INDUSTRY COMMUNITY & PARTNERSHIPS – FACULTY OF MEDICINE UKM

Majlis Menandatangani

2025

3 September 2025- Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mencatat satu lagi kejayaan signifikan apabila menandatangani Perjanjian Penyelidikan bernilai RM24,000 bersama Moirai Tech Sdn. Bhd.

Kajian ini diketuai oleh Prof. Madya Dr. Aida Hani Mohd Kalok, Pensyarah dan Pakar Obstetrik & Ginekologi di Fakulti Perubatan UKM serta Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), yang mengaplikasikan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi membangun model peramal (predictive model) untuk meningkatkan keselamatan penjagaan wanita semasa proses kelahiran.

Usaha ini diharapkan dapat mengurangkan risiko komplikasi bersalin dan keperluan intervensi, sekali gus memberikan faedah langsung kepada ibu serta bayi.
Kerjasama strategik ini menggambarkan keyakinan sektor industri terhadap keupayaan penyelidikan dan klinikal UKM, khususnya melalui gabungan kepakaran Fakulti Perubatan dan HCTM, serta membuka peluang kepada penemuan baharu dan hubungan kolaborasi jangka panjang yang berimpak besar.

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Moirai Tech atas dedikasi dan sokongan padu, serta ucapan tahniah kepada Prof. Madya Dr. Aida Hani bersama seluruh kumpulan penyelidik atas komitmen yang tidak berbelah bahagi.
Semoga inisiatif ini berjalan dengan lancar dan terus membawa manfaat kepada pesakit di HCTM, komuniti kesihatan, serta masyarakat secara keseluruhan.

19 September 2025 –Fakulti Perubatan UKM yang diwakili oleh Prof. Madya Dr. Ruslinda Mustafar, Timbalan Dekan Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, telah menandatangani Surat Hasrat (LOI) bersama Brill International bertempat di Komune Living & Wellness Hotel, Cheras.

Jalinan kerjasama strategik ini membuka ruang baharu dalam memperkukuh hubungan akademik, memperluas bidang penyelidikan serta meningkatkan penerbitan ilmiah di peringkat global.
Majlis ini turut diadakan bersempena dengan Ocular Emergency Masterclass 2025 yang menghimpunkan pakar oftalmologi tempatan bagi berkongsi kepakaran dan pengalaman dalam menangani kes-kes kecemasan berkaitan mata.

Syabas diucapkan kepada semua yang terlibat, khususnya Prof. Madya Dr. Wan Haslina Wan Abdul Halim serta pasukan penyelidik atas komitmen dan dedikasi yang tinggi. Diharapkan inisiatif ini memberi impak positif kepada masyarakat dan komuniti perubatan keseluruhannya.

7 Ogos 2025 – Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju dalam penyelidikan dan pendidikan perubatan dengan menerima sumbangan bernilai RM5 juta daripada Jeffrey Cheah Foundation (JCF). Dana strategik ini akan dimanfaatkan untuk menubuhkan Kursi Kecemerlangan Tan Sri Sir Jeffrey Cheah yang akan menjadi platform bagi pengembangan ilmu, penyelidikan serta inisiatif kesihatan berasaskan komuniti secara menyeluruh. Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoA) antara UKM dan JCF telah diadakan pada 7 Ogos 2025 di Auditorium Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM). MoA tersebut telah ditandatangani oleh Naib Canselor UKM, YBhg. Prof. Dr. Sufian Jusoh dan Pemegang Amanah JCF, Tan Sri Datuk Seri Razman Hashim serta disaksikan oleh Prof. Datin Dr. Marina Mat Baki, Dekan Fakulti Perubatan UKM, dan Prof. Dr. Raja Affendi Raja Ali, Dekan Sir Jeffrey Cheah Sunway Medical School. Majlis bersejarah ini turut dihadiri oleh YAM Tunku Zain Al-‘Abidin, Pemegang Amanah JCF dan Felo DiRaja UKM, Tan Sri Sir Jeffrey Cheah, Pengasas dan Pemegang Amanah JCF serta Canselor Sunway University, bersama pegawai-pegawai kanan daripada UKM, JCF dan Sunway University.

Dalam ucapannya, Prof. Dr. Sufian menegaskan bahawa kolaborasi ini akan membuka ruang baharu dalam memperkukuh penyelidikan, kualiti pengajaran dan penglibatan aktif Fakulti Perubatan UKM bersama komuniti. “Inisiatif ini bukan sahaja meletakkan Fakulti Perubatan UKM sebagai pusat kecemerlangan dalam bidang perubatan dan kesihatan awam negara, malah turut memperkukuh peranan universiti dalam menjayakan agenda kesihatan global,” katanya. Kursi Kecemerlangan ini membolehkan pelantikan seorang sarjana terkemuka yang akan menerajui penyelidikan transdisiplin dalam bidang perubatan dan kesihatan awam serta merangsang kerjasama antara UKM dan Sunway University. Antara komponen utama inisiatif ini termasuk pembangunan penyelidikan bersama, penubuhan pusat inkubasi dan kemudahan instrumen penyelidikan berteknologi tinggi, program pertukaran pelajar dan staf, mobiliti antarabangsa, pembelajaran digital, biasiswa, serta penganjuran bengkel, ceramah, kursus pendek dan penerbitan awam untuk manfaat komuniti.

Tan Sri Sir Jeffrey Cheah menegaskan bahawa UKM merupakan universiti awam pertama di Malaysia yang dianugerahkan Kursi atas nama beliau. “Fakulti Perubatan UKM telah membuktikan rekod cemerlang dalam penyelidikan dan pembangunan kesihatan awam. Saya yakin, melalui kerjasama ini, kita mampu meluaskan impak pendidikan tinggi kepada masyarakat Malaysia secara menyeluruh,” katanya. Majlis ini turut diserikan dengan syarahan khas oleh Tan Sri Sir Jeffrey Cheah yang menekankan kepentingan gabungan pendidikan dan filantropi dalam membina masyarakat yang lebih berdaya saing, berpengetahuan dan penyayang. Dengan inisiatif ini, Fakulti Perubatan UKM bukan sahaja memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju akademik dan penyelidikan perubatan, malah turut menjulang aspirasi UKM sebagai universiti kebangsaan berimpak global dalam mendepani cabaran kesihatan awam dan pendidikan tinggi abad ke-21.

20 Jun 2025 –Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Solace Asia Sdn. Bhd., sebuah pusat rawatan penagihan yang menggabungkan pendekatan perubatan, psikiatri, fizikal dan kerohanian.Kerjasama ini merupakan inisiatif daripada Jabatan Fisiologi, Fakulti Perubatan yang sebelum ini telah menjalinkan beberapa kerjasama dalam bidang penyelidikan. Bagi mengukuhkan kerjasama tersebut, Dokumen Persefahaman antara kedua-dua institusi ini telah dimeterai. Penyelaras bagi dokumen ini adalah YBrs. Prof. Madya Dr. Jayakumar Murthy.

Majlis menandatangani dokumen berkenaan  bertempat di Dewan Khalid Kadir, HCTM. UKM telah diwakili oleh Dekan Fakulti Perubatan, YBhg. Prof. Datin Dr. Marina Mat Baki manakala Solace diwakili oleh Prof. Adjung Dr. Prem Kumar Shanmugam, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Solace Group.

Dalam ucapannya, Dekan Fakulti Perubatan sangat mengalu-alukan kerjasama ini yang akan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat terutama dalam aspek ketagihan dadah, rokok dan alkohol. Selain itu, projek penyelidikan berkaitan ketagihan seperti penggunaan rangsangan magnetik transkranial dan kajian molekul mengenai kesan dadah terhadap jantung dan otak juga akan dijalankan.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Dekan HEJIM, YBrs. Prof. Madya Dr. Ruslinda Mustafar, Timbalan Dekan Siswazah, YBhg. Prof. Datin Dr. Norlinah Mohamed Ibrahim, ahli pengurusan Fakulti Perubatan, pegawai kanan Solace Asia Sdn. Bhd., para penyelidik serta ahli Jabatan Fisiologi, Fakulti Perubatan.

 
 

                                                        25 Februari 2025Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mencipta sejarah dengan termeterainya Perjanjian Penyelidikan bersama B-Crobes Laboratory Sdn. Bhd. Kerjasama ini merupakan langkah penting dalam memperkukuh penyelidikan saintifik dan inovasi kesihatan demi manfaat masyarakat serta kemajuan dalam bidang perubatan.

Majlis menandatangani perjanjian ini telah dihadiri oleh Prof. Dr. Mohamad Nasir Shafiee, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) yang mewakili Dekan Fakulti Perubatan UKM; Prof. Lee Heng Yee, Pengarah Eksekutif B-Crobes Laboratory Sdn. Bhd.; dan Dr. Kaley Onn, Pengarah Perubatan B-Crobes Laboratory Sdn. Bhd. Turut hadir ialah ahli pengurusan Fakulti Perubatan UKM serta pegawai kanan daripada kedua-dua organisasi yang menyaksikan detik bersejarah ini.

Penyelidikan ini akan diketuai oleh Prof. Dr. Norfilza Mokhtar dari Jabatan Fisiologi, Fakulti Perubatan UKM, yang akan memfokuskan kepada keberkesanan probiotik dalam merawat penyakit radang usus. Dengan kepakaran dan komitmen pasukan penyelidik, kerjasama ini berpotensi menghasilkan penemuan penting serta rawatan inovatif dalam bidang klinikal.

Perjanjian ini bukan sahaja merupakan satu bentuk kerjasama rasmi, malah menjadi bukti komitmen UKM dan B-Crobes dalam memajukan sains dan teknologi perubatan. Semoga inisiatif ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak penemuan baharu dalam penyelidikan kesihatan dan memberi impak positif di peringkat global.

2024

                            16 Disember 2024 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Arabian Gulf University (AGU), Bahrain bagi memulakan kerjasama dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan pembangunan profesional. Kerjasama ini merangkumi pertukaran pelajar dan staf, serta inisiatif penyelidikan bersama untuk menangani cabaran kesihatan global.

MoU ini turut memberi tumpuan kepada pengukuhan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) melalui penyelidikan kolaboratif dan perkongsian sumber, di samping memperluaskan rangkaian antarabangsa UKM dalam projek penyelidikan bertaraf dunia.

Selain itu, kerjasama ini memperkukuhkan hubungan budaya antara Malaysia dan Bahrain serta mengiktiraf kepakaran UKM dalam bidang sains perubatan, termasuk pelantikan Prof. Dr. Norfilza Mohd Mokhtar sebagai Profesor Adjung di AGU.

                            7 Disember 2024 – Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Raffles University. MoU ini dimeterai sebagai inisiatif untuk memajukan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pendidikan perubatan. Objektif utama kerjasama ini adalah untuk meningkatkan kualiti latihan perubatan, memperkukuh penyelidikan, dan melahirkan lebih ramai profesional perubatan yang kompeten melalui integrasi teknologi inovatif.

Dengan memanfaatkan sinergi antara kepakaran UKM dalam pendidikan perubatan dan kepakaran Raffles University dalam bidang AI, MoU ini dijangka dapat mempercepatkan pembangunan teknologi kecerdasan buatan dalam pendidikan perubatan. Inisiatif ini bakal memberi manfaat kepada para pendidik dan pelajar perubatan, di samping membuka peluang kepada kerjasama penyelidikan dan akademik antara kedua-dua institusi.

Pertukaran MoU ini turut menunjukkan komitmen kedua-dua pihak dalam memperkasakan penggunaan teknologi canggih dalam pendidikan perubatan. Selain itu, ia membuka laluan kepada kerjasama lebih luas dalam bidang ini yang dijangka memberi impak positif kepada pendidikan perubatan di peringkat nasional dan antarabangsa.

                            3 Disember 2024 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama China Sinopharm International Corporation (Sinopharm International) yang berlangsung di The Third People’s Hospital of Shenzhen, China. Kerjasama ini bertujuan untuk meneroka dan membangunkan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam bidang pendidikan, latihan dan pengurusan hospital. UKM diwakili oleh Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Gafor, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa), manakala Sinopharm International diwakili oleh Encik Zhang Haoji, Naib Presiden Sinopharm.

MoU ini memberi fokus kepada lima bidang utama iaitu penyelidikan bersama, pendidikan, latihan, pengurusan hospital serta bidang kerjasama lain yang akan dipersetujui pada masa hadapan. Perkongsian ini dijangka dapat memperkukuhkan lagi pembangunan dan aplikasi teknologi AI dalam sektor perubatan, dengan memanfaatkan kecemerlangan penyelidikan UKM serta kepakaran teknologi Sinopharm International.

Langkah strategik ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan UKM sebagai peneraju inovasi pendidikan perubatan di peringkat antarabangsa, malah membuka peluang yang lebih luas untuk kerjasama strategik pada masa hadapan. Diharapkan kerjasama ini akan membawa manfaat besar kepada pelajar, profesional perubatan dan masyarakat keseluruhannya melalui kemajuan teknologi berasaskan AI.

                            28 November 2024 – Majlis Pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) antara Royal College of Surgeons of Edinburgh (RCSEd), Universiti Malaya (UM), dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah diadakan di Menara Binjai, Kuala Lumpur. Kerjasama ini bertujuan untuk memperkukuh pendidikan perubatan, khususnya dalam bidang pembedahan, di peringkat antarabangsa. Acara ini menandakan langkah penting dalam memperluas kolaborasi pendidikan dan penyelidikan perubatan antara ketiga-tiga institusi.

Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pro Naib Canselor UKM, melahirkan rasa bangga atas kerjasama ini. Turut hadir ialah Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Prof. Madya Dr. Ruslinda Mustafar, serta wakil-wakil dari Universiti Malaya. Delegasi RCSEd turut hadir termasuk Prof. Dr. Grant McIntyre, Dekan, dan Rt Hon H.E Ian Murray, Setiausaha Negara untuk Scotland.

Inisiatif ini dijangka membuka peluang baharu dalam pembangunan pendidikan dan penyelidikan bidang pembedahan di Malaysia, yang bakal memberi manfaat kepada pelajar serta profesional perubatan. Fakulti Perubatan UKM merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam merealisasikan kerjasama ini.

                                    21 November 2024 – Fakulti Perubatan UKM telah mengadakan Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Fresenius Medical Care Sdn. Bhd. (FMC). Kerjasama ini menandakan langkah penting dalam memperkukuh hubungan antara kedua-dua pihak, dengan tumpuan utama untuk meningkatkan penjagaan kesihatan, khususnya dalam bidang nefrologi dan penjagaan buah pinggang.

Majlis ini disaksikan oleh Prof. Datin Dr. Marina Mat Baki, Dekan Fakulti Perubatan, dan Mr. Pradeep Ranjan, Pengarah Urusan Kumpulan Asia Tenggara 2, FMC. Kerjasama ini bertujuan untuk mencipta peluang baru dalam pertukaran pengetahuan, penyelidikan, dan latihan klinikal dalam rawatan penyakit buah pinggang, serta integrasi teknologi maju untuk meningkatkan penjagaan pesakit.

Turut hadir pada acara ini adalah pemimpin akademik UKM, termasuk Timbalan Dekan dan Penolong Dekan Fakulti Perubatan, bersama dengan pasukan pengurusan eksekutif FMC. Melalui MoU ini, kedua-dua pihak berharap dapat mewujudkan kerjasama yang produktif dalam pelbagai inisiatif penyelidikan dan latihan profesional, yang akhirnya memberi manfaat kepada pesakit di Malaysia.

                                                      6 November 2024 – Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Cotra Enterprises Sdn. Bhd. untuk memperkukuh penyelidikan kesihatan usus dan advokasi kesihatan awam di Malaysia. MoU ini juga menandakan pelantikan Prof. Dr. Norfilza Mohd Mokhtar sebagai Penasihat Perubatan rasmi untuk VITAGEN. Dokumen MoU ini telah ditandatangani oleh Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani, Timbalan Naib Canselor UKM bagi Penyelidikan dan Inovasi, dan Mr. Poh Eng Lip, Pengurus Besar Cotra Enterprises Sdn. Bhd.

Kerjasama ini berasaskan penyelidikan berkualiti tinggi yang diketuai oleh Prof. Dr. Norfilza dan Prof. Dr. Raja Affendi Raja Ali, yang menekankan kepentingan paksi usus-otak dan manfaat lactobacillus dalam minuman susu yang ditapai untuk kesihatan usus, imuniti, serta pengurusan simptom kemurungan pada pesakit sindrom usus teriritasi (IBS).

Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal menyatakan keyakinan bahawa pelantikan Prof. Dr. Norfilza sebagai Penasihat Perubatan akan memanfaatkan kepakarannya dalam probiotik dan kesihatan usus untuk memajukan penyelidikan dalam bidang ini. Beliau juga berharap inisiatif R&D ini akan meningkatkan kualiti pemakanan produk VITAGEN, memberi manfaat yang lebih besar kepada pengguna.

                                                        23 Oktober 2024 – Majlis Penandatanganan Perjanjian Penyelidikan antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan TRB Chemedica Malaysia Sdn. Bhd. telah berlangsung di lobi Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).

Kerjasama ini bertujuan untuk menilai kestabilan dan kesterilan formulasi titisan mata baru yang berpotensi memberi manfaat kepada pesakit yang menderita penyakit mata kering dan kecederaan kornea.

Assoc. Prof. Dr. Ruslinda Mustafar, Timbalan Dekan (Penglibatan Industri dan Komuniti), mewakili Dekan dan menyatakan bahawa kerjasama ini melambangkan gabungan kepakaran industri dan universiti, serta membuka peluang baru dalam terapi oftalmologi. Beliau juga menekankan komitmen UKM untuk meneroka potensi baru dalam bidang oftalmologi dengan sokongan pelbagai pihak berkepentingan.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Encik Morgan Wong, Timbalan Pengurus Negara, dan Puan Lee Chai Yuin, Pengurus Produk Kanan dari TRB Chemedica Malaysia Sdn. Bhd., bersama dengan Timbalan Dekan Fakulti Perubatan, Prof. Mae-Lynn Catherine Bastian, serta pensyarah-pensyarah dari Jabatan Oftalmologi.

Diharapkan kerjasama ini akan membawa manfaat yang signifikan kepada bidang perubatan.

                            1 Oktober 2024 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menandatangani Memorandum Perjanjian dengan Asia Innovative Healthcare Network Berhad (AIHNB) bagi menyokong Hari Kesihatan Mental Sedunia 2024.

Melalui kerjasama ini, Fakulti Perubatan UKM menerima tajaan berjumlah RM154,660 untuk Cabaran Trust Fall Terpanjang, sebuah acara yang bertujuan untuk memecahkan Rekod Dunia Guinness. Acara ini dijadualkan berlangsung pada 12 Oktober 2024.

Pengerusi program, Dr. Farah Deena Abd Samad, Pensyarah dan Pakar Psikiatri dari Jabatan Psikiatri, turut hadir di majlis penandatanganan bersama wakil-wakil dari AIHNB, termasuk Puan Sylvia Hii Siew Hie, Pengerusi & CEO, dan Puan Rachel Hii Siew Yiin, Pengarah Eksekutif, serta pegawai-pegawai kanan AIHNB.

Pro-Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, menyatakan rasa bangga dengan kerjasama ini, menekankan pentingnya kesedaran tentang kesihatan mental di Malaysia.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Prof. Datin Dr. Marina Mat Baki, Dekan Fakulti Perubatan, bersama Timbalan Dekan, pensyarah, dan kakitangan dari Jabatan Psikiatri. Kerjasama ini diharap dapat memperkukuhkan usaha untuk meningkatkan kesedaran mengenai isu kesihatan mental di kalangan orang ramai.

                                                   14 Ogos 2024 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), melalui Fakulti Perubatan, telah menandatangani Perjanjian Penyelidikan dengan Zitai Regeneration Cell Sdn Bhd. Perjanjian ini melibatkan tajaan berjumlah RM400,000 yang disediakan oleh Zitai untuk Jabatan Kejuruteraan Tisu dan Perubatan Regeneratif (DTERM), yang diketuai oleh Assoc. Prof. Dr. Mohd Fauzi Mh Busra.

Majlis penandatanganan tersebut dihadiri oleh Lt. Kol. (Associate) (PA) Prof. Dato’ Dr. Zulkifli Md. Zainuddin, Penolong Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), yang mewakili Dekan Fakulti Perubatan, bersama Ketua Jabatan DTERM dan kakitangan jabatan tersebut. Zitai Regeneration Cell Sdn Bhd diwakili oleh Tuan Li Wing Fu, Pengarah, bersama beberapa pengarah lain dari syarikat berkenaan.

Prof. Dato’ Dr. Zulkifli Md. Zainuddin mengucapkan penghargaan kepada Zitai atas kerjasama ini, yang memberikan UKM peluang untuk menjalankan penyelidikan mendalam mengenai rawatan dermatitis atopik menggunakan terapi sel stem.

                

                                                        8 Ogos 2024 – Majlis Penandatanganan Perjanjian Penyelidikan antara UKM dan Therapeutic Sdn Bhd (STSB) telah berjaya diadakan.

Melalui kerjasama ini, STSB telah memberikan geran sebanyak RM50,000 untuk menyokong projek penyelidikan bertajuk “Mekanisme Reparatif Exosome yang Diperoleh daripada Sel Stem Mesenkimal Wharton’s Jelly Manusia dalam Kardiomiosit Iskemik.” Projek ini diketuai oleh Assoc. Prof. Dr. Azizah Ugusman, Ketua Jabatan Fisiologi.

Delegasi dari STSB termasuk Ms. Lau Meng Hong dan Mr. Chan Kiat Yang, bersama Dr. Chua Kien Hui dari Supergenics Berhad, serta pegawai kanan dari STSB. Prof. Dr. Mohamad Nasir Shafiee, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, mewakili Dekan Fakulti Perubatan dan menyampaikan penghargaan kepada STSB atas geran yang diberikan dan peluang untuk kerjasama ini.

Turut hadir di majlis tersebut adalah Prof. Madya Dr. Ruslinda Mustafar, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Jaringan Industri & Masyarakat), Prof. Madya Dr. Mohd Helmy Mokhtar, Penolong Dekan (Keusahawanan), bersama pensyarah dan kakitangan dari Jabatan Fisiologi.

                                  2 Mei 2024 – Fakulti Perubatan telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Akademi Silent Mentor (AFSM) bagi memperkenalkan program latihan pembedahan dan penyelidikan menggunakan pendekatan mentor senyap. MoU ini ditandatangani oleh YB Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pro Naib Canselor (Kampus Kuala Lumpur), mewakili Naib Canselor UKM, dan YB Prof. Dr. Chin Kin Fah, Pengasas dan Pengarah Eksekutif AFSM.

Kerjasama ini membolehkan pelajar perubatan UKM memperoleh pengalaman pembelajaran yang lebih realistik dan praktikal dalam latihan pembedahan dan pengajaran anatomi melalui program mentor senyap, di mana individu menyumbangkan tubuh mereka untuk pendidikan perubatan. Selain meningkatkan kemahiran klinikal, program ini juga menanamkan rasa hormat dan profesionalisme di kalangan pelajar terhadap pesakit.

Majlis ini disaksikan oleh Tan Sri Dato’ Dr. Sak Cheng Lum dari AFSM dan Prof. Datin Dr. Marina Mat Baki, Timbalan Dekan Fakulti Perubatan UKM. Turut hadir adalah ketua-ketua jabatan, pensyarah, dan kakitangan fakulti yang menyokong inisiatif ini untuk mengukuhkan pendidikan perubatan di UKM

                                   27 Mac 2024 – Fakulti Perubatan UKM, melalui Jabatan Ortopedik & Traumatologi, telah menjalin kerjasama dengan Medical AI Technology Systems Ptd Ltd (MAITS) melalui Surat Hasrat yang telah ditandatangani.

Ketua Jabatan Ortopedik & Traumatologi, Prof. Datuk Dr. Sabarul Afian, menyatakan rasa bangga dengan kerjasama ini. Menurutnya, fakulti berpeluang untuk meneroka teknologi sistem AI terkini yang menggunakan teknik pengimejan holografik.

Profesor Edward (Ted) Mah berharap teknologi ini akan digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran, terutamanya dalam bidang perubatan. Beliau juga menyatakan bahawa teknologi ini dapat digunakan untuk meningkatkan kualiti penjagaan pesakit.

Turut hadir di majlis tersebut adalah Prof. Datuk Dr. Sabarul Afian Mokhtar dan Assoc. Prof. Dato’ Dr. Badrul Akmal Hisham Md Yusoff. Delegasi MAITS diwakili oleh Profesor Edward (Ted) Mah dan Mario Andreacchio.

                        7 Mac 2024 – Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman, bersama Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, telah menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UKM dan Jeil Pharmaceutical Co Ltd. di Parlimen Malaysia.

Menteri berkata bahawa kerjasama ini sejajar dengan agenda antarabangsa, yang menjadi penanda aras bagi Kementerian Pengajian Tinggi, dan akan memberi manfaat kepada masyarakat secara keseluruhan.

Kerjasama ini memberi tumpuan kepada memudahkan pendaftaran ubat di bawah Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA), bagi memastikan keselamatan, keberkesanan, dan kualiti produk farmaseutikal. Inisiatif ini penting dalam mengukuhkan peranan UKM dalam bidang farmasi dan penjagaan kesihatan.

Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan berharap bahawa kerjasama ini dapat membantu mengurangkan kos perubatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) dan Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM (HPKK), yang akhirnya akan memberi manfaat kepada pesakit dan sistem penjagaan kesihatan negara.

                            30 Januari 2024 – Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara Fakulti Perubatan UKM dan European Wellness Biomedical Group telah berlangsung dengan jayanya.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani, menggambarkan kerjasama ini sebagai peluang emas untuk meneroka penyelidikan dan inovasi, manakala Pengarah European Wellness Biomedical Group, Prof. Dato’ Sri Mike Chan, menyatakan harapan agar kerjasama dalam bidang sel stem akan terus berkembang.

Majlis ini turut dihadiri oleh Dekan Fakulti Perubatan UKM, Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Gafor, pengurusan fakulti, serta Assoc. Prof. Dr. Mohd Fauzi Mh Busra bersama pensyarah dan kakitangan dari Jabatan CTERM.

Delegasi European Wellness Biomedical Group diwakili oleh Prof. Dato’ Sri Mike Chan, Prof. Dr. Dmytro Klokol, serta kakitangan syarikat, yang menunjukkan komitmen kuat mereka terhadap kerjasama ini.

2023

                           4 Januari 2023 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Fakulti Perubatan dan Fakulti Pergigian telah memperbaharui Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universitas Hasanuddin, Indonesia (UNHAS) bagi meningkatkan kerjasama dalam memperkasakan bidang perubatan dan pergigian di kedua-dua institusi pendidikan tersebut.

Majlis menandatangani MoU ini telah diwakili oleh Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman bagi pihak UKM, manakala UNHAS diwakili oleh Rektornya, Prof. Dr. Ir. Jamaluddin Jompa. Kerjasama yang akan diteruskan selama lima tahun ini dijangka memberi impak berterusan kepada kedua-dua pihak, di samping membuka ruang kepada kerjasama baharu dalam bidang penyelidikan, pengajaran dan pembelajaran.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak, Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur, Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Dekan Fakulti Perubatan UNHAS, Prof. Dr. Dr. Haerani Rashid, Dekan Fakulti Pergigian UNHAS, Prof. Dr. Edy Machmud, Dekan Fakulti Perubatan UKM, Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Gafor serta Dekan Fakulti Pergigian UKM, Prof. Madya Dr. Tuti Ningseh Mohd Dom.

Turut sama ialah alumni UNHAS, Dato’ Dr. Sahruddin Jamal, yang juga merupakan bekas Menteri Besar Johor. Diharapkan agar kerjasama antara UNHAS dan UKM yang telah terjalin selama hampir tujuh tahun ini tidak terhenti di sini, malah akan terus berkembang pada masa hadapan melalui perkongsian pintar dan penglibatan strategik dalam penyelidikan dan inovasi berimpak tinggi antara universiti serantau.

                            8 Disember 2023 – Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Jabatan Otorinolaringologi telah menjalinkan kerjasama dengan GNOSIS dalam projek bertajuk “Prevalence of Genetic Variants in Non-Syndromic Hearing Loss Patients Among Cochlear Implant Recipients at Universiti Kebangsaan Malaysia Using Buccal Mucosa Samples.”

