana pelajar Korea dihantar ke sana malah ramai orang Indonesia telah menjadikan Seoul kediaman mereka, termasuk seorang pensyarah yang sudah bermastautin selama 15 tahun.

Sebelum berangkat ke Seoul, Prof. Zaharani akan mengikuti kursus bahasa Korea selama satu semester. Beliau merancang membawa bersama buku-buku mengenai budaya dan sastera Melayu terutama terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka ke sana.

Ketika di sana, Prof Zaharani akan mempunyai satu lagi tugas yang tidak kurang penting iaitu misi ‘menjual’ Malaysia. Ini termasuklah memperkenalkan peluang pelancongan yang kita tawarkan.

Sebagai persediaan untuk berada sehingga tahun 2012 di Korea Selatan, beliau sudah pun membuat tinjauan bagi mendapatkan bekalan bahan masakan halal.

“Jika hendak membeli masakan halal memang agak sukar, tetapi saya diberitahu ada kedai menjual daging halal dan bahan keperluan lain di sebuah masjid di Seoul.

“Saya jangka tidak akan timbul masalah cuma saya perlu menaiki kereta api kira-kira sejam untuk sampai di masjid itu dari kampus universiti di Seoul,” katanya.

Beliau adalah lulusan Sarjana Muda (Kepujian) Kelas Pertama (Bahasa Melayu) Universiti Malaya pada 1983 sebelum meneruskan pengajian peringkat sarjana di Universiti Hawaii di Manoa, pada 1988. Beliau mendapat PhD (Linguistik) dari Universiti Essex, UK pada 1998.