Majlis Syarahan Perdana Profesor – Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh, Rokok Elektronik: Keseronokan Terlarang Dalam Kalangan Remaja

Majlis Syarahan Perdana Profesor, Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh dari Jabatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan, UKM bertajuk “Rokok Elektronik: Keseronokan Terlarang Dalam Kalangan Remaja” telah diadakan pada 3 Februari 2020 (Isnin) jam 2.00 petang bertempat di Auditorium, Kompleks Pendidikan Tuanku Ja’afar, Jalan Ya’acob Latif, Bandar Tun Razak, 56000 Cheras, Kuala Lumpur.

Syarahan Perdana yang bertajuk “Rokok Elektronik: Keseronokan Terlarang Dalam Kalangan Remaja” adalah mengenai gejala penggunaan vape, terutama terhadap produk haram dan pemasaran dalam talian yang berleluasa sekarang. Beliau berpendapat ketagihan adalah satu daripada kesan menghisap rokok tradisional yang mengandungi nikotin dan kini terdapat juga nikotin di dalam e-rokok dan vape. Melihat pada isu dan keadaan semasa, penggunaan rokok elektronik boleh merisikokan kesihatan pengguna dan masyarakat.  Penerimaan dan keterbukaan masyarakat terhadap budaya ini berpotensi mendorong dan mempengaruhi individu yang bebas rokok, wanita dan kanak-kanak untuk terjebak dalam budaya yang tidak berfaedah dan tidak sihat ini.

Turut hadir ke majlis ini ialah YBhg. Prof. Dato’ Ir. Dr. Mohd Marzuki Mustafa, Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Akademik & Antarabangsa mewakili Naib Canselor UKM, YBhg. Prof. Datuk Dr. A Rahman A Jamal, Pro Naib Canselor, Kampus Kuala Lumpur, UKM dan YM Prof. Dr. Raja Affendi Raja Ali, Dekan Fakulti Perubatan, UKM.