Jabatan Oftalmologi Fakulti Perubatan

 Universiti Kebangsaan Malaysia

Kebutaan Akibat Penggunaan Ubat Titis Mata Tanpa Nasihat Doktor

Oleh: Dr. Tang Seng Fai, Dr. Othmaliza Othman, Dr. Ayesha Mohd Zain, Dr. Yong Meng Hsien, Prof. Madya Dr. Norshamsiah Md Din

 Terbit: 16 November 2018

A: “Eh, mata aku ni gatal-gatal lah. Dah satu bulan. Kadang-kadang merah. Engkau tahu kat mana boleh jumpa doktor mata?”

B: “Oh, tak payah jumpa doktor mata. Lecehlah nak kena tunggu lama. Aku ada satu ubat titis mata yang bagus. Dulu mak aku kena macam kau juga lepas buat pembedahan mata. Tiap-tiap kali mata aku merah atau gatal, aku pakai je ubat tu 2- 3 hari. Ia sangat berkesan!”

“Bila habis, aku simpan satu botol kosong buat contoh. Aku beli je ubat tu di farmasi. Esok aku bawa untuk kau. Kau pakai dulu, kalau habis boleh beli je dekat kedai. Tak payah susah-susah pergi jumpa doktor. Ok tak?”

A: “Boleh juga. Bagusnya, nasib baik aku tanya kau. Tak payah susah-susah aku pergi jumpa doktor dah”

 

Dialog di atas sering kita dengar antara rakan-rakan kita. Adakah anda salah seorang daripada A atau B? Perbuatan di atas bukan sahaja tidak membantu malah boleh menyebabkan kerosakan mata sehingga boleh menjadi buta.

Sesetengah ubat titis mata yang digunakan oleh doktor mata mengandungi steroid. Steroid merupakan sejenis bahan yang digunakan untuk merawat radang mata dan juga masalah mata yang lain seperti allergi pada mata. Ia juga digunakan selepas pembedahan mata untuk tempoh waktu yang tertentu dan pemeriksaan mata susulan bagi pemberian ubat tersebut akan dibuat dari masa ke semasa. Ubat ini akan dihentikan penggunaannya setelah radang mata sembuh atau jika terdapat kesan sampingan daripada penggunaannya.

Terdapat pelbagai kesan sampingan penggunaan ubat steroid jika tidak diperhatikan secara rapi oleh doktor. Kesan sampingan yang paling ditakuti sehingga boleh menyebabkan kebutaan adalah penyakit glaukoma. Penggunaan ubat titik mata steroid yang berpanjangan boleh meningkatkan tekanan pada mata dan sepanjang penyakit tersebut sedang berlaku, anda langsung tidak akan rasa sakit. Disebabkan itu, saraf mata akan rosak dan menyebabkan kebutaan tanpa anda sedari.

Justeru, anda dinasihatkan supaya tidak membuat kesilapan A atau B seperti yang ditunjukkan di atas. Ia bukan sahaja membahayakan tetapi ada kemungkinan ia memudaratkan keadaan yang sedia ada. Jika anda mempunyai masalah mata seperti yang dialami oleh A, sila kunjungi klinik mata dan dapatkan pemeriksaan mata dan rawatan dengan segera. Tambahan lagi, disarankan supaya tidak memberi cadangan ubat titik mata anda kepada orang lain tanpa nasihat daripada doktor.

 

Berikut kami senaraikan soalan yang sering di tanya oleh pesakit:-

 

Soalan: Apakah ubat titis mata steroid dan apakah kegunaannya?

Jawapan: Ubat titis mata steroid ialah ubat terkawal yang mengandungi steroid. Ia sepatutnya tidak boleh dijual kepada awam tanpa preskripsi dari seorang doktor. Antara jenis steroid yang ada di dalam ubat titis ialah dexamethasone, prednisolone dan fluorometholone. Ubat ini digunakan untuk  mengawal keradangan mata, mengurangkan kegatalan mata dan menghilangkan mata merah. Ia juga adalah merupakan rawatan selepas menjalani pembedahan mata.

 

Soalan: Bagaimana ubat ini dapat mendatangkan bahaya kepada mata?