Kajian ini bertujuan untuk memberi manfaat kepada pesakit implan koklea tanpa sindrom dengan mengenal pasti punca kehilangan pendengaran kongenital. Melalui penyelidikan ini, adalah diharapkan agar varian genetik yang berpotensi menyebabkan kehilangan pendengaran dapat dikenal pasti dalam kalangan pesakit terlibat.

Sebagai sokongan kepada kajian ini, GNOSIS telah menyumbangkan sebanyak 60 kit ujian genetik secara percuma bernilai RM232,200 kepada UKM. Teknologi pengambilan sampel sel mukosa bukal yang digunakan dalam kajian ini merupakan inovasi terkini dalam mengesan varian genetik berkaitan kehilangan pendengaran kongenital dan masih belum diguna pakai secara meluas di Malaysia. Sampel yang diperoleh akan dihantar oleh GNOSIS ke makmal khas di Taiwan untuk proses Next-Generation Sequencing (NGS) bagi tujuan pengesanan varian genetik.

Majlis dimuliakan dengan kehadiran Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Gafor, Dekan Fakulti Perubatan UKM; Prof. Datin Dr. Marina Mat Baki, Timbalan Dekan (Jaringan Industri & Masyarakat); dan Prof. Goh Bee See selaku Penyelaras MoU / Penyelidik Utama projek. Turut hadir adalah pensyarah serta staf Jabatan Otorinolaringologi dan beberapa ketua jabatan lain.

GNOSIS diwakili oleh Pengarah Makmal Gnosis, Encik Yee Jo Kuan, yang juga merupakan alumni UKM dalam bidang Sains Bioperubatan (1997), bersama beberapa staf lain.

         

4th September 2023- The visit of the Rector of Universitas Muhammadiyah Kendari, Prof. Dr. Ir. Muh. Nurdin, to the Faculty of Medicine, UKM, marked a historic moment between the two institutions with the signing of a Letter of Intent for Collaboration today. Dr. Nurdin expressed his intention to establish a Faculty of Medicine at Universitas Muhammadiyah Kendari, using the UKM Faculty of Medicine as a recognized international model.

Prof. Datin Dr. Marina Mat Baki, Deputy Dean of HEJIM, representing the Faculty of Medicine, extended her support for this initiative while outlining several immediate steps that need to be taken to realize this vision. Additionally, discussions covered opportunities for exploring international partnerships, research collaborations, as well as teaching and learning initiatives that would benefit both UM Kendari and UKM.

The delegation from UM Kendari was represented by Prof. Maulidiyah and Prof. Muhammad Zakir. Also accompanying them were Prof. Dr. Azrul Azlan Hamzah and Prof. Dr. Akrajaz Ali Umar from IMEN. The Faculty of Medicine, UKM, was represented by Prof. Dr. Norazlina Mohamed (Assistant Dean of Quality and Strategy) and Assoc. Prof. Ruslinda Mustafar (Assistant Dean of Clinical Services).

                           24 Ogos 2023 – Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menerima kunjungan daripada Fakulti Perubatan, Universitas Hasanuddin (UNHAS), Indonesia. Sempena lawatan ini, satu Majlis Menandatangani Implementation Agreement telah diadakan, melibatkan tujuh jabatan dan dua unit dari kedua-dua institusi. Antara yang terlibat ialah Jabatan Surgeri (Pembedahan Am dan Pembedahan Pediatrik), Jabatan Radiologi, Jabatan Patologi, Jabatan Anestesiologi & Rawatan Rapi, Jabatan Obstetrik & Ginekologi, Unit Pernafasan, Unit Dermatologi, Jabatan Otorinolaringologi, serta Jabatan Ortopedik dan Traumatologi.

Tujuan lawatan ini adalah untuk membincangkan pengukuhan kerjasama antara kedua-dua institusi dalam bidang pendidikan, penyelidikan, mobiliti pelajar, dan aspek-aspek lain yang berkaitan.

Delegasi dari Fakulti Perubatan UNHAS diketuai oleh Dr. Agussalim Bukhari (Timbalan Dekan Akademik dan Hal Ehwal Pelajar), Dr. Andi Alfian Zainuddin (Timbalan Dekan Jaringan, Penyelidikan dan Inovasi), Dr. Rina Masadah (Timbalan Dekan Hubungan Antarabangsa), dan Dr. Andi Takdir Musbah (Ketua Pendidikan Pakar Perubatan), bersama-sama seramai 27 orang wakil.

Fakulti Perubatan UKM pula diwakili oleh Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Gafor (Dekan), Prof. Datin Dr. Marina Mat Baki (Timbalan Dekan HEJIM), Prof. Datin Dr. Norlinah Mohamed Ibrahim (Timbalan Dekan Pengajian Siswazah), Prof. Dr. Mohamad Nasir Shafiee (Timbalan Dekan Penyelidikan & Inovasi), Prof. Dr. Norazlina Mohamed (Penolong Dekan Kualiti & Strategi), Prof. Dato’ Dr. Zulkifli Md Zainuddin (Penolong Dekan Alumni), Assoc. Prof. Dr. Mohd Helmy Mokhtar (Penolong Dekan Keusahawanan & Kreativiti), dan Dr. Noor Akmal Shareela Ismail (Penolong Dekan Pengajaran dan Imej). Majlis ini turut disertai oleh ketua-ketua jabatan serta pensyarah daripada kedua-dua institusi.

2022

9 November 2022 – Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menandatangani Letter of Intent bersama Zimmer Medical (Malaysia) Sdn. Bhd. bagi menyatakan hasrat untuk menjalin kerjasama, khususnya dalam bidang ortopedik. Melalui kerjasama ini, syarikat telah menempatkan satu unit ROSA®️ Robotic System di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), UKM.

Sistem ROSA®️ Robotic ini berupaya membantu pesakit mendapatkan penjajaran anggota badan yang lebih tepat selepas pembedahan, sekali gus mengurangkan tempoh rawatan di hospital dan menawarkan hasil rawatan yang lebih baik berbanding kaedah rawatan lutut konvensional.

Dengan adanya teknologi ini, UKM akan berperanan sebagai pusat latihan dan pensijilan bagi pakar bedah yang akan melaksanakan pembedahan menggunakan ROSA®️ Robotic System pada masa akan datang.

Surat hasrat tersebut telah ditandatangani oleh Dekan Fakulti Perubatan UKM, Prof. Dr. Abdul Halim bin Abdul Gafor mewakili UKM, manakala Zimmer Medical (Malaysia) Sdn. Bhd. diwakili oleh Naib Presiden, Encik Ngui Hup Hin Clarence.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah Perubatan Pusat Pakar UKM, YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin; Pengurus Pemasaran Zimmer Medical (Malaysia), Encik Cyrus Siew; serta Timbalan dan Penolong Dekan Fakulti Perubatan UKM.

30 September 2022 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), melalui Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Tisu dan Perubatan Regeneratif, Fakulti Perubatan UKM, telah memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bersama NK Biocell Sdn. Bhd. bagi menjalankan kajian bersama untuk menghasilkan semula sel tisu berkaitan sistem imun berdasarkan teknologi dari Korea.

Kajian ini melibatkan sel Natural Killer atau lebih dikenali sebagai sel NK, yang bertujuan untuk membangunkan sel terapeutik yang mampu memusnahkan sel kanser. Apabila kajian ini diluluskan, ia akan digunakan sebagai rawatan kepada pesakit kanser di Malaysia.

MoA ini telah ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani mewakili UKM, manakala Ketua Pegawai Eksekutif NK Biocell Sdn. Bhd., Dr. Park Ji-Youn mewakili syarikat tersebut. Majlis ini turut disaksikan oleh Dekan Fakulti Perubatan UKM, Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Gafor dan Perunding Perubatan NK Biocell Sdn. Bhd., Dr. Lan Leong Chung.

Turut hadir ialah Timbalan Dekan (Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat), Fakulti Perubatan UKM, Prof. Datin Dr. Marina Mat Baki.

1 September 2022 – Bactiguard South East Asia (SEA) Sdn. Bhd. dan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) telah mengembangkan kerjasama mereka melalui pemeteraian Surat Hasrat (Letter of Intent, LoI). Ketua Pegawai Eksekutif Bactiguard SEA Sdn. Bhd., Encik Satish Kemar Subramaniam, menyatakan bahawa pemeteraian LoI ini membawa komitmen yang kukuh terhadap inovasi dan produk berasaskan penyelidikan dalam perkhidmatan perubatan.

Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Profesor Emeritus Datuk Dr. Mohamad Abd Razak, menyuarakan harapan agar kerjasama ini akan memberikan impak besar kepada masyarakat dan memberi manfaat kepada kemanusiaan secara menyeluruh.

Majlis menandatangani LoI ini turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bactiguard AB (Sweden), Encik Anders Göransson; Timbalan Dekan Fakulti Perubatan UKM, Profesor Datin Dr. Marina Mat Baki; pegawai kanan dari Bactiguard AB dan Bactiguard SEA Sdn. Bhd.; serta wakil dari UKM.

Dalam ucapannya, Göransson menekankan bahawa kepakaran dan bidang penyelidikan antara UKM dan Bactiguard telah menjadi pemangkin perubahan dalam standard penjagaan kesihatan, bukan sahaja di peringkat domestik malah di peringkat global, seperti yang dibuktikan melalui kerjasama Bactiguard dengan Zimmer Biomet pada tahun 2019.

24 Ogos 2022 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Jabatan Ortopedik dan Traumatologi, Fakulti Perubatan telah mengadakan Majlis Menandatangani Perjanjian Penyelidikan dengan Dyamed Biotech Sdn. Bhd. Majlis ini telah berlangsung di Bilik Mesyuarat Aras 3, Blok Tambahan, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) pada jam 3.00 petang.

UKM telah diwakili oleh Prof. Dato’ Dr. Norazah Mohd Nordin, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat) yang menandatangani perjanjian bagi pihak Naib Canselor, disaksikan oleh Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Gafor, Dekan Fakulti Perubatan.

Pihak Dyamed Biotech Sdn. Bhd. pula diwakili oleh Encik Theodore Tan, Pengarah Syarikat dan disaksikan oleh Dr. Yap Chung Seng, Pengurus Hal Ehwal Klinikal.

Kerjasama ini memberi tumpuan kepada kajian penyelidikan bagi menilai keberkesanan penggunaan pad luka poliakrilat steril dengan kain karbon aktif dalam mempercepatkan proses penyembuhan pesakit Ulser Kaki Diabetik (DFU). Inisiatif penyelidikan ini dijangka akan membuka peluang kerjasama baharu, meningkatkan mutu penjagaan pesakit serta berpotensi mengurangkan kos rawatan bagi pesakit diabetes, khususnya mereka yang menghidap DFU.

24 Ogos 2022 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Jabatan Ortopedik dan Traumatologi, Fakulti Perubatan, telah mengadakan Majlis Menandatangani Perjanjian Penyelidikan antara UKM dan Dyamed Biotech Sdn Bhd. Majlis ini berlangsung di Bilik Mesyuarat Tingkat 3, Blok Tambahan, HCTM pada pukul 3.00 petang. Prof. Dato’ Dr. Norazah Mohd Nordin, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat) mewakili Naib Canselor UKM hadir dan menandatangani dokumen tersebut, disaksikan oleh Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Gafor, Dekan Fakulti Perubatan UKM.

Bagi pihak Dyamed Biotech, ia diwakili oleh Pengarah Syarikat, Encik Theodore Tan dan disaksikan oleh Dr. Yap Chung Seng, Pengurus Hal Ehwal Klinikal. Antara fokus utama kerjasama yang dirancang adalah dalam kajian untuk menentukan sama ada penggunaan pad luka poliakrilat steril dengan kain karbon aktif untuk pesakit Ulser Kaki Diabetik (DFU) dapat mempercepatkan proses penyembuhan.

Perjanjian penyelidikan ini dijangka akan melahirkan banyak inisiatif penyelidikan bersama yang baharu, yang dapat menghasilkan sinergi baru bagi memberikan penjagaan terbaik kepada pesakit. Kerjasama ini juga diharapkan dapat meningkatkan dan mengurangkan kos rawatan bagi pesakit diabetes, terutamanya pesakit ulser kaki diabetik.

28 Julai 2022 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Jabatan Fisiologi, Fakulti Perubatan telah memperkukuh rangkaian kerjasama dalam bentuk penyelidikan melalui Memorandum Persefahaman (MoU) antara UKM dan International Medical School, Management & Science University (MSU).

Dokumen MoU tersebut telah ditandatangani oleh Prof. Dato’ Gs.Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman, Naib Canselor UKM dan Prof. Tan Sri Dato’ Wira Dr. Mr. Mohd Shukri Yajid, Presiden MSU yang merupakan alumni UKM dari Fakulti Sains Fizikal dan Gunaan pada tahun 1984. Kerjasama ini membuka peluang untuk penyeliaan bersama bagi program pascadoktoral dan pelbagai program pascasiswazah, serta menjadi asas untuk melaksanakan aktiviti pertukaran pelajar dan kakitangan bagi perkembangan pembelajaran dan perkongsian amalan terbaik di kalangan warga kedua-dua universiti.

Diharapkan kerjasama ini dapat menghasilkan penyelidikan yang kompetitif, pemindahan teknologi terkini dan mampu melahirkan graduan yang berfikiran kritikal dan inovatif. Antara yang hadir pada majlis ini ialah Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani, Timbalan Naib Canselor UKM (Penyelidikan & Inovasi); Prof. Dr. Ismail Sagap, Pengarah Hospital Kanak-Kanak UKM serta pegawai kanan dari UKM dan MSU.

22 Jun 2022 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Jabatan Oftalmologi, Fakulti Perubatan telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoA) bersama ALCON Pte Ltd. bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran berkaitan teknik pembedahan mata, khususnya pembedahan katarak dan retina dalam kalangan pelajar Doktor Oftalmologi.

MoA ini telah ditandatangani oleh Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UKM dan Cik Melisa Chong, Pengurus Perkongsian Strategik dan Penglibatan Profesional Penjagaan Kesihatan, Alcon Laboratories (M) Sdn. Bhd., disaksikan oleh Prof. Dr. Tan Geok Chin, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Fakulti Perubatan UKM dan Cik Tinasha Teng, Pengurus Jualan, Alcon Laboratories (M) Sdn. Bhd.

Turut hadir menyaksikan majlis ini ialah Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur UKM serta pegawai kanan dari Alcon Pte. Ltd. dan pegawai Fakulti Perubatan UKM.

31 Mei 2022 – Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Sunway University telah diadakan hari ini di Auditorium Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar, Kampus Kuala Lumpur, UKM.

Dalam majlis ini, UKM diwakili oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri, Alumni dan Masyarakat, Prof. Dato’ Dr. Norazah Mohd Nordin, manakala Sunway University diwakili oleh Presidennya, Profesor Sibrandes Poppema.

Melalui kerjasama ini, Fakulti Perubatan UKM dan Sunway University akan berkongsi ilmu serta kepakaran perubatan dalam menangani cabaran kesihatan global melalui penubuhan Pandemic Resilience Institute yang akan dilaksanakan tidak lama lagi.

Pandemic Resilience Institute akan menjadi hab pendidikan dan penyelidikan di rantau Asia yang berfungsi sebagai pusat rujukan kepakaran kesihatan, sains perubatan, menjana impak sosioekonomi serta meningkatkan kualiti hidup. Institut ini juga dijangka membangunkan penyelidikan rentas disiplin dan translasi yang berimpak tinggi, memperkukuhkan latihan dan pengajaran pascasiswazah dalam bentuk praktikal, makmal dan klinikal termasuk subkepakaran, serta membangunkan program profesional yang dapat meningkatkan kebolehpasaran modal insan di Malaysia.

Turut hadir dalam majlis MoU ini ialah Naib Canselor Sunway University, Profesor Graeme Wilkinson dan Dekan Fakulti Perubatan UKM, Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Gafor.

14 Mac 2022 – Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan MJHM Holding Sdn Bhd telah diadakan di Hotel Grand Hyatt Kuala Lumpur pada jam 3.00 petang.

Majlis ini telah dihadiri oleh Prof. Dato’ Ir. Dr. Abdul Wahab Mohammad, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang mewakili Naib Canselor UKM, Datuk Mike Tee Swee Guan, Pengerusi Eksekutif MJHM Holding Sdn Bhd, Prof. Dr. Jemaima Che Hamzah, wakil Dekan Fakulti Perubatan UKM, Prof. Dr. Jamari Sapuan, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Pembedahan) HCTM, serta Datuk Lee Chong Hoon sebagai tetamu khas MJHM Holding Sdn. Bhd.

28 Februari 2022 – UKM melalui Fakulti Perubatan telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Ningxia Medical University (NXMU), China.

MoU ini ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Jaringan Industri, Alumni dan Masyarakat), Prof. Dato’ Dr. Norazah Nordin, dan Dekan Fakulti Perubatan, Prof. Dr. Raja Affendi Raja Ali.