PUSAT PEMBANGUNAN KARIER UKM / UKM CAREER ADVANCEMENT CENTRE

 MARA_GEUKM

MENGURUS KEBIMBINGAN, SOKONGAN SOSIAL DAN RESILIEN PELAJAR UNIVERSITI DALAM TEMPOH PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN (PKP)

Beberapa ahli psikologi dalam negara dan luar negara, menyatakan jumlah kematian tinggi yang dilaporkan seluruh dunia pada masa kini mengakibatkan wujudnya kebimbangan dan ketakutan melampau dalam kalangan warga dunia yang diistilahkan sebagai ketakutan psikologi atau psychological fear yang ekstrem dan tidak seimbang. Ketakutan psikologi ini diakibatkan gabungan faktor emosi dan pengetahuan terhad mengenai COVID-19. Satu lagi bentuk ketakutan psikologikal ialah bersifat prejudis dan suka menyalahkan orang lain. Memandangkan COVID-19 bermula dari Wuhan, China, sentimen anti-Asia meningkat dengan drastik. Situasi ini dapat dilihat dalam media sosial beberapa bulan yang lepas apabila peningkatan mendadak penduduk Wuhan yang dijangkiti Covid 19 dan juga jumlah kematian yang tinggi. Begitu juga, dalam konteks dalam negara Malaysia telah mengambil langkah awal dengan memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai usaha untuk membendung wabak dan sekaligus memutuskan rantaian penularan wabak ini.

 

Bagaimana pun, dalam tempoh PKP ini, pelajar universiti yang berada di kampus juga turut terkesan dari segi psikologi iaitu mengalami kebimbangan dan ketakutan melampau yang menjejaskan kefungsian pemikiran dan emosi negatif. Apabila individu bertingkah laku dalam emosi yang keliru dan celaru, mereka berkecenderungan berfikir secara tidak rasional. Pemikiran tidak rasional akan mendatangkan kesan emosi yang negatif dan mempamerkan tingkah laku yang tidak kongruen. Berlakunya sesuatu bencana adalah masa yang amat sukar kepada individu mempunyai sejarah masalah mental seperti kebimbangan keterlaluan dan kecelaruan tingkah laku. Ketakutan psikologi ini boleh diatasi dengan membentuk satu kaedah yang dapat mengawal minda atau pemikiran untuk mengawal ketakutan yang boleh menyumbang kepada panik. Antaranya, adalah dengan tidak terlalu mempercayai sepenuhnya maklumat daripada media sosial juga merupakan satu kaedah yang berupaya untuk mengawal ketakutan dan kebimbangan yang melampau. Jika ini berlaku, harga yang perlu dibayar adalah sangat mahal iaitu ketakutan psikologi ini lebih berbahaya berbanding serangan wabak COVID-19 itu sendiri. Lebih membimbangkan terdapat individu yang berkecenderungan bertingkah laku seperti mencederakan diri dan membunuh diri apabila mengetahui diri positif penyakit Covid-19.

 

Kebimbangan (Anxiety) didefinisikan sebagai rasa takut dan ketakutan yang luar biasa dan sering dikenal pasti dengan tanda-tanda fizikal (ketegangan, berpeluh, dan peningkatan kadar nadi) dengan keraguan mengenai realiti dan sifat ancaman, serta keraguan diri tentang kemampuan seseorang untuk mengatasinya. Perasaan bimbang dan kegelisahan boleh dijangka semasa berlaku peristiwa yang tertekan, tetapi penting untuk mengatasi tekanan sebelum menjadi kebimbangan atau panik yang lebih teruk. Tanda-tanda tekanan seperti perasaan yang tidak selesa, kekurangan motivasi, ketegangan otot, sakit kepala, insomnia, kerengsaan, dan kegelisahan. Seseorang yang mempunyai simptom ini dalam satu tempoh yang lama dan tidak dirawat akan memberi kesan terhadap kefungsian hidup.

 

Berdasarkan perbincangan tersebut, kesan psikologi dan sosial terhadap pelajar ketika berhadapan dengan krisis akan menyebabkan berlakunya ketidakfungsian dalam aktiviti seharian. Bahkan jika sesuatu krisis berlaku dalam satu tempoh yang lama dan berpanjangan akan menjadi lebih teruk kebimbangan dan ketakutan yang mereka perlu ditempuhi. Oleh itu, dalam situasi krisis dan pasca krisis ini, mereka memerlukan bantuan sokongan sosial (external factor) bagi mengimbangi kebimbangan dan ketakutan melampau. Bantuan sokongan psikososial boleh diperoleh dari profesional seperti (i) kaunselor, (ii) klinikal psikologis dan (iii) psikiatris. Disamping bantuan sokongan sosial juga boleh diperoleh melalui komunikasi dengan (i) rakan sebaya, (ii) pensyarah, (iii) penyelia dan (iv) komuniti.

 

Disamping itu, pelajar juga perlu meningkatkan kekuatan dalaman iaitu melalui daya tahan (resilien). Resilien adalah bagaimana seseorang individu yang mengalami kesulitan dan kesusahan dapat menghadapi segala bentuk risiko, cabaran dan kekangan dengan lebih tabah dan yakin, kompeten dan berdaya juang yang tinggi dalam kehidupannya. Resilien juga didefinisikan sebagai ciri-ciri kekuatan yang ada dalam diri seseorang bagi menghadapi tekanan, membuat penyesuaian dan menunjukkan hasil yang positif walaupun pendedahan kepada kesukaran dalam kehidupan. Mereka yang mempunyai resilien tinggi berkeupayaan menahan diri dan dapat mengadaptasi diri dalam situasi yang tertekan atau berhadapan dengan krisis. Sehubungan itu, seseorang yang mempunyai resilien yang tinggi dapat mengurus tekanan, kebimbangan dan menyelesaikan masalah kompleks yang dihadapi dalam tempoh berlakunya krisis mahupun pasca krisis. Disamping keupayaan untuk keluar dari situasi traumatik kesan dari stigma, tekanan, kebimbangan dan ketakutan.

 

Justeru, terdapat dua cadangan yang boleh dipertimbangkan oleh pihak universiti selain dari bantuan asas seperti makanan dan tempat tinggal yang selamat kepada pelajar, adalah penting juga menyedia dan meningkatkan bantuan psikososial kepada pelajar seperti kaunseling, psikoterapi, psychological first aid dan bantuan sokongan yang lain. Kedua, kerjasama antara profesional seperti Pekerja Sosial, Kaunselor, Psikologi Klinikal, Psikiatris dan Doktor Perubatan perlu bergerak sebagai satu pasukan bagi menyedia khidmat psikososial yang lebih berkesan. Oleh itu, dengan adanya bantuan ini, dapat mengurangkan kebimbangan dan ketakutan melampau warga universiti khususnya para pelajar yang berada di kampus dalam tempoh PKP ini.

 

 

Disediakan oleh,

 

 

Dr. Mohd Izwan Mahmuad
Pensyarah Kaunseling
Fakulti Pendidikan

 

Timbalan Pengarah
Pusat Pembangunan Karier
Universiti Kebangsaan Malaysia