Jabatan Fizik Gunaan

Program Sarjana Sains (Penyelidikan)

 

Bidang penyelidikan

Jabatan Fizik Gunaan menawarkan penyelidikan dalam bidang Fizik Angkasa, Filem Nipis, Fizik Matematik, Pendidikan Fizik, Fizik Perubatan, Perubatan Nuklear, Ionik Keadaan Pepejal, Metalurgi Kakisan, Karbon Termaju, Bahan Komposit, Magnet, Seramik, Superkonduktor Suhu Tinggi, Nanoteknologi, Biobahan, Teknologi Bio-polimer Komposit, Teknologi Polimer, Teknologi Pulpa dan Kertas, Tenaga Boleh diperbaharui, Teknologi Terma Suria, Teknologi Fotovolta, Ujian Tanpa Musnah, Penilaian Impak Radiologi, NORM-Sisa Industri Tercemar, Analisis dan Rawatan Pencemaran, Permodelan Perlindungan Sinaran, Pemprosesan Sinaran, Sintesis dan Penggunaan Nanobahan, Teknik Serakan Sudut Kecil, Glikolipid dan Biosurfaktan, Baikpulih Tanah, Pengubahsuaian Bahan melalui Penyinaran, Teknik Nuklear dalam kajian pencemaran alam sekitar, Dosimetri Biologi, Keselamatan dan Sekuriti Nuklear, Teknik Nuklear dalam Makanan dan Pertanian dan Pengurusan Keselamatan Industri.

 

Ijazah yang ditawarkan

  1. Sarjana Sains (Fizik)
  2. Sarjana Sains (Sains Bahan)
  3. Sarjana Sains (Sains Nuklear)

 

Syarat Kemasukan

  1. Ijazah Sarjanamuda dengan memperoleh PNGK ≥ 2.75 dari Universiti atau mana-mana institusi pengajian tinggi yang diiktiraf oleh Senat; atau
  2. Ijazah Sarjanamuda Sains atau yang setara dengannya, dengan memperoleh PNGK 2.50 – 2.74, boleh diterima masuk tertakluk kepada minimum 1 tahun pengalaman bekerja dalam bidang yang berkaitan; atau
  3. Memenuhi syarat lain yang ditetapkan oleh program (jika berkenaan); dan
  4. Memenuhi syarat Agensi Kelayakan Malaysia (MQA);
  5. Pelajar luar negara perlu mendapat keputusan minimum TOEFL 550 / IELTS band 5 / MUET band 3. (Pelajar dari luar negara yang berasal dari negara yang Bahasa Inggeris adalah bahasa rasminya atau memiliki kelayakan akademik yang diperoleh dari mana-mana institusi pengajian tinggi yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dikecualikan daripada IELTS / TOEFL / MUET)

Calon pelajar luar negara yang memenuhi kelayakan akademik tetapi tiada kelayakan Bahasa Inggeris boleh mengikuti kursus intensif Bahasa Inggeris selama satu tahun (tempoh maksimum). Calon yang tidak berjaya mencapai syarat minimum seperti mana yang ditetapkan program pengajian akan diberi status gagal berhenti.

 

Struktur Program

Setiap pelajar yang mengikuti program ini dikehendaki mendaftar dan lulus 10 jam kredit kursus termasuk kursus wajib iaitu kursus STPD6014 Kaedah Penyelidikan (4 jam kredit) dan juga pendaftaran tesis setiap semester sehingga tamat pengajian.

  • Program Sarjana Sains (Fizik), 6 jam kredit kursus boleh dipilih daripada kursus-kursus yang ditawarkan oleh Program Sarjana Sains (Fizik Gunaan) atau Sarjana Sains (Teknologi Tenaga) tertakluk kepada persetujuan penyelia pelajar.
  • Program Sarjana Sains (Sains Bahan), 3 jam kredit kursus hendaklah dipilih daripada mana-mana kursus Peringkat Sarjana yang ditawarkan oleh Jabatan Fizik Gunaan dan 3 jam kredit kursus lagi hendaklah dipilih daripada mana-mana Program Sarjana Sains yang ditawarkan oleh Jabatan di Fakulti Sains dan Teknologi tertakluk kepada persetujuan penyelia pelajar.
  • Program Sarjana Sains (Sains Nuklear) pula, 6 jam kredit kursus hendaklah dipilih daripada mana-mana Program Sarjana Sains yang ditawarkan oleh Jabatan di Fakulti Sains dan Teknologi tertakluk kepada persetujuan penyelia pelajar.

Pelajar perlu menjadualkan pertemuan dengan penyelia atau jawatankuasa penyeliaan tidak kurang daripada 26 jam pertemuan setiap semester bagi pelajar sepenuh masa dan 13 jam pertemuan setiap semester bagi pelajar separuh masa. Hasil penyelidikan ditulis sebagai sebuah tesis.

Pelajar mesti memenuhi syarat-syarat bergraduat yang ditetapkan oleh fakulti.

Pelajar perlu menerbitkan sekurang-kurangnya satu (1) makalah dalam jurnal berindeks Web of Science (WOS) dalam bidang berkaitan dengan penyelidikan Sarjana Sains bersama Penyelia atau Jawatankuasa Penyeliaan