Get the latest updates and news from PERKASA, where we share stories of youth empowerment and our community initiatives. Stay informed about our progress.

BANGI, 4 Oktober 2025 – Sukan Antara Program PERMATA (SUKMATA) 2025 telah berlangsung dengan meriah di Mini Stadium Pusat PERMATA@Pintar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini hari ini. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), YBhg. Dato’ Ahmad Suhaimi bin Endut. Turut hadir Setiausaha Bahagian PERMATA, YBrs. Dr. Nor Suhara binti Fadzil; Ketua Pusat Pemerkasaan Remaja (PERKASA) UKM, YBrs. Dr. Nasrudin Subhi; serta pengarah-pengarah daripada semua program PERMATA. Antara yang hadir termasuk Dr. Mahiz bin Spawi (PERMATA Insan), Puan Salmiyah binti Ahmad (PERMATA Seni), Dr. Zuraidah binti Ismail (PERMATA Kurnia), dan Dr. Mohd Nasir bin Selamat (PERMATA Pintar).

Majlis yang bermula seawal 7.30 pagi hingga 2.00 petang itu diisi dengan pelbagai aktiviti bersemangat yang menggabungkan semua program di bawah Bahagian PERMATA. Majlis perasmian dimulakan dengan perbarisan setiap kontinjen yang terdiri daripada Bahagian PERMATA, PERMATA Remaja, PERMATA Pintar, PERMATA Insan, PERMATA Seni dan PERMATA Kurnia disusuli dengan nyanyian lagu Negaraku, bacaan doa, dan ucapan perasmian pembukaan.

Selepas upacara perasmian, dif-dif kehormat dan peserta menyertai sesi senamrobik sebagai pemanas badan sebelum acara sukan dimulakan. Sebagai tuan rumah SUKMATA 2025, PERMATA Remaja merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua yang telah memberikan kerjasama dan sokongan padu dalam menjayakan penganjuran kali ini. Semoga semangat kesukanan ini terus subur dan menjadi pemangkin kepada kecemerlangan warga PERMATA.