Hari Informasi Pusat Strategi UKM (HIPS) 2025

Pusat Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan Hari Informasi Pusat Strategi UKM (HIPS) bagi memberi pendedahan kepada warga UKM tentang peranan dan fungsi Pusat Strategi yang dilaksanakan selaras dengan hala tuju dan pelan strategik universiti.

Program yang diadakan di Persada Canselori ini adalah bagi memperkukuh pemahaman mengenai peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam menyokong serta menjayakan agenda strategik universiti.

Sepanjang program HIPS, beberapa sesi perkongsian telah dilaksanakan, iaitu sesi penyampaian maklumat berkaitan portfolio di bawah setiap Timbalan Pengarah Eksekutif Pusat Strategi UKM, ceramah Ergo@UKM: Bekerja dan Belajar Tanpa Sakit Belakang, sesi perkongsian mengenai program Eco-Campus Kampus Kuala Lumpur dan saringan ujian pendengaran.

Program ini turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti dan pertandingan seperti pemberian t-shirt eksklusif kepada 200 peserta terawal, senamrobik, jualan barangan kitar semula, jualan hasil tanaman daripada Taman Botani Bangi dan Projek Eco-Campus Kampus Kuala Lumpur, serta pertandingan fotografi, kuiz dan cabutan bertuah.

Penganjuran program ini telah diserikan dengan kehadiran Naib Canselor, Prof. Dr. Sufian Jusoh bersama Timbalan-Timbalan Naib Canselor, barisan Dekan Fakulti dan Pengarah Institut yang telah meluangkan masa mengunjungi reruai pameran Pusat Strategi UKM bagi meneliti inisiatif strategik yang dipamerkan serta berinteraksi secara langsung dengan pasukan pelaksana.

Similar Posts