Prof Noor Aziah Dilantik TNC HEPA Baru

RABU, 05 FEBRUARI 2014 16:12 ADMINISTRATOR

Oleh Nurul Haziqah Abdul Halim
Foto Ikwan Hashim
Video Ruhaizad Abd. Majid

BANGI, 3 Feb 2014 – Seorang Professor dari Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datin Noor Aziah Hj Mohd Awal telah dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) berkuat kuasa hari ini.

Beliau menggantikan Prof Dato’ Ir. Dr Othman A. Karim yang tamat tempoh perkhidmatan sebagai Timbalan Naib Canselor pada 31 Januari 2014.

Majlis penyerahan tugas telah diadakan di bilik menyuarat Canselori di sini. Naib Canselor, Prof Datuk Dr. Noor Azlan mengalu-alukan pelantikan Prof Datin Noor Aziah  sebagai Timbalan Naib Censelor (TNC HEPA) yang baru.Beliau turut mengucapkan selamat maju jaya kepada Prof Dato’ Ir Dr Othman.

Beliau juga menyatakan bahawa berurusan dengan pelajar adalah satu bahagian penting dalam sesebuah universiti dan percaya Prof Noor Aziah mampu mengendalikan jawatan barunya dengan berjaya bagi menghadapi segala cabaran yang akan ditempuhinya.

Sebagai sebuah universiti penyelidikan, UKM mempunyai tanggungjawab lebih besar dalam memupuk pelajarnya untuk meningkatkan nama baik UKM.

Beliau mengharapkan semua warga UKM memberi sokongan dan bantuan kepada Prof Noor Aziah untuk memastikan pelajar UKM dan nama baiknya dapat dimartabatkan dengan lebih hebat lagi di mata dunia.

Prof Noor Aziah dalam ucapan terima kasihnya mengakui pengalamannya sebagai Pengetua Kolej Kediaman Dato Onn (KDO) selama lapan tahun memberinya persediaan untuk jawatan barunya itu memandangkan pengalamannya mengendalikan pelajar setiap hari.

Antaranya membantu dan membimbing mereka menguruskan pelbagai aktiviti sambil membina watak, kemahiran dan menggilap bakat. “Satu-satunya perbezaan jawatan baru saya ialah saya akan mengendalikan pelajar seluruh UKM bukan hanya 600 orang pelajar di KDO,” kata Prof Noor Aziah.

Beliau berterima kasih kepada Naib Canselor atas kepercayaannya menjawat jawatan barunya itu serta Prof Dato’ Ir Dr Othman yang sudi berkongsi pengetahuan, ilmu dan pengalamannya sebagai TNC HEPA sebelum ini.

Prof Noor Aziah juga berterima kasih kepada En Ghazali Mahyuddin, bekas pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM kerana membawanya menyertai UKM.

Beliau menceritakan bagaimana semasa masih belajar undang-undang pada tahun kedua di Universiti Essex Britain beliau telah menemui En Ghazali yang melawat kampus itu pada tahun 1984.

En Ghazali telah memberitahunya bahawa UKM baru sahaja menubuhkan Fakulti Undang-undangnya dan memerlukan pensyarah. “Beliau minta saya menghubunginya di UKM kiranya berminat untuk menjadi seorang pensyarah setelah selesai belajar.

“Setelah lulus dan kembali ke Malaysia saya menelefonnya dan kemudian dipanggil untuk temu duga dan terus mendapat tawaran untuk berkhidmat di UKM,” kata Prof Noor Aziah.

Beliau juga berterima kasih kepada Dekan Fakulti Undang-undang, Prof Dato’ Dr Aishah Bidin; Pengarah Pusat Islam Hadhari UKM, Prof Dato’ Dr Mohd Yusof Hj Othman serta pengetua-pengetua kolej kediaman lain yang sudi berkongsi pengalaman pahit, manis serta cabaran menjadi pengetua kolej kediaman.

Prof Noor Aziah juga mengucapkan terima kasih kepada persatuan Sukmanita UKM dan Persatuan Kakitangan Akademik UKM (PKAUKM), yang telah memberinya ruang untuk menjadi ahli aktif mereka.

“Matlamat saya apabila bertugas di UKM hanyalah untuk menjadi seorang pensyarah untuk membentuk dan menggilap minda generasi muda supaya mereka boleh berjaya dan membawa kebanggaan kepada UKM. Tidak pernah terlintas di fikiran saya bahawa saya akan memegang jawatan TNC HEPA antara jawatan yang tertinggi di UKM,” kata Prof Noor Aziah.

Meneruskan tradisi cinta kepada seni pantun yang dipelopori bekas Naib Canselor, Prof Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, Prof Noor Aziah, mengakhiri ucapannya dengan pantun yang beliau tulis khas untuk majlis ini:

Dari Nilai sampai ke Bangi,
Sampai ke Bangi terus ke Universiti,
Hajat besar ingin berbakti,
Di UKM tempat menabur bakti

Fakulti Undang-undang tempat mula kerja,
Dari tutor hingga Professor,
Banyak pahit manis yang dirasa,
Jatuh bangun, berdiri, bergelongsor

Timbalan Dekan pernah disandang,
Penyelaras Matrikulasi juga saya pegang
Pelajar digilap menjadi bintang,
Mereka berjaya hatiku kembang

Pergi ke hutan mencari rotan,
Rotan dianyam sambil makan,
Adat bekerja bertukar jawatan,
Rezeki kita Allah tentukan.”