UKM Meningkatkan Kerjasama Penyelidikan Dengan UPM

ISNIN, 27 OGOS 2012 17:28

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 27 Ogos 2012 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) akan menerus dan meningkatkan kerjasama mereka dalam penyelidikan dan penerbitan akademi yang telah terjalin sejak 2009.

Suatu Memorandum Persefahaman (MOU) mengenai kerjasama itu ditangani di sini hari ini untuk meningkatkan kerjasama mereka dalam berbagai aktiviti bersama termasuk penerbitan buku, bengkel, penyertaan Ekspedisi Saintifik, penempatan pelajar latihan industri dan program latihan kakitangan.

MOU itu disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Penyelidikan dan Inovasi) UKM, Profesor Dato’ Dr Rahmah Mohamed dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Profesor Dato’ Ir Mohd Saleh Jaafar.

Dekan Fakulti Sains dan Teknologi (FST) UKM, Profesor Dr Sahrim Hj Ahmad dan Pengarah Institut Biosains UPM, Profesor Dr Abdul Rahman Osman turut menandatanganinya.

Kedua-dua universiti berminat untuk memberi ruang yang lebih menyelidik Tanah Simpanan Biosfera atau Taman Semula Jadi. Mereka juga akan bekerjasama menerbitkan sebuah buku Panduan Paku Pakis Malaysia mengandungi panduan terhadap berbagai spesis paku pakis yang boleh diguna sebagai penawar tidak lama lagi.

Kampus UKM telah membangunkan suatu taman Paku Pakis (Fernaria) sejak 1988 yang kini sudah pun menjadi tumpuan penuntut pra dan pasca siswazah, saintis dan pelajar sekolah.

Prof Rahmah berkata UKM akan terus menyediakan kemudahan kepada penyelidik UPM dan juga institusi lain sebagaimana telah diberikan pada masa lampau.

Beliau juga menyeru saintis membuat kajian secara menyeluruh dan tidak hanya tertumpu kepada sesuatu bidang disiplin tertentu sahaja.

Kajian berkumpulan perlu ditingkatkan lagi untuk menyelaras usaha bersama dengan menyatakan bahawa ramai penyelidik tempatan boleh berkongsi maklumat hasil kajian mereka, umpamanya sampel yang dikutip dari makmal semula jadi UKM di Fraser’s Hill, Langkawi dan Taman Tasik Cini.

Beliau menyifatkan kerjasama itu sebagai usaha meraih dana antarabangsa seperti geran yang diberi oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu seperti UNESCO.

Peluang untuk industri berperanan dalam penyelidikan terus cerah kerana hasrat untuk inovasi di kalangan penyelidik memang wujud, kata Prof Rahmah.

Prof Mohd Saleh pula berjanji akan terus membuka pintu UPM kepada para penyelidik dari seluruh negara memandangkan ia mempunyai kawasan hutan simpanan yang dikaji oleh para saintis dari seluruh dunia.

Beliau berkata banyak sumber di universiti tempatan yang masih kurang diguna manakala pertindihan juga berlaku dalam kajian di kalangan universiti tempatan.

UPM, katanya, mempunyai dasar berkongsi pelaburan dalam penyelidikan dan diharapkan ini boleh mengurangkan pertindihan kerja.

Beliau juga berharap lebih banyak terbitan dalam bentuk jurnal sains akan diterbitan oleh mereka.