UCAPAN SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA 1442H / 2021M

UCAPAN SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA 1442H / 2021

PENGARAH PUSAT ISLAM UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA

 

اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ، لَااِلٰهَ اِلَّا اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ

 

Firman Allah Taala dalam Surah Al-Kauthar 108:2

 

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Maksudnya: “Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).”

 

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana masih diberikan peluang untuk kita terus berkhidmat dan berbakti kepada agama, Universiti dan Negara dan meraikan Hari Raya Aidiladha dalam suasana yang sederhana.

 

Tahun 2021 merupakan tahun kedua umat Islam yang berada di Malaysia tidak dapat menunaikan ibadah haji. Ianya amat memilukan namun sebagai umat Islam, ujian Covid-19 ini seharusnya menjadikan kita lebih matang dan berpeluang untuk menghayati erti sebuah pengorbanan dan redha dengan setiap ujian yang datang.

 

Kini sudah menjangkau lebih setahun negara Malaysia bertarung menghadapi Covid-19 ini. Sudah tentu pelbagai ujian dan pengorbanan yang perlu dilalui oleh setiap daripada kita, ubatilah rasa penat ujian ini dengan membesarkan Allah pada hari raya Aidiladha. Kepada Allah jualah kita bertawakal setelah berusaha.

 

Bagi warga yang berkesempatan melaksanakan Ibadah korban, yang mana ianya merupakan salah satu daripada syiar-syiar Islam yang perlu dihidupkan oleh setiap umat Islam. Tambahan pula, korban merupakan sunat kifayah yang mana apabila salah seorang daripada ahli keluarga melaksanakannya maka kesemua keluarga tersebut mendapat pahala sunat korban.

Sepertimana hadith daripada Imran RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

يَا فَاطِمَةُ قَوْمِي فَاشْهَدَيِ أُضْحِيَّتَكِ، فَإِنَّهُ يُغْفَرُ لَكِ بِكُلِّ قَطْرَةٍ مِنْ دَمِهَا كُلُّ ذَنْبٍ عَمِلْتِيهِ، وَقُولِي: إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ، لَا شَرِيكَ لَهُ، وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا أَوَّلُ الْمُسْلِمِينَ، فَقَالَ عِمْرَانُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، هَذَا لَكَ وَلِأَهْلِ بَيْتِكَ خَاصَّةً، فَأَهْلُ ذَلِكَ أَنْتُمْ، أَمْ لِلْمُسْلِمِينَ عَامَّةً؟ قَالَ: بَلْ لِلْمُسْلِمِينَ عَامَّةً

 

Maksudnya: “Wahai Fatimah, bangunlah dan lihatlah korbanmu. Sesungguhnya ia mengampunkanmu kerana setiap titis daripada darahnya mewakili setiap dosa yang telah kamu lakukan. Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadahku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagi-Nya dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal (berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintah-Nya).” Maka telah berkata Imran: “Wahai Rasulullah, ini khusus hanya untuk kamu dan ahli keluarga kamu, kerana ahli dalam perkara ini adalah kamu (keluarga Rasulullah SAW) atau ia untuk umat Islam keseluruhannya?.” Rasulullah SAW menjawab: “Bahkan, ia untuk umat Islam keseluruhannya.” [Riwayat al-Thabarani di dalam Mu’jam al-Awsath (2509)][Hadith ini dihukum dhaif oleh Ibn Mulaqqin]

 

Akhir kalam mewakili warga kerja Pusat Islam Universiti, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam khususnya warga Universiti Kebangsaan Malaysia. Semoga sambutan hari raya tahun ini mendekatkan lagi diri kita kepada Allah SWT.

 

Selamat Hari Raya Aidiladha dan Salam Hormat,

Pengarah, Pusat Islam Universiti Kebangsaan Malaysia