Pusat Pemerkasaan Remaja

Welcome To PERKASA Website

News

Get the latest updates and news from PERKASA, where we share stories of youth empowerment and our community initiatives. Stay informed about our progress.

KEM KEMAHIRAN INSANIAH DAN PROSPEK KERJAYA V2.0

KERLING, 16 September 2025 – Pusat Pemerkasaan Remaja (PERKASA), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan satu program iaitu Kem Kemahiran Insaniah dan Prospek Kerjaya Versi 2.0 atau nama singkatannya KEMPRO V2.0 pada 16 hingga 18 September 2025 di Lemuni Retreat & Training Centre, Kerling Selangor. Penganjuran program Kem Kemahiran Insaniah dan Prospek Kerjaya 2025 yang bertemakan “Remaja Hebat, Agen Transformasi Negara” dilaksanakan sebagai pendedahan kepada remaja terhadap pembangunan kemahiran diri dan mengenal prospek kerjaya serta kepimpinan pada masa hadapan. Program ini juga bertujuan untuk membentuk sahsiah dan akhlak mulia dalam kalangan remaja terutamanya berkaitan elemen spiritual dan kepimpinan. Kumpulan sasaran untuk KEMPRO V2.0 terdiri daripada kumpulan remaja kalangan B40 yang merangkumi daripada empat buah pusat komuniti sekitarnya iaitu di PA Desa Rejang, PPR Pantai Ria, PPR Sri Pantai dan PPR Kampung Muhibbah di bawah Program PERMATA Remaja. Peserta yang terlibat seramai 93 orang terdiri daripada umur 13 hingga 18 tahun. Pengisian untuk program kali ini berfokuskan kepada kepimpinan dan sahsiah diri yang terdiri daripada beberapa slot dan latihan dalam kumpulan (LDK).

Program turut dikunjungi oleh Setiausaha Bahagian PERMATA YBrs Dr. Nor Suhara binti Fadzil dan beliau sangat teruja dengan aktiviti yang dilaksanakan. Program ini telah diketuai oleh Dr Mohd Nasir Selamat sebagai ketua penyelidik di mana program ini bukan sekadar seperti kem jati diri akan tetapi sebagai rujukan asas untuk pembentukan modul sahsiah diri dan prospek kerjaya terhadap remaja golongan B40 yang tinggal di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR). Modul ini akan menjadi rujukan terhadap pihak yang bertanggungjawab, para tenaga pengajar, dan seumpamanya. Antara slot yang dilaksanakan ialah Slot 1 - Siapa Kita yang dikendalikan oleh Dr. Arena Che Kasim yang memfokuskan elemen spiritual dan juga sahsiah diri remaja. Selain itu, salah satu latihan dalam kumpulan iaitu Prospek Kerjaya Idaman yang telah dikendalikan oleh Dr. Mohd Nasir Selamat, telah menunjukkan setiap peserta mempunyai cita-cita masing-masing dan cara untuk mencapai kerjaya impian mereka. Penglibatan kesemua peserta dengan aktif telah menunjukkan mereka mempunyai pendapat dan pandangan sendiri serta berani untuk menyuarakannya.

Seterusnya, Slot 2 - Kisah Benar yang dikendalikan oleh Dr. Aizan Sofia telah membuka mata para peserta bahawa latar belakang, kisah silam dan kekurangan diri bukan penghalang untuk mencapai impian sendiri. Slot ini bertujuan untuk membangunkan remaja berdasarkan kekuatan dan kelebihan sendiri dan memperkasakan jati diri para peserta. Akhir sekali, Slot 3 – Kepimpinan yang dikendalikan oleh Dr. Daniella Maryam. Slot ini lebih kepada mengetengahkan isu-isu sosial yang sering berlegar dalam kalangan remaja dan ingin melatih remaja cara mendisiplinkan diri untuk menangani isu-isu sosial remaja tersebut. Latihan dalam kumpulan yang telah dijalankan dan dikendalikan oleh Dr. Mohd Nasir dan juga barisan fasililatator pada selingan setiap slot telah menambahkan lagi impak dan objektif program ini. Secara keseluruhannya, KEMPRO V2.0 ini bukan sahaja membangunkan sahsiah diri remaja tetapi juga mencungkil bakat dan sifat keberanian diri mereka untuk memilih haluan kerjaya dan hidup mereka pada masa hadapan.