Majlis Penutup Kejohanan Sukan Staf UKM 2025 (SSUKM25)
https://www.facebook.com/share/p/1EnWpqugUX/
Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Kejohanan SSUKM2025 telah berlangsung dengan penuh kemeriahan dan semangat kesukanan pada 2 Julai 2025 bertempat di Stadium Universiti, UKM. Acara ini menjadi penutup kepada kejohanan yang telah memperlihatkan kesungguhan, ketangkasan dan semangat juang tinggi dalam kalangan staf UKM sepanjang berlangsungnya kejohanan ini.
Majlis diserikan dengan kehadiran barisan kepimpinan universiti yang amat dihormati antaranya YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti; YBhg. Prof. Dr. Sufian Jusoh, Naib Canselor UKM; YBhg. Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman, Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni; Tuan Haji Zanudin Mohd Daud, Pendaftar UKM; Dr. Nur Shakila Mazalan, Pengarah Pusat Sukan UKM; serta turut hadir adalah pengarah-pengarah pusat tanggungjawab, dekan-dekan fakulti pengajian, ketua-ketua kontinjen, urus setia dan para atlet yang bersemangat tinggi. Majlis penutup ini telah disempurnakan dengan penuh penghargaan oleh YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak bersama-sama dengan barisan tertinggi universiti dalam meraikan pencapaian cemerlang para atlet.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada Gugusan Perubatan atas kejayaan gemilang muncul sebagai Juara Keseluruhan Kejohanan SSUKM25! Kemenangan ini adalah hasil kerjasama kukuh, disiplin dan semangat berpasukan yang tidak pernah luntur sepanjang kejohanan.
Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua yang telah menyumbang bakti secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan kejohanan ini — dari atlet, pegawai, sukarelawan, urus setia, hingga ke seluruh warga UKM yang memberikan sokongan. Semoga semangat kesukanan ini terus menjadi pemangkin kepada penyatuan, kecemerlangan dan kebanggaan kita bersama sebagai satu warga UKM.