KUALA LUMPUR, 3 JUN 2025 – Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 mencatatkan rekod kehadiran 2.16 juta pengunjung, mengatasi rekod sebelumnya. Acara tahunan ini menampilkan pelbagai promosi menarik ditawarkan pemain industri dan program-program yang dilaksanakan seperti sesi bedah buku, sesi bertemu penulis, serta promosi buku-buku terbaharu daripada penerbit tempatan dan antarabangsa.
Sebagai salah satu penerbit universiti terkemuka di Malaysia, Penerbit UKM turut serta aktif dalam pesta buku ini di bawah Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM). MAPIM, yang menghimpunkan penerbit-penerbit universiti tempatan, memainkan peranan penting mempromosikan karya akademik dan penyelidikan tinggi kepada masyarakat.
Di reruai MAPIM, Penerbit UKM bersama penerbit universiti mempamerkan pelbagai judul buku ilmiah dan penerbitan berkualiti. Pengunjung berpeluang mendapatkan buku-buku terbitan universiti pada harga istimewa serta berinteraksi langsung dengan penulis.
PBAKL 2025 bukan sekadar pesta buku, tetapi juga platform penting untuk mempromosikan budaya membaca dan menyebarkan ilmu. Penyertaan Penerbit UKM membuktikan komitmen institusi pengajian tinggi dalam mendukung perkembangan industri penerbitan negara. Diharapkan PBAKL akan terus menjadi wadah penyatuan insan literasi pada tahun-tahun akan datang.
Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkesempatan melintasi reruai MAPIM
Majlis Perasmian Penutupan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia
Buku-buku terbitan Penerbit UKM di reruai Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM)