You are currently viewing Majlis Serahan Surat Tawaran Kenaikan Pangkat Staf Kumpulan Akademik, Pengurusan dan Profesional, dan Pelaksana

Majlis Serahan Surat Tawaran Kenaikan Pangkat Staf Kumpulan Akademik, Pengurusan dan Profesional, dan Pelaksana

Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar telah mengadakan Majlis Serahan Surat Tawaran Kenaikan Pangkat Staf Kumpulan Akademik, Pengurusan dan Profesional, dan Pelaksana yang berlangsung di Auditorium, Akademia Siber Teknopolis hari ini.
 
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh YBhg. Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd. Ekhwan Hj. Toriman, Naib Canselor UKM diiringi YBhg. Dato’ Dr. Syed Kamarudin Haji Sadakkuthulla , Pendaftar UKM dengan penyampaian surat kenaikan pangkat kepada 64 orang kakitangan yang melibatkan Kampus Bangi dan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) dengan implikasi kewangan mencecah RM500,000 bagi mengiktiraf kakitangan cemerlang yang memainkan peranan yang penting dalam memastikan pencapaian lima (5) teras yang telah digariskan oleh YBhg. Dato’ Naib Canselor dicapai.
 
Seramai 64 orang penerima tawaran kenaikan pangkat pada hari ini yang terdiri daripada 5 orang calon Laluan kerjaya Pensyarah Perubatan/Pergigian/Farmasi, 11 orang yang terdiri daripada Pengurusan dan Profesional jawatan hakiki, 3 orang menerima KUPD 54, 27 orang menerima KUPD 48, 15 orang menerima Fleksi 44 dan 3 orang pelaksana yang menerima kenaikan pangkat secara time-based (TBK).
Untuk makluman, LPU Khas Bil.2/2023 bertarikh 17 Mac 2023 telah bersetuju meluluskan kenaikan pangkas secara fleksi ke gred 52 dengan tempoh minimum di jawatan semasa selama 5 tahun. Sedang dalam proses temuduga dijangka selesai selepas hari raya nanti.
 
LPU Bil.2/2023 bertarikh 6 April 2023 telah bersetuju meluluskan penetapan satu kadar elaun KUPD iaitu sebanyak RM720 sebulan bagi KUPD 48 & 54 berkuatkuasa 1 Mei 2023. Sebelum ini kadar elaun KUPD yang diberikan berbeza-beza antara calon bergantung kepada sama ada calon telah menerima KGT atau belum.
Tawaran kenaikan pangkat ini juga merupakan salah satu inisiatif dan usaha penambahbaikan Universiti demi meningkatkan semangat warganya untuk berkhidmat dengan lebih cemerlang. Melalui inisiatif-inisiatif yang telah diusahakan, setiap staf memiliki peluang yang lebih tinggi untuk dinaikkan pangkat. Selain kenaikan pangkat secara hakiki mengisi kekosongan vot sedia ada, staf berpeluang dinaikkan secara TBK 1 dan TBK 2 bagi staf pelaksana.
 
Bagi staf pengurusan & profesional pula, kenaikan pangkat secara fleksi boleh diterima daripada gred 41 ke gred 44 selepas tempoh 6 tahun, dan daripada gred 48 ke 52 selepas tempoh 5 tahun berkhidmat di jawatan semasa. Selain itu, staf pengurusan & professional juga berpeluang dinaikkan pangkat secara KUPD daripada gred 44 ke 48 dan daripada gred 52 ke gred 54 selepas memenuhi tempoh perkhidmatan keseluruhan selama 10 tahun dan 5 tahun di jawatan semasa. Peluang kenaikan pangkat kepada staf akademik adalah sentiasa terbuka luas. Jika cukup KPI yang ditetapkan oleh Universiti, maka bolehlah mengisi borang untuk kenaikan pangkat tanpa perlu menunggu kekosongan vot naik pangkat.
 

YBhg. Dato’ Dr. Syed Kamarudin Haji Sadakkuthulla , Pendaftar UKM juga menzahirkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua calon yang berjaya dinaikkan pangkat dalam skim perkhidmatan masing-masing. Beliau berharap semoga peluang kenaikan pangkat ini digunakan sebaiknya oleh calon-calon yang berjaya untuk terus menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang di samping mempamerkan sahsiah yang terpuji dalam menjalankan tugas seharian serta bersama-sama mengembling tenaga dalam mencapai lima (5) teras Naib Canselor ke arah menjadi 100 universiti terbaik dunia menjelang tahun 2025 kelak.

Turut hadir YBhg. Prof. Dr. Mohammad Kassim; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa), YBhg. Prof. Dato’ Ts. Dr. Norazah Mohd Nordin; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Jaringan Industri & Masyarakat), YBrs. Encik Mohd Azli Mohd Kasirun; Bendahari, YBhg. Prof. Dr. Norhamidi Muhamad; Pro Naib Canselor (Penjanaan & Prasarana), YBrs. Tuan Haji Zanudin Mohd Daud; Timbalan Pendaftar Kanan Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar, YBrs. Encik Abdul Rahman Haji Mohd Nordin; Setiausaha Agung Cuepacs serta pegawai-pegawai kanan Universiti.