Latar Belakang

Idea menerokai bidang gastronomi Melayu ini dicetuskan pada hujung tahun 2014 oleh Dr. Mohd Faizal Musa, selaku Felo Penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), yang membawa usulan ini kepada Profesor Dr. Nor Hashimah Jalaluddin, Pengarah ATMA pada waktu itu.

Ekoran dari itu ATMA, UKM telah mengadakan Meja Bulat “Gastronomi Melayu: Suatu Pengenalan” pada 28 Februari 2017. Ini membawa kepada Seminar Gastronomi Melayu Kebangsaan Pertama yang berlangsung di Hotel Tenera, Bangi, pada 30 Oktober 2019.

Kajian Gastronomi Alam Melayu seharusnya menggarap sains rasa dan merasa dalam Alam Melayu melibatkan rentas bidang termasuklah bahasa, budaya, psikologi, sastera dan arkeologi. Ilmu gastronomi adalah bidang yang menerokai apa yang ada di meja hidangan, iaitu apa yang ada dalam hidangan, bagaimana dan mengapa ia dijamah oleh si pemakan, bagaimana ia disiapkan, etiket hidangan, hiasan dan juga akhirnya aturan hidangan.

Gastronomi sebuah disiplin yang sering disalahertikan sebagai satu bidang yang enteng serta dikaitkan dengan hiburan, pelancongan, dan perhotelan; serta kurang diberi perhatian. Lebih menyedihkan, gastronomi juga telah secara tidak adil disorot sebagai satu bidang tata boga atau seni kulinari yang terhad kepada seni menyediakan hidangan. Selama ini, untuk memberikan bidang gastronomi kehormatan tersendiri, terdapat pula usaha menyorotnya sebagai sektor yang boleh dimajukan untuk kepentingan ekonomi. Tinjauan kosa ilmu juga menghantar kita kepada aspek nutrisi, justeru sains kesihatan. Hal ini tidaklah salah, akan tetapi dengan hanya memberikan perhatian kepada aspek tertentu dalam gastronomi, Wacana sebenar gastronomi telah terabai.

Hasrat ATMA, adalah untuk menekuni gastronomi ini dari sudut pandang Melayu. Hal ini tidaklah bermaksud ATMA menafikan kerencaman hidangan di negara kita yang sememangnya kaya dengan pertembungan pelbagai budaya, yang menjadikan juadah Malaysia demikian kompleks dan begitu khas.

Bertitik tolak dari seminar sebelum, SEGEMUKIII ingin mendalami tantangan yang dihadapi oleh gastronomi Melayu hari ini seperti proses urbanisasi yang mengganggu kelestarian makanan tradisional Melayu; atau usaha menyelamatkan, memulihara dan mewariskan gastronomi Melayu. Barangkali juga perlu dikincah kembali aspek kegerunan yang mungkin tidak begitu dilihat iaitu makanan yang dianggap milik Melayu ini direbut kuasa asing sebagai milik mereka. Bagaimana pula dengan keaslian makanan Melayu yang kini dicabar oleh proses lakuran. Pelakuran makanan ini turut mempengaruhi citarasa generasi baharu.

Objektif

  • Menerokai, dan memahami tantangan yang dihadapi oleh gastronomi alam Melayu hari ini.
  • Memperluaskan penyelidikan berkaitan gastronomi Melayu bagi menyerlah keunikan falsafah dan kelestarian makanan tradisional Melayu.
  • Menghasilkan penerbitan yang berimpak sebagai bahan rujukan terkait gastronomi Melayu.

Butiran Seminar

Tarikh Seminar: 06 Mei 2026 (Rabu)

Penyertaan:  Tarikh Akhir : 01 April 2026

Bayaran:
Tarikh Akhir: 01 April 2026

Penghantaran Abstrak:
Tarikh Akhir : 01 April 2026

Penghantaran Kertas Kerja : Tarikh Akhir: 01 Mei 2026

Yuran Penyertaan

Pertanyaan

E-mel kami: segemuk@ukm.edu.my

Kod QR Penyertaan: https://forms.gle/QLEK2LG2XoPfXFAG6

 

Tempat

Bangi Avenue Convention Center (BACC)
No. 21 & 22, Pusat Perniagaan Bangi Avenue Persiaran Bangi Avenue, Seksyen 2, Taman Bangi Avenue,
43000 Kajang, Selangor

Copyright © 2026 Universiti Kebangsaan Malaysia