Sistem Pertahanan Badan Dan Kanser

Written by : Dr Nor Adzimah Johdi, Felo Penyelidik.

Date Publish :  06 Disember 2022

INSTITUT BIOLOGI MOLEKUL PERUBATAN UKM

Sistem pertahanan badan dan kanser

 

Sistem pertahanan badan juga dikenali sebagai sistem imun berfungsi untuk mempertahankan badan kita dari serangan kuman dan benda asing. Namun persoalannya, mengapa sