Pelajar UKM Zahirkan Keprihatinan Terhadap Keluarga Malang

ISNIN, 24 FEBRUARI 2014 00:00

Oleh Abd Razak Hussin
Foto Muhammad Izwan Azman

DENGKIL, SELANGOR, 19 Feb 2014 – Sekumpulan 12 orang pelajar sarjana dari Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM telah melakukan kerja amal untuk meringankan beban yang dihadapi suatu keluarga malang di Kampung Jenderam Hilir, Dengkil, Selangor.

Mereka menyedari kesukaran hidup Encik Nordin Narit berikutan kematian isterinya pada Ogos 2013.

Walaupun mengalami masalah kesihatan tulang beliau berseorangan perlu memelihara tiga anak lelakinya berusia 11, 8 dan 6 tahun hingga menyukarkannya melakukan kerja untuk menampung kehidupan mereka.

Ini adalah kerana anak ketiganya mengalami komplikasi jantung, ketumbuhan dalam mata dan epilepsy hingga menyebabkannya terpaksa memberi perhatian sepenuhnya terhadap rawatan anak itu.

Kos untuk mendapatkan rawatan yang tinggi telah menyukarkan lagi kehidupan keluarga malang itu.

Keadaan mereka telah menggerakkan kumpulan pelajar tersebut mengusahakan pengumpulan sumbangan kewangan daripada pelbagai pihak di UKM dan melaksanakan aktiviti gotong royong bagi meningkatkan kemudahan di rumah Nordin, dengan bantuan Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan UKM.

Hasil usaha mereka turut mendapat perhatian TV3 melalui program Bersamamu dan pelbagai agensi kerajaan berkaitan serta masyarakat tempatan.