Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kampus Kuala Lumpur

CHERAS, 13 Julai 2018 – Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kampus Kuala Lumpur telah dijalankan di perkarangan Bangunan Pra-Klinikal PPUKM. Sambutan ini merupakan yang pertama selepas  penstrukturan baru pengurusan Kampus Kuala Lumpur.

Majlis bermula sebaik sahaja ketibaan Naib Canselor UKM, Prof. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali  dan jemputan tetamu terhormat yang lain. Turut hadir ialah Tan Sri Dato’ Seri Dr. Ibrahim Saad, Pengerusi Lembaga Pengurusan Universiti (LPU), Prof. Datuk Dr. A Rahman A Jamal, Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur, ahli-ahli LPU, timbalan-timbalan naib canselor, dekan-dekan, pengarah HCTM, pegawai-pegawai kanan UKM dan Kampus KKL.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan daripada Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur, diikuti dengan ucapan daripada Naib Canselor UKM. Pemberian duit raya kepada kanak-kanak Taska PPUKM turut diadakan bagi memeriahkan majlis. Para tetamu jemputan dan warga kampus Kuala Lumpur yang hadir dijemput untuk menjamu selera selepas pemberian duit raya diberikan kepada semua kanak-kanak yang terlibat. Dendangan dan nyanyian lagu hari raya oleh kakitangan Kampus KL UKM dan persembahan kanak-kanak Taska PPUKM telah memeriahkan lagi majlis.  

Pelbagai gerai juadah disediakan dan seperti kebiasaan, gerai kambing bakar menjadi tumpuan utama. Tinjauan juga mendapati gerai apam balik dan ayam golek juga turut mencuri tumpuan ramai. Selesai menjamu selera, Naib Canselor UKM diiringi oleh Prof. Dr. Sabarul Afian Mokhtar untuk beramah mesra dengan warga kampus KL di gerai-gerai makanan. Selain bersalam-salaman, aktiviti swafoto bersama  warga Kampus KL dengan Naib Canselor UKM juga tidak ketinggalan untuk dirakamkan sebagai kenangan. Majlis bersurai pada pukul 5.30 petang.