Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim

 UKM

Galeri Tun Fatimah Hashim

Latar Belakang

Galeri Tun Fatimah Hashim ditubuhkan di Universiti Kebangsaan Malaysia untuk menghargai jasa dan sumbangan seorang pemimpin wanita negara – Tun Fatimah Hashim.  Tun Fatimah Hashim merupakan wanita pertama dilantik menjadi Menteri dalam Kabinet Malaysia.  Beliau memegang portfolio Menteri Kebajikan Am dari 20 Mei 1969 hingga akhir Februari 1973.  Tun Fatimah Hashim telah banyak berjasa dalam usaha untuk memperjuangkan hak-hak wanita di Malaysia melalui pergerakan kaum Ibu UMNO dan Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO).  Galeri ini mempamerkan koleksi peribadi Tun Fatimah Hashim, dokumentasi dan bahan-bahan penyelidikan mengenai Tun Fatimah Hashim dalam usaha memelihara khazanah beliau.

Pada 26 Jun 2013 YB. Datuk Hajah Rohani Hj. Abdul Karim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah merasmikan penubuhan Galeri Tun Fatimah Hashim  bertempat di Dewan Kuliah Utama, Pusat Pengurusan Siswazah.

Objektif Penubuhan Galeri

Sebagai satu penghargaan UKM di atas jasa dan sumbangan Tun Fatimah Hashim di arena politik dan kepimpinan pergerakan wanita negara.  Galeri ini juga bertujuan untuk menonjolkan keterampilan dan mengabadikan semangat perjuangan Tun Fatimah Hashim sebagai pemimpin yang berjiwa besar dalam memartabatkan taraf wanita serta menjadi rujukan kepada generasi mendatang.