Aidilfitri Eratkan Silaturahim UKM Dengan Masyarakat

JUMAAT, 31 OGOS 2012 00:00

Oleh : Najihah Hamidin & Nur Diyana Mohamad, Pelatih UUM

BANGI,  28 Ogos 2012 – Majlis Jamuan Raya Aidilfitri tahun 1433 Hijrah Universiti Kebangsaan Malaysia di DECTAR pagi ini disambut meriah dengan penyertaan warga kerja UKM pelbagai peringkat dan jemputan serta tetamu khas terdiri daripada anak-anak yatim dan penduduk asal Bangi.

Ini jelas dapat mengukuhkan ikatan silaturahim di kalangan warga UKM, pelajar antarabangsa dan masyarakat yang turut serta.

Pengerusi Lembaga Pengarah, Prof Emeritus Dato’  Dr Zawawi Ismail dan Naib Canselor, Prof Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, turut menyampaikan sumbangan zakat dan duit raya kepada anak-anak yatim Darul Fuqaha Sungai Merab Bangi, anak-anak yatim kakitangan UKM dan sekolah sekitar Bangi serta ibu tunggal bagi meringankan bebanan mereka.

Hamper juga telah disampaikan kepada kakitangan pusat tanggungjawab yang bertugas pada 1 Syawal bagi menghargai perkhidmatan mereka.

Turut hadir keluarga angkat UKM dari Kampung Kundang Ulu, Johor, Kampung Pulau Manis, Pahang, anak-anak Persatuan Ibu-ibu Tunggal (PITRAH) Bandar Baru Bangi dan peserta Program Perkasa Remaja.

Kehadiran pelbagai kumpulan itu menunjukkan UKM sentiasa berusaha untuk mendekati dan mewujudkan hubungan silaturahim dengan masyarakat.

Selain berbagai juadah raya tetamu turut dihiburkan dengan persembahan oleh anggota Pusat Kebudayaan dan warga UKM.