Taman Botani Bangi

 Universiti Kebangsaan Malaysia

Aktiviti dan Berita Taman Botani Bangi

Program Semai Cinta Alam 2.0 di SK Batu Laut

Taman Botani Bangi (TBB), Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) meneruskan komitmennya dalam mendidik masyarakat tentang kelestarian alam sekitar melalui Program Semai Cinta Alam 2.0 yang dijalankan di Sekolah Kebangsaan Batu Laut (SKBL) pada 11 Jun 2025. Program ini merupakan kesinambungan kepada usaha mendekatkan pelajar dengan alam semula jadi melalui aktiviti interaktif seperti penanaman pokok herba, penghasilan laman dapur, dan sesi pendidikan alam sekitar. Seramai lebih 130 murid terlibat secara aktif dalam aktiviti yang melibatkan penanaman lebih 160 anak pokok di sekitar kawasan sekolah.TBB berperanan bukan hanya sebagai pusat konservasi dan penyelidikan, tetapi juga sebagai agen pendidikan luar bilik darjah yang menyokong aspirasi pendidikan alam sekitar peringkat sekolah rendah. Usaha ini diharap dapat menyemai nilai murni, tanggungjawab sosial serta kesedaran tentang pentingnya penjagaan alam sekitar sejak usia muda.

Program UniMadani Bersama Ibu Tunggal dan Surirumah Sekitar Bangi.

Pada 11 Jun 2025, program UniMadani bersama ibu tunggal dan suri rumah sekitar Bangi telah diadakan di Kompleks Rumah Tumbuhan, Taman Botani Bangi. Program ini bertujuan memberi pendedahan asas mengenai pertanian moden, khususnya teknik hidroponik, sebagai salah satu inisiatif menjana pendapatan komuniti. Aktiviti dimulakan dengan sesi perjumpaan peserta dan lafaz Aku Janji sebagai simbolik komitmen mereka terhadap program. Seterusnya, peserta diberi penerangan asas mengenai sistem hidroponik dan diperkenalkan kepada produk Mr Molec yang berkaitan dengan pertanian lestari. Program ini membuka peluang keusahawanan dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pertanian bandar.

Pameran Hari Penyelidikan & Inovasi (HAPI) 2025

Pada 21 Mei 2025, Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Universiti Kebangsaan Malaysia telah menganjurkan Hari Penyelidikan dan Inovasi (HAPI) 2025 bersempena sambutan 25 tahun penubuhan FST. Program yang diadakan di Dewan Tun Abdullah Mohd Salleh, UKM Bangi ini merupakan sebahagian daripada Festival of Ideas FST dan telah dirasmikan oleh Prof. Dato’ Dr. Roslee Rajikan, Pro Naib Canselor Strategi dan Kewatanan, UKM.  Taman Botani Bangi (TBB) turut serta dalam program ini dengan menghantar tiga penyertaan inovasi. Projek Ferti-Go: Sistem Mini Fertigasi telah memenangi pingat emas, manakala EroPlant-SIMr:Inovasi Simulator Intensiti Mikrohujan untuk Penilaian Keberkesanan Tumbuhan dalam Pendekatan Bio-kejuruteraan Cerun dan Se-soap: Sabun Organik Berasaskan Senduduk Bulu masing-masing meraih pingat gangsa. Di samping itu, TBB juga membuka booth jualan yang mempamerkan dan menjual pelbagai produk termasuk sayur, sambal dan anak pokok. Penyertaan ini bukan sahaja menyerlahkan daya cipta dan inovasi TBB dalam bidang pertanian dan produk semula jadi, malah mengukuhkan peranan TBB dalam menyumbang kepada penyelidikan, pembangunan mampan dan pemindahan ilmu kepada masyarakat.

Lawatan Sambil Belajar Kelab PEMADAM UKM & Kolej Universiti IJN

Pada 17 Mei 2025, Taman Botani Bangi telah menerima kunjungan lawatan sambil belajar daripada Kelab PEMADAM UKM dan Kolej Universiti IJN. Lawatan ini bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepelbagaian tumbuhan tropika serta peranan TBB dalam pemeliharaan biodiversiti dan pendidikan alam sekitar. Peserta dibawa melawat kawasan seperti Taman Herba dan Taman Paku-Pakis, sambil diberi penerangan oleh staf terlatih. Lawatan ini berjaya menggalakkan kesedaran tentang kepentingan alam sekitar serta mengeratkan hubungan antara institusi pendidikan dan TBB.

Lawatan ke Taman Botani Perdana, KL

Pada 13 Mei 2025, satu lawatan kerja ke Taman Botani Perdana telah diadakan oleh pihak Taman Botani Bangi dengan tujuan utama untuk menjalankan pengumpulan sampel pokok bunga raya bagi tujuan penyelidikan dan dokumentasi spesies. Lawatan ini melibatkan tinjauan ke beberapa kawasan dalam taman tersebut yang menempatkan pelbagai varieti bunga raya tempatan dan hibrid. Pengumpulan data ini penting bagi menambah kepelbagaian koleksi tumbuhan di TBB serta menyokong usaha konservasi spesies warisan negara. Selain itu, lawatan ini turut menjadi platform perkongsian maklumat antara dua taman botani dalam usaha memelihara biodiversiti dan memperkukuh jaringan kerjasama ilmiah.

