Program Motivasi Profesor Ke Desa

 Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina

Matlamat PKD

Program Motivasi Profesor ke Desa (PKD) merupakan satu inisiatif untuk meningkatkan bilangan pelajar yang memilih dan mengambil aliran sains tulen semasa mereka berada di tingkatan 4. Program ini bertujuan memotivasikan pelajar-pelajar meminati bidang kejuruteraan & arkitektur dan seterusnya memperkenal dan mempromosikan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), UKM. Program ini ialah inisiatif Majlis Profesor FKAB melalui kerjasama Kelab Pejabat Dekan sebagai satu usaha untuk mengembangkan ilmu Sains, Teknologi dan Kejuruteraan ke peringkat akar umbi iaitu di sekolah-sekolah menengah terutamanya di kawasan pedalaman.

Melalui saluran ini, Fakulti akan menghantar kakitangan akademik bertaraf profesor ke sekolah-sekolah menengah untuk memberi pendedahan tentang kerjaya sebagai seorang Jurutera, program-program Kejuruteraan FKAB, program Dwi-ijazah UKM-UDE, Germany, struktur yuran dan pembiayaan pengajian, tips menjadi pelajar cemerlang dan banyak lagi beserta melakukan aktiviti bersama yang mana bersifat sains dan teknologi. Disamping itu program ini juga bersifat head hunter untuk mengesan pelajar cemerlang yang tergolong dalam B40 untuk dipantau dan di didik sebagai bakal mahasiswa UKM kelak.

Profesor Ke Desa memberi peluang kepada kakitangan akademik FKAB untuk berinteraksi, berkenalan dan mengeratkan lagi hubungan selaras dengan saranan penjawat awam “turun padang” dan mendekati pelajar dari akar umbi.