Latar Belakang

Seminar Antarabangsa Manuskrip Melayu atau singkatannya SEMALU merupakan seminar khas yang membincangkan tentang penyelidikan berteraskan manuskrip alam Melayu. Seminar ini dianjurkan secara tahunan dan telah memasuki tahun yang ke-empat pada tahun ini. Bidang penyelidikan manuskrip merupakan satu bidang penyelidikan yang mencakupi perbincangan yang sangat luas berdasarkan kajian filologi dan juga kodikologi. Manuskrip Melayu merupakan satu khazanah warisan ilmu yang menjadi bukti kepada tamadun Melayu. Ia juga merupakan bahan budaya yang membuktikan pengaruh agama Islam yang sangat besar dalam Tamadun Melayu Nusantara. Manuskrip Melayu bukan sahaja menjadi nadi perkembangan ilmu masyarakat Melayu, tetapi ia turut menjadi buruan para cendekiawan dan sejarahwan asing bagi mempelajari dan mengenali masyarakat Melayu di rantau ini.

Antara manuskrip alam Melayu yang telah diangkat sebagai warisan dunia di dalam Memory of the World di bawah UNESCO ialah manuskrip Hikayat Hang Tuah, Manuskrip Ilmu Bedil dan Manuskrip Panji. Kejayaan menyenaraikan manuskrip alam Melayu ini di dalam MOW membuktikan kepentingan warisan pustaka dan intelektual alam Melayu kepada kelestarian dan pembangunan mampan masyarakat dunia dan di negara ini khususnya.

Walaupun penghasilan manuskrip Melayu telah lama berakhir, namun penyelidikan manuskrip Melayu telah mendapat perhatian di peringkat antarabangsa, serantau dan di peringkat kebangsaan. Pelbagai tajuk dan pendekatan diambil oleh para pengkaji dari bidang akademik mahupun bukan akademik bagi mendalami ilmu yang tersimpan dalam manuskrip Melayu. Selain itu, penerokaan ilmu yang terkandung dalam manuskrip juga turut dimanfaatkan untuk mendidik generasi baru tentang budaya ilmu tamadun Melayu.

Justeru itu, Pusat Penyelidikan Manuskrip Alam Melayu (PPMAM), Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) meneruskan penganjuran Seminar Antarabangsa Manuskrip Melayu yang ke-empat pada tahun ini (SEMALU IV).

Objektif

  1. Menyediakan platform bagi penyelidik akademik dan bukan akademik berkongsi hasil penyelidikan berkaitan manuskrip Melayu.
  2. Melestarikan penyelidikan manuskrip Melayu.
  3. Menyemarakkan aktiviti penyelidikan berkaitan manuskrip Melayu.

Butiran Seminar

Tarikh Seminar: 21 – 23 Julai 2026

Penyertaan: 
Tarikh Akhir : 15 Mac 2026

Bayaran:
Tarikh Akhir: Sebelum 30 April 2026

Penghantaran Abstrak:
Tarikh Akhir : 15 Mac 2026

Penghantaran Kertas Kerja:
Tarikh Akhir: 15 Mac 2026

Tempat

Goethe University, Frankfurt, Jerman