Yayasan Munarah Menyumbang 30 Buah Kerusi Roda Kepada PPUKM

JUMAAT, 17 OGOS 2012 08:51

Oleh Norhayati Md Raji
Foto Hasnan, PPUKM

KUALA LUMPUR, 13 Ogos 2012 – Yayasan Munarah, sebuah Yayasan Amal Di Raja Negeri Sembilan yang baru ditubuhkan setahun lalu telah menyerahkan sejumlah 30 buah kerusi roda kepada Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) hari ini.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanahnya, Tuanku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz telah menyerahkan tiga buah daripada kerusi itu kepada tiga orang pesakit yang dijemput khas hadir dalam satu upacara penyerahan kerusi itu.

Yayasan Munarah gabungan nama Almarhum Tuanku Munawir dan Almarhumah Tuanku Ampuan Durah ditubuhkan untuk menerima dan mentadbir dana bagi diagihkan kepada golongan yang memerlukan dalam bidang Pendidikan, Kesihatan, Adat dan Seni, Alam Sekitar, Pembangunan Umum Komuniti dan golongan istimewa.

Kerusi-kerusi lain diserahkan kepada Pengarah PPUKM, Prof Dato’ Dr Raymond Azman Ali yang juga Dekan Fakulti Perubatan UKM di Sukmaria PPUKM di Cheras.

Prof Raymond Azman Ali terharu dan amat berbangga menerima sumbangan itu. Tiga buah lagi kerusi itu diberikan kepada Wad Ortopedik dan Traumatolgi dengan baki 24 buah diserahkan kepada Jabatan Kerja Sosial Perubatan untuk penggunaan dan simpanan kepada pesakit-pesakit yang kurang berkemampuan.

Dalam ucapan ringkasnya ketika menerima sumbangan itu, Prof Raymond Azman berkata PPUKM telah berjaya membuktikan pelbagai kejayaan dalam perubatan melalui perkhidmatan perawatan, penyelidikan dan pengajaran dan pembelajaran.

Ia kini mempunyai kira-kira 851 katil pesakit, 15 klinik pakar dan 36 wad yang dikendalikan oleh kira-kira 3,500 orang kakitangan.

Tahun lalu ia telah menerima lebih kurang 400,000 orang (pesakit luar) dan 39,000 orang (pesakit dalam). Walaupun caj yang dikenakan kepada pesakit adalah minimum, namun masih ramai pesakit yang kurang berkemampuan bukan sahaja dari segi aspek bil hospital, tetapi peralatan perubatan dan juga peralatan sokongan untuk kesinambungan rawatan.