Bengkel Pengurusan Aset Taman Botani Bangi

Bengkel Pengurusan Aset yang diadakan pada 14 Mei 2025 di Taman Botani Bangi bertujuan meningkatkan kefahaman dan kemahiran kakitangan dalam mengurus aset jabatan dengan lebih sistematik dan berintegriti. Bengkel ini merangkumi topik seperti tatacara pendaftaran aset, penyimpanan rekod, penyelenggaraan, serta pelupusan aset mengikut prosedur yang ditetapkan. Para peserta turut didedahkan dengan kepentingan pematuhan terhadap garis panduan pengurusan aset kerajaan serta penggunaan sistem digital untuk merekodkan aset. Program ini memberi nilai tambah kepada pengurusan organisasi dan memastikan setiap aset digunakan secara optimum, diselenggara dengan baik, dan direkodkan secara telus serta teratur

Bengkel ‘How to Guide’ Taman Botani Bangi

Bengkel ‘How to Guide‘ anjuran Taman Botani Bangi pada 5–6 Mei 2025 bertujuan melatih semua kakitangan sebagai pemandu pelancong berpengetahuan sekiranya menerima lawatan rasmi dari mana-mana pihak. Sepanjang bengkel, peserta didedahkan dengan maklumat penting di pelbagai lokasi seperti Taman Herba, Taman Paku-Pakis dan nurseri. Skrip panduan disediakan bagi memastikan penyampaian yang seragam dan tepat. Setiap peserta perlu menjalani sesi latihan praktikal sebagai pemandu pelancong. Tiga peserta terbaik dipilih berdasarkan penyampaian dan penguasaan isi, seterusnya diumumkan sebagai pemenang serta menerima hadiah. Program ini memperkukuh imej profesionalisme TBB dalam menyambut tetamu.

Bengkel Pembuatan Sambal Botanica dan Lawatan APPGM ke TBB

Pada 30 April 2025, Taman Botani Bangi (TBB) telah menganjurkan Bengkel Pembuatan Sambal Botanica bersempena lawatan kerja oleh APPGM. Program ini mengetengahkan hasil tangan Persatuan Suritani, iaitu kumpulan suri rumah dan ibu tunggal di bawah inisiatif TBB, yang menghasilkan sambal secara tradisional namun berkualiti tinggi. Bengkel ini bukan sahaja memperkenalkan produk tempatan berasaskan herba taman, malah memperkasa golongan wanita melalui keusahawanan komuniti. APPGM turut mengadakan lawatan rasmi ke kawasan rumah kaca dan ladang cili TBB bagi meninjau potensi pertanian bandar dan sokongan terhadap ekonomi komuniti setempat.Lawatan ini membuka peluang jaringan kerjasama serta pengiktirafan terhadap usaha TBB dalam memperkukuh ekonomi komuniti dan kelestarian sumber tempatan.

Bengkel Penerbitan Buku: InDesign

Taman Botani Bangi telah mengadakan Bengkel Penerbitan Buku menggunakan program InDesign pada 27 Februari 2025 di Bilik AktiV Fakulti Sains dan Teknologi. Ia merupakan satu inisiatif yang sangat bermanfaat dalam memperkasakan kemahiran teknikal warga kerja dan pelajar dalam bidang penerbitan. Melalui penggunaan perisian Adobe InDesign, para peserta berpeluang mempelajari asas-asas mereka bentuk dan menyusun kandungan buku secara profesional. Program ini bukan sahaja membantu meningkatkan kecekapan dalam aspek reka letak dokumen, malah turut membuka ruang kepada penghasilan bahan penerbitan berkualiti tinggi untuk tujuan ilmiah dan promosi. Bengkel ini menyokong pembangunan literasi digital dan kreativiti dalam kalangan komuniti akademik.

Program Semai Cinta Alam @ SKBL Berjaya Menyemai Kesedaran Alam Sekitar

Program Semai Cinta Alam @ SKBL telah berjaya dianjurkan pada 20 Februari 2025 dengan penuh semangat di Sekolah Kebangsaan Batu Laut (SKBL) hari ini. Program ini merupakan insiatif Taman Botani Bangi, Universiti Kebangsaan Malaysia (TBB, UKM) dengan kerjasama pihak Sekolah Kebangsaan Batu Laut dan Kumpulan Pegawai Penyelidik Fakulti Sains & Teknologi (FST), UKM. Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran para pelajar sekolah rendah terhadap kepentingan menjaga alam sekitar serta menarik minat pelajar terhadap bidang sains dan biodiversiti. Acara ini disertai oleh pelajar berusia 10 hingga 12 tahun iaitu seramai 202 orang telah menunjukkan keaktifan dan keterujaan sepanjang program berlangsung. Program dimulakan dengan sesi perkongsian bertajuk “Semai Cinta Alam dan Jom Jadi Saintis”, diikuti oleh sesi “Santai Alam” dan juga aktiviti selingan iaitu EcoQuiz yang mana para pelajar diberikan soalan-soalan yang berkaitan dengan sains. Dengan sambutan yang menggalakkan, diharapkan program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memastikan generasi muda terus diberi pendedahan dan motivasi untuk menjadi pemelihara alam sekitar yang bertanggungjawab.