Latar Belakang Penubuhan

Dengan perlantikan YBhg. Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman sebagai Naib Canselor,  Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1hb Januari 2021, UKM terus diperkasakan dan dimantapkan dengan lima nilai TERAS dan lima Kebitaraannya. Ia telah dilancarkan oleh Naib Canselor pada 10hb Jun 2021 yang menjadi asas kepada Pelan Strategik TERAS UKM 2021-2025. Nilai TERAS juga menjadi tonggak kepada iltizam warga UKM ke arah menjayakan aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi), New Deals KPT, Pelan Tindakan Keusahawanan IPT 2021-2025 dan Fokus 6 Strategik KPT.

Lembayung TERAS menjelaskan tentang nilai dan prinsip yang menjadi tunjang kepada perancangan dan pelaksanaan tanggungjawab warga UKM. Nilai dan prinsip ini harus ada dalam semua kebitaraan dan prakarsa UKM yang kemudiannya menjadi asas kepada perancangan strategik, pembinaan gerak kerja dan penentuan Indeks Pencapaian Utama atau KPI. Lembayung TERAS UKM terdiri daripada 5 nilai utama, iaitu Bakat (Talent), Etika (Ethics), Memperkasa (Revitalise), Tangkas (Agile) dan Jiwa (Soul) yang berfungsi sebagai gagasan kepada pembangunan universiti. 

Pernyataan Bakat menjelaskan tentang hasrat untuk mencungkil, memantapkan dan mengembangkan potensi diri ke arah kecemerlangan. Potensi ini melibatkan corak pemikiran, perasaan atau tingkah laku yang berulang yang dapat diterapkan secara produktif. Bakat tidak dipelajari melainkan sifat semula jadi yang dapat dikembangkan melalui pengetahuan, pengalaman dan kemahiran. 

Etika pula menekankan perlaksanaan tanggungjawab dengan kesungguhan dan keikhlasan berasaskan keimanan dan moral. Warga UKM berkewajipan memahami tanggungjawab terhadap peranan dan perilakunya. Etika menjadi pentaakulan moral yang melibatkan pemikiran dan pertimbangan secara bebas. 

Memperkasakan melibatkan pengukuhan fungsi, tanggungjawab, kemahiran dan jaringan dalam usaha untuk memperkembangkan potensi. Ia menjadikan seseorang itu hebat dan unggul dalam sesuatu tugasan atau bidang yang diceburi. 

Tangkas menekankan keupayaan terkehadapan dan bersiap siaga dalam melaksanakan tanggungjawab dan peranan. Warga UKM yang tangkas adalah warga yang cepat, cergas dan pantas disertai dengan semangat yang tinggi. 

Jiwa pula melibatkan warga UKM mempunyai jati diri kebangsaan, bersemangat dan beriltizam untuk membangunkan universiti, masyarakat dan negara. Jiwa bererti benih kehidupan manusia yang meliputi pemikiran, keperibadian dan sinonim dengan roh dan akal.

Pemangkin bagi kelima-lima nilai ini adalah elemen kebitaraan kepada TERAS iaitu Watan, i-Minda, Holistik, Digital dan Prihatin. Kebitaraan ini akan menjadi asas kepada semua Pusat Tanggungjawab untuk merangka strategi dan gerak kerja masing-masing berdasarkan prakarsa yang telah dirangka. Cakupan di bawah kebitaraan Watan terdiri daripada 5 prakarsa iaitu penghayatan Falsafah Universiti, pemerkasaan bahasa Melayu, pemuliharaan Warisan Budaya, pengukuhan Jati Diri dan pemupukan semangat Patriotik. Bagi  rangkuman kebitaraan i-Minda pula, ia meliputi prakarsa Advokasi, Inovasi, Ekosistem, Nilai dan Mutu dan Translasi. Liputan Holistik pula meliputi prakarsa Keusahawanan, Kreatif, Kepimpinan, Kerjaya, dan Nilai Murni. Aspek kebitaraan seterusnya iaitu Digital meliputi prakarsa Infra dan Info, Pedagogi dan Ekologi Pembelajaran, Pembudayaan, Kelestarian dan Governans. Kebitaraan terakhir iaitu Prihatin meliputi prakarsa SIHAT, Perpaduan, Kebajikan, Kemasyarakatan dan Mesra OKU.

TERAS dan Kebitaraan merupakan naratif baharu yang memaparkan peranan universiti watan yang menjadi milik warganya dan masyarakat keseluruhan. Sesungguhnya, lembayung TERAS yang baharu ini bertujuan untuk membolehkan warga UKM membuat rujukan dan panduan terhadap hala tuju universiti dalam usaha meningkatkan pencapaian ke tahap yang tertinggi. Pengertian TERAS adalah merangkumi Bakat (Talent), Etika (Ethics), Memperkasa (Revitalise), Tangkas (Agile) dan Jiwa (Soul) dan ia menjadi lembayung yang memayungi 5 kebitaraan iaitu Watan, i-Minda, Holistik, Digital dan Prihatin. 

Di bawah lima kebitaraan inilah terdapat 25 prakarsa yang menjadi asas untuk UKM merangka pelan strategik dan gerak kerja di samping menentukan indeks pencapaian utamanya. Berdasarkan intipati yang merangkumi nilai TERAS dan elemen kebitaraan, terdapat  dua agenda  atau matlamat utama yang perlu dicapai oleh warga UKM iaitu iaitu Kebolehpasaran Graduan dan Penjanaan Pendapatan.