Pusat Pemerkasaan Remaja

Selamat Datang ke Laman Web Perkasa

Berita

Dapatkan informasi dan berita terkini dari PERKASA, di mana kami berkongsi berita tentang pemerkasaan belia dan inisiatif komuniti kami. Ketahui tentang perkembangan kami.

PROGRAM KOLABORASI BERSAMA SMK TAMAN SERI RAMPAI

SETAPAK, 9 Disember 2025 – Pusat Pemerkasaan Remaja (PERKASA) telah mengadakan satu program pengenalan program PERMATA Remaja kepada pelajar-pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Seri Rampai, Setapak. Seramai 174 orang pelajar tingkatan tiga yang hadir dan meluangkan masa mereka untuk mendengar penerangan tentang program PERMATA Remaja pengisian program. Objektif program ini adalah untuk memperkenalkan program PERMATA Remaja kepada pelajar dan seterusnya mendapatkan peserta-peserta baharu yang berminat untuk menyertai aktiviti yang dijalankan. Program ini dimulakan dengan motivasi ringkas untuk memberi dorongan kepada pelajar dari segi akhlak,keperibadian, dan personaliti diri pelajar itu sendiri.

Seterusnya, pelajar diberi penerangan tentang bidang kemahiran seperti solekan, fotografi, vokal dan muzik serta kek dan pastri yang ditawarkan di bawah program PERMATA Remaja. Setelah selesai sesi penerangan, para pelajar dihidangkan dengan secawan Milo yang enak hasil kolaborasi dan sumbangan pihak NESTLÉ bersama PERMATA Remaja. Pihak NESTLÉ turut menyediakan lori Milo bagi membolehkan semua pelajar dan guru menikmati Milo sejuk yang disediakan secara terus dari lori tersebut. Para pelajar jelas kelihatan teruja dan gembira dapat menikmati minuman percuma ini.

Pihak PERMATA Remaja merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan jutaan terima kasih kepada SMK Taman Seri Rampai melalui kaunselor sekolah atas kesudian menjemput pihak PERKASA bagi memperkenalkan Program PERMATA Remaja. Program selama satu jam ini telah memberikan manfaat kepada para pelajar serta berjaya mencetuskan minat mereka untuk menyertai kelas-kelas kemahiran yang dianjurkan. Pihak PERKASA juga mengucapkan terima kasih kepada pihak NESTLÉ atas sumbangan minuman Milo percuma kepada para pelajar dan warga sekolah.