
16 Jun 2025 – Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universitas Warmadewa, Indonesia. Lawatan ini bertujuan untuk meneroka potensi kerjasama akademik dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan khidmat masyarakat, selaras dengan aspirasi Tri Dharma Perguruan Tinggi.
Delegasi Universitas Warmadewa diketuai oleh Prof. Dr. Ir. I Gde Suranaya Pandit, M.P, selaku Rektor universiti tersebut. Turut mengiringi beliau ialah Dr. dr. Made Indra Wijaya, MARS., PhD., FISQua (Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan), Dr. dr. DAP Sri Masyeni, Sp.PD-KPTI (Naib Rektor Bidang Akademik, Penyelidikan dan Khidmat Masyarakat), serta Dr. Sartivi Harkitasari, Sp.S., M.Biomed (Timbalan Dekan bagi bidang yang sama). Delegasi turut disertai oleh Dr. Anak Agung Indraningrat (Ketua Jabatan Penyelidikan) dan Anak Agung Istri Laksmi Darmayanti, S.Sos., Ns. (Ketua Unit Pentadbiran Universitas Warmadewa).
Delegasi UKM pula diketuai oleh Prof. Dr. Marina Mat Baki, Dekan Fakulti Perubatan. Turut hadir dalam sesi pertemuan ini ialah Prof. Dr. Norazlina Mohamed (Timbalan Dekan Prasiswazah), Prof. Datin Dr. Norlinah Mohamed Ibrahim (Timbalan Dekan Siswazah), Prof. Madya Dr. Ruslinda Mustafar (Timbalan Dekan Hal Ehwal Jaringan, Industri & Masyarakat), Prof. Madya Dr. Noor Akmal Shareela Ismail (Penolong Dekan Pengajaran & Citra), Dr. Syamsa Rizal Abdullah (Penolong Dekan Hal Ehwal Pelajar & Alumni) serta En. Zansyuwari Mohamad Shahrullail, Ketua Pentadbiran Fakulti.
Dalam ucapan aluan, Prof. Marina menzahirkan komitmen UKM untuk meneroka dan memperkukuh kerjasama serantau dengan institusi pengajian tinggi luar negara. Beliau menegaskan bahawa hubungan akademik seperti ini berupaya memperluas jaringan ilmu serta membuka peluang pembangunan profesional kepada pelajar dan pensyarah kedua-dua institusi.
Antara cadangan kerjasama yang dibincangkan termasuklah pelaksanaan program elektif pertukaran pelajar, penglibatan pensyarah jemputan UKM ke Universitas Warmadewa, program Fellowship, serta pelaksanaan Medical Practicum Elective 2025 yang dirancang untuk memberikan pengalaman klinikal, khidmat komuniti dan pendedahan budaya kepada pelajar antarabangsa di UKM. Delegasi Universitas Warmadewa turut menyatakan minat yang tinggi untuk menjalinkan hubungan kerjasama jangka panjang bersama UKM sebagai sebahagian daripada rangka lawatan akademik mereka ke Malaysia.
Pertemuan ini menjadi titik permulaan yang signifikan dalam usaha membina hubungan dua hala yang saling menguntungkan demi kemajuan bidang pendidikan, penyelidikan dan kesihatan di peringkat serantau.