Laporan Latihan Kawad Kebakaran UMBI 2025
13 Februari 2025 – Jawatankuasa Pengungsian Bangunan, Kecemasan dan Kawad Kebakaran, UMBI dengan kerjasama JKKP UMBI sekali lagi telah melaksanakan Latihan Kawad Kebakaran pada 13 Februari 2025, Khamis bermula jam 2.30 petang. Latihan ini bertujuan untuk memberi pendedahan dan latihan serta meningkatkan kesedaran dan kesiapsiagaan di kalangan warga UMBI terhadap tindakan yang perlu diambil sekiranya berlaku kecemasan. Selain itu, aktiviti ini juga bertujuan untuk memastikan sistem perlindungan dan pencegahan kebakaran yang terdapat di bangunan UMBI berfungsi dengan baik serta pematuhan kepada keperluan undang-undang berkaitan persediaan dan tindakan kecemasan (kebakaran).

Latihan ini melibatkan Pasukan Bantu Mula dari pihak Keselamatan HCTM dan Pasukan ERT (Emergency Response Team) dari Jabatan Kecemasan HCTM. Pemerhati luar yang terlibat adalah En. Mohd Noor Faizal dan En. Mohd Afif (ROSH-UKM), En. Mohamad Suffize (Bahagian Keselamatan KKL UKM), Pn. Wan Irfani (UKKP HCTM, En. Abdul Karim (Jabatan Perubatan Kecemasan HCTM), dan En. Mohd Shahrul (Jabatan Pembangunan Prasarana KKL).

Latihan dimulakan dengan simulasi kebakaran, diikuti dengan arahan daripada pasukan keselamatan untuk melaksanakan langkah-langkah pengungsian yang betul. Semua peserta diminta untuk mengikuti laluan keluar yang telah ditetapkan, dan berkumpul di kawasan selamat yang telah ditentukan.
Prosedur pengungsian bangunan UMBI secara keseluruhan mengambil masa selama 4 minit dan Latihan Kawad Kebakaran ini selesai pada jam 3.45 petang. JK Pelaksana ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan latihan ini, termasuk pihak ROSH UKM, Bahagian Keselamatan KKL, Jabatan Perubatan Kecemasan HCTM, UKKP HCTM, Prasarana KKL, serta semua kakitangan, pelajar, dan pelawat yang turut serta dalam latihan kawad kebakaran ini. Kami juga ingin menegaskan bahawa keselamatan adalah keutamaan utama kami dan latihan seperti ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk memastikan persekitaran yang selamat dan terjamin untuk semua.
—–
Oleh: Andri Dauni