PUSAT PEMBANGUNAN KARIER UKM / UKM CAREER ADVANCEMENT CENTRE

 MARA_GEUKM

KEMAHIRAN KERJAYA ABAD KE 21: ISU DAN CABARAN GRADUAN UNIVERSITI

Kepentingan pendidikan tinggi dalam menghasilkan graduan yang berpengetahuan dan kompeten pada abad ke-21 ini terus diperkukuhkan melalui Pelan Induk Pendidikan Tinggi 2015 – 2025 yang akan seiring bergerak dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015 – 2025 (peringkat pra sekolah hingga lepas menengah) yang telah dilancarkan pada tahun 2013. Transformasi pendidikan yang berasaskan pemikiran asas tinggi yang telah diterapkan di peringkat pendidikan asas hinggalah pendidikan tinggi dapat memastikan transformasi negara dapat dicapai oleh negara.

 

Lantaran itu, universiti berperanan dalam menyediakan graduan yang kompeten, berinovatif dan memenuhi keperluan pasaran kerja adalah sesuatu yang penting bagi memastikan graduan mempunyai kemahiran dan pengetahuan tentang pasaran pekerjaan. Pembangunan pelajar tidak hanya dilihat kepada pencapaian akademik yang cemerlang tetapi mempunyai kemahiran dan kualiti yang diperlukan oleh industri dan pasaran pekerjaan. Segala usaha tersebut adalah untuk menerapkan kemahiran tinggi dalam kalangan pelajar, maka perlu diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan di peringkat institusi. Dari aspek akademik pula, penambahbaikan kurikulum melalui kajian pasaran pekerjaan dan kerjasama dengan industri telah dan sedang giat dilaksanakan. Manakala perkhidmatan sokongan pembangunan kerjaya juga penting dalam memastikan pelajar dapat menggarap pencapaian akademik dan pembangunan kemahiran tinggi. Dalam erti kata lain, perkembangan kerjaya pelajar perlu dilihat secara holistik disamping faktor luaran seperti polisi dan ekonomi semasa, faktor individu seperti kesediaan kerjaya termasuklah minat kerjaya, kematangan kerjaya, efikasi kendiri kerjaya, pilihan kerjaya dan membuat keputusan kerjaya yang menyumbang kepada kepada peningkatan kemahiran tinggi graduan.

 

Perancangan kerjaya dapat dilakukan dengan mudah seandainya graduan mendapat panduan yang betul mengenai “career planning’’. Semakin banyak maklumat yang diperolehi oleh seseorang berkaitan kerjaya yang dipilih maka akan menjadikan perancangan kerjaya mereka lebih baik. Secara khususnya, membuat perancangan kerjaya memerlukan maklumat tentang pekerjaan yang sedang dipertimbangkan dari pelbagai aspek yang releven seperti pengetahuan, kemahiran, latihan dan sebagainya yang kemudian digabungkan dengan maklumat individu yang mencari pekerjaan iaitu aspek kedua yang tidak kurang pentingnya.

 

Perancangan kerjaya amat penting kerana pasaran kerja pada masa kini lebih dinamik dan lebih mementingkan kualiti seseorang graduan. Hal ini terjadi adalah ekoran daripada perubahan pesat dalam penggunaan teknologi dan kepelbagaian permintaan keperluan oleh majikan. Sebelum melangkah ke alam pekerjaan graduan perlu membuat persiapan dari pelbagai aspek terutamanya kemahiran insaniah yang diperlukan dan mereka tidak lagi harus bergantung kepada pencapaian akademik semata-mata. Antaranya kemahiran komunikasi secara berkesan dan beberapa kemahiran lain seperti kemahiran kepimpinan, kerja berpasukan, pemikiran kritis, keusahawanan, pembelajaran berterusan dan pengurusan maklumat serta etika dan moral profesional.

 

Berdasarkan perbincangan tersebut, memperlihatkan graduan universiti kini memerlukan pengetahuan dan kemahiran yang sesuai dengan pasaran kerja pada abad ke-21 antaranya kecekapan kognitif termasuklah pengetahuan mendalam dalam bidang yang diceburi, kemahiran penyelesaian masalah dan membuat keputusan dan keupayaan mengekalkan sifat-sifat peribadi berkaitan dengan sesuatu kerjaya. Oleh itu, dengan memiliki segala kemahiran yang diperlukan memberi tiga implikasi yang besar iaitu

(i) Graduan mempunyai keyakinan dan kepercayaan diri yang tinggi untuk mengimbangkan potensi diri;

(ii) Keselarasan keperluan kemahiran antara majikan dengan graduan; dan

(iii) Kualiti pendidikan tinggi dapat ditingkatkan.

 

Justeru itu, graduan harus mempersiapkan diri dengan pelbagai kemahiran tambahan agar mereka boleh bersaing di pasaran pekerjaan yang sangat kompetatif. Mereka juga harus sedar bahawa pencapaian akademik semata-mata tidak lagi menjamin mereka untuk mendapat jawatan yang setaraf dengan kelulusan yang mereka peroleh.

 

 

Disediakan oleh,

 

 

Dr. Mohd Izwan Mahmuad
Timbalan Pengarah
Pusat Pembangunan Karier
Universiti Kebangsaan Malaysia