PUSAT PEMBANGUNAN KARIER UKM / UKM CAREER ADVANCEMENT CENTRE

 MARA_GEUKM

KOMITMEN UNIVERSITI UNTUK MENINGKAT KEBOLEH DAPATAN KERJA GRADUAN

Universiti pada zaman sekarang bukan lagi sebagai sebuah menara gading yang semata-mata untuk tujuan penuntutan ilmu. Malahan ia juga seakan-akan sebuah entrepot bagi graduan universiti untuk memikirkan kerjaya masing-masing setelah memperoleh segulung ijazah yang menandakan penamatan pengajian.

Secara lazimnya, graduan ijazah sarjana muda berhadapan dengan kebingungan masa depan semasa tiba pada tahun akhir pengajian mereka. Kajian empirikal yang dilakukan mendapati mereka boleh dibahagikan kepada empat jenis publik apabila berhadapan dengan masalah keboleh dapatan kerja.

Publik aktif merupakan pelajar yang tiada masalah langsung untuk mendapat kerja apabila bergraduat nanti. Ramai daripada mereka telah bekerja atau berniaga semasa masih mengaji lagi. Namun, kebiasaannya bilangan mereka tidak ramai.

Pada satu ekstrim yang bertentangan, terdapat juga segelintir kecil publik apatis atau pun mereka sendiri yang menganggap bukan publik disebabkan memang tidak ingin bekerja langsung setelah bergraduat nanti. Tidak kira apa usaha yang universiti lakukan, mereka tetap tidak akan hirau nasihat atau pujukan yang diberikan. Inilah golongan yang paling merisaukan.

Dua jenis publik yang merupakan majoriti yang harus universiti beri tumpuan adalah publik pendam dan publik sedar. Mereka dianggar merangkumi melebihi 80 peratus daripada keseluruhan graduan.

Publik pendam memahami tentang masalah yang akan dihadapi iaitu mencari kerja apabila menampat pengajian nanti, namun mereka berkekangan untuk memperoleh maklumat lanjut tentang peluang kerja di pasaran luar. Mereka didapati terpendam kerana pengenal pastian tahap penglibatan dalam pencarian kerja adalah lebih rendah kalua dibandingkan dengan publik sedar.

Tahap penglibatan dalam pengenal patian masalah mendapat kerja ada kaitan dengan latar belakang keluarga. Bagi keluarga yang lebih berada, kedesakan adalah rendah sehingga publik pendam kurang sedar akan keutamaan untuk mencari nafkah demi meringankan tanggungan ibu bapa.

Publik sedar adalah lebih senang dibantu kerana mereka tahap kesedaran penglibatan adalah lebih tinggi. Cuma mereka kurang keupayaan memperoleh maklumat kalau dibandingkan dengan publik yang tidak berhadapan dengan kekangan komunikasi. Cara membantu mereka adalah mudah dan penyaluran maklumat peluang pekerjaan dari masa ke semasa cukup bermanfaat.

Berpandukan Teori Situasi dalam Penyelesaian Masalah, apa yang dinyatakan di atas adalah tiga daripada empat elemen utama iaitu

    1. Pengenal pastian masalah,
    2. Kekangan komunikasi, dan
    3. Pengenal pastian penglibatan.

Pengenal pastian masalah dan pengenal pastian penglibatan merupakan penggalak kepada motivasi untuk penyelesaian masalah iaitu untuk mendapat kerja. Sebaliknya, kekangan komunikasi membunuh semangat untuk mencari kerja sebab susah mendapat maklumat yang relevan.

Satu lagi elemen merupakan rangka rujuk atau pengetahuan yang diperolehi sebelum berhadapan dengan masalah yang ingin diatasi. Rangka rujuk juga merupakan asas kepada komunikasi supaya membolehkan seseorang untuk menafsirkan maklumat yang diterima. Ia sangat bergantung kepada pengalaman seseorang untuk memahami segala kejadian.

Balik kepada isu keboleh dapatan kerja graduan, keboleh pasaran mereka sentiasa menjadi cabaran bagi kebanyakan universiti khusus apabila berada pada musim kemelesetan ekonomi, mahu pun dalam pasaran yang penuh cabaran.

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sedar akan cabaran ini, Pusat Pembangunan Karier (UKM-Karier) telah ditubuhkan empat tahun dahulu dan banyak usaha telah dilakukan oleh pengarah pengasas, kini telah dilantik sebagai Pro-Naib Canselor, Profesor Dr. Ishak Yussof. Komitmen ini ternampak hasilnya dalam membantu graduan untuk penyelesaian masalah.

Kajian terhadap graduan UKM yang dilakukan oleh graduan PhD seliaan saya, Dr. Norliana Hashim (kini merupakan pensyarah kanan Universiti Putra Malaysia), membuktikan bahawa komitmen universiti dapat menghakiskan kekangan komunikasi. Malahan, aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan dapat meningkatkan rangka rujuk graduan atau dengan kata lain dapat memberi pengalaman awal untuk berhadapan dengan dunia pekerjaan.

Hasil kajian turut memberangsangkan pengasas teori apabila dihubungi oleh kami. Dalam perbincangan tentang data mentah kami, Profesor Dr. Jeong-Nam Kim daripada University of Oklahoma, Aemerika Syarikat memastikan komitmen organisasi memainkan peranan utama sebagai faktor pendahulu dalam penyelesaian masalah publik.

Dalam konteks ini, UKM-Karier mampu memberi khidmat yang sentiasa menyalurkan maklumat yang diperlukan seperti dalam penawaran kursus citra Persediaan Alam Pekerjaan, jemputan industri atau bakal majikan ke kampus, dan sebaran maklumat peluang pekerjaan melalui pelbagai saluran komunikasi. Selain itu, aktiviti yang dilaksanakan seperti penganjuran ekspo, klinik resume, penulisan CV, dan lain-lain lagi juga membantu bakal graduan.

Setelah 10 tahun berkhidmat sebagai pensyarah di alma mater saya, saya berasa sungguh bertuah kerana diberi kepercayaan oleh UKM untuk menyandang jawatan selaku pengarah UKM-Karier baru-baru ini. Dengan kesedaran akan kepentingan komitmen universiti, saya berharap masalah keboleh dapatan kerja graduan dapat ditangani dengan baik.

 

 

Disediakan oleh,

 

Prof. Madya Dr. Chang Peng Kee
Ahli Akademik Dalam Bidang Komunikasi (Perhubungan Awan), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Felo Kanan Bersekutu, Institut Kajian Etnik