Ramai Ibu Mengandung Kurang Arif Mengenai Penjagaan Kehamilan

SELASA, 05 OGOS 2014 11:10

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 1 Ogos 2014 – Ibu-ibu mengandung di Malaysia didapati kurang pengetahuan terhadap pemeriksaan kesihatan diri mereka dan bayi dalam kandungan berbanding dengan pengetahuan mereka terhadap pengguguran.

Suatu kajian oleh sepasukan pelajar perubatan tahun akhir Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati lebih daripada 91% wanita hamil yang mengambil bahagian dalam suatu kaji selidik kurang berpengetahuan terhadap penjagaan kehamilan tetapi 67% daripada mereka tahu mengenai penamatan kehamilan.

Jurucakap kumpulan itu, Gan Chen Ling, memberitahu Portal Berita UKM di Kuala Lumpur baru-baru ini bahawa walaupun mereka berpengetahuan terhadap pengguguran tetapi mereka juga menunjukkan sikap yang lebih positif terhadap ujian pra natal.

Gan berkata, mereka tidak dapat menerima pengguguran kerana amalan moral, sosial dan pandangan agama.

Seramai 169 wanita telah disoal selidik dalam kajian yang mereka lakukan awal tahun ini di Pusat Perubatan UKM. Mereka mahu mengetahui faktor yang mempengaruhi ibu mengandung terhadap penjagaan pra natal dan pengguguran.

Kemajuan dalam teknologi ultrasound dan penjagaan kehamilan telah memberi pilihan kepada wanita mengandung sama ada mahu menggugurkan janin atau memilih untuk menjalani pemeriksaan diri mereka serta janin.

Terdapat kebimbangan pengetahuan itu boleh menyebabkan wanita hamil memilih pengguguran sebagai alternatif kepada melahirkan anak. Bagaimanapun kajian itu tidak menunjukkan mereka mempunyai sikap demikian.

Kaji selidik itu mendapati majoriti (93.5%) memilih untuk  melakukan ujian pra natal dan kurang terhadap pengguguran.

Mereka ditanya apakah akan memilih pengguguran janin jika ia didapati mempunyai penyakit kongenital seperti Anensefali, Talasemia utama dan Cystic Fibrosis. Sikap ibu-ibu itu terhadap pengguguran dinilai berdasarkan huraian mereka terhadap 19 penyakit klinikal.

Kajian telah dilakukan di klinik fetomaternal dengan bantuan pakar-pakar dari Jabatan Pediatrik, Jabatan Obstetrik dan Ginekologi dan Unit Epidemiologi Klinikal.

Talasemia utama merupakan masalah kesihatan awam yang biasa di Malaysia di mana kira-kira 4.5% hingga 6% daripada orang Melayu dan Cina adalah pembawa masalah genetik itu. Talasemia utama boleh menyebabkan kematian janin (talasemia utama) manakala bagi kes β-talasemia bayi terbabit perlukan pemindahan darah sepanjang hayat untuk terus hidup.

Suatu kajian sebelum itu menyelidik persoalan perbezaan kesedaran, persepsi dan sikap terhadap talasemia di kalangan  penduduk berbilang kaum di Malaysia.

Analisis menunjukkan bahawa program saringan sebelum kahwin mengenai penyakit itu adalah lebih berkesan jika pengguguran kehamilan dengan talasemia utama boleh diterima. Ia menunjukkan bahawa kempen mengenai talasemia boleh meyakinkan masyarakat pelbagai etnik di Malaysia untuk menerima pengguguran sebagai usaha mengelakkan janin talasemia dilahirkan.