Universiti Kebangsaan Malaysia melangkah ke usia 55 tahun dengan penuh tekad sebagai institusi ilmu yang terus memperkukuh peranannya sebagai universiti watan. Bersempena sambutan Jubli Zamrud ini, Program Langkah@5.5 KM Jubli Zamrud UKM dianjurkan sebagai manifestasi semangat kesepaduan dan kecintaan terhadap UKM yang menjadi tunjang pembangunan ilmu dan kemajuan negara sejak tahun 1970.
Dengan jarak simbolik sejauh 5.5 kilometer, program ini membawa makna tersendiri melambangkan perjalanan panjang UKM selama 55 tahun dalam membentuk landskap pendidikan tinggi negara. Upacara pelepasan yang disempurnakan oleh YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, turut mencerminkan iltizam kepimpinan universiti dalam memperkukuh nilai perpaduan dan kekitaan dalam kalangan warga kampus.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua barisan urus setia yang terlibat. Diharapkan semua warga akan terus menyemarakkan obor perjuangan universiti watan, dan menghayati semangat UKM sebagai universiti untuk rakyat, oleh rakyat, demi rakyat.
Turut hadir sama YBhg. Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Gafor, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) yang menjalankan fungsi Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); YBhg. Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman, menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), merangkap Pengarah Pusat Hal Ehwal Pelajar UKM; YBrs. Tuan Haji Zanudin Mohd Daud, Pendaftar UKM merangkap Penasihat Program Langkah@5.5 KM Jubli Zamrud UKM; YBrs. Encik Hazmir Zainal, Ketua Pustakawan; barisan Ketua Pusat Tanggungjawab (PTj), serta barisan Pegawai Kanan Universiti.













