Lawatan Penanda Aras Unit Pemasaran Penerbit UKM ke Penerbit USM
PULAU PINANG, 3 FEBRUARI 2025 – Satu lawatan penanda aras yang berfokuskan kepada platform digital pemasaran telah diadakan antara Unit Pemasaran Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Bahagian Pemasaran Penerbit Universiti Sains Malaysia (USM) pada 3 Februari 2025. Lawatan ini bertujuan untuk memperkukuhkan strategi pemasaran melalui teknologi digital yang semakin menjadi trend dalam industri penerbitan akademik.
Rombongan dari Unit Pemasaran Penerbit UKM, yang diketuai oleh Encik Kamarul Arifin Sallehhudin, telah disambut oleh wakil dari Unit Pemasaran Penerbit USM, yang diterajui oleh Encik Mohd Zaidi Abdullah. Fokus utama lawatan ini bertujuan untuk mempelajari serta memahami teknik dan strategi terbaik dalam memanfaatkan platform digital bagi memperkukuh aktiviti pemasaran dan promosi.
Dalam sesi perbincangan, pihak USM telah berkongsi pengalaman mereka dalam menggunakan platform podcast sebagai saluran efektif untuk mempromosikan karya-karya akademik. Dengan pendengar yang semakin bertambah, podcast telah menjadi alat yang berkesan untuk menyebarkan maklumat mengenai penerbitan akademik secara lebih santai dan interaktif.
Sebagai langkah lanjutan daripada lawatan tersebut, pihak Penerbit USM turut menjemput Penerbit UKM untuk terlibat dalam podcast mereka, dengan tujuan untuk memperluaskan lagi jaringan kolaborasi antara kedua-dua pihak. Jemputan ini memberi peluang kepada Penerbit UKM untuk berkongsi pandangan dan pengalaman mereka mengenai pemasaran penerbitan, selain memperkenalkan produk-produk mereka kepada audiens yang lebih luas melalui platform podcast.
Selain itu, lawatan ini juga menjadi ruang pertukaran ilmu serta amalan terbaik dalam penggunaan media baharu untuk penyebaran maklumat yang lebih berkesan. Di akhir sesi, kedua-dua pihak sepakat untuk mengadakan kerjasama yang lebih erat dalam penggunaan platform digital bagi mempertingkatkan visibiliti penerbitan akademik.
Penerbit UKM mengucapkan terima kasih kepada pihak USM atas sambutan hangat dan perkongsian ilmu yang sangat bermakna ini. Lawatan ini diharapkan akan memberikan impak positif dalam meningkatkan pemasaran digital dalam kalangan penerbit universiti di Malaysia.