Jawapan: Ubat ini mendatangkan bahaya kerana selepas seseorang pesakit diberikan ubat ini oleh doktor, ada antara mereka yang berterusan membeli dan mengunakan ubat tersebut tanpa pengawasan dan preskripsi daripada doktor. Apabila ini berlaku, kesan sampingan ubat tersebut tidak dapat dipantau dan dikawal. Seringkali pesakit datang berjumpa doktor mata di peringkat akhir di mana nasi sudah menjadi bubur. Pada ketika ini, kerosakan pada mata adalah bersifat kekal dan tidak dapat diubati lagi.

 

Soalan: Apakah bahaya ubat titis steroid ini kepada mata?

Jawapan: Antara kesan sampingan ubat ini ialah:-

  1. Peningkatan tekanan bola mata.

Tekanan mata akan meningkat dengan penggunaan ubat ini. Semakin muda umur seseorang pesakit, dan semakin tinggi dos steroid tersebut, semakin tinggi risiko untuk tekanan mata meningkat.. Tekanan mata yang tinggi boleh mengakibatkan kerosakan pada saraf mata, yang dipanggil glaukoma. Glaukoma boleh menyebabkan kebutaan kekal.

  1. Menyebabkan katarak

Katarak berlaku apabila kanta asli di dalam mata menjadi tidak lutsinar. Titik-titik putih akan mula terbentuk di dalam kanta dan semakin lama penglihatan akan menjadi semakin kabur. Katarak juga boleh menyebabkan silau yang melampau. Katarak ini boleh dirawat dengan melakukan pembedahan katarak.

  1. Jangkitan kuman pada kornea

Kornea adalah lapisan lutsinar paling hadapan pada bola mata anda. Penggunaan ubat titis steroid yang berpanjangan boleh meningkatkan risiko jangkitan kuman ke atas lapisan kornea. Ianya boleh meninggalkan parut di atas permukaan kornea yang akan mengganggu penglihatan pesakit.

 

Soalan: Sekiranya saya mengambil ubatan steroid dalam bentuk lain seperti pil, krim atau inhaler, adakah saya juga mempunyai risiko seperti yang dinyatakan di atas?

Jawapan: Ya, komplikasi seperti di atas boleh berlaku sekiranya pesakit mengambil steroid dalam bentuk-bentuk lain. Malahan, pesakit juga boleh  mendapat kesan sampingan steroid kepada bahagian badan yang lain seperti kenaikan berat badan, tekanan darah tinggi, kenaikan paras gula dalam darah  sehingga boleh menyebabkan penyakit kencing manis, kulit yang menipis, kulit yang mudah lebam, pertumbuhan bulu di muka dan sebagainya. Kumpulan komplikasi ini dipanggil “Cushing Syndrome”.

 

Soalan: Tetapi saya hanya menggunakan ubat titis mata itu jarang-jarang. Boleh kah bahaya yang sama berlaku?

Jawapan: Ubat titis steroid, walaupun di gunakan jarang-jarang, ia masih boleh menyebabkan kesan sampingan seperti di atas, kerana kesan sampingan itu bersifat terkumpul (efek kumulatif).

 

Soalan: Saya sedang dirawat dengan ubat titis mata oleh doktor pakar mata. Perlukah saya memberhentikannya?

Jawapan: Anda tidak perlu risau. Selagi mana doktor pakar mata menyuruh anda menggunakan ubat tersebut, anda mestilah mematuhinya. Pastikan anda hadir pada setiap kali sesi temujanji anda. Doktor pakar anda akan memeriksa tekanan mata anda dan memantau samada anda mengalami kesan sampingan ubat titis tersebut. Doktor pakar akan mengambil langkah-langkah awal tertentu sekiranya mendapati anda mengalami tanda awal kesan sampingan tersebut.

 

Soalan: Apa yang perlu saya lakukan untuk mengelakkan komplikasi tersebut?

Jawapan: Pastikan setiap ubat yang diambil di bawah arahan dan pengawasan doktor mata. Jangan menyambung pengambilan ubat  dengan terus menerus membelinya di kedai farmasi tanpa nasihat dari doktor terlebih dahulu. Pastikan anda hadir pada setiap temujanji berkala yang diberi oleh doktor anda. Jangan mudah terpengaruh membeli sebarang ubat titis mata di kedai-kedai tanpa nasihat dari doktor pakar mata terlebih dahulu. Dikhuatiri ubat tersebut mungkin mengandungi steroid tanpa pengetahuan anda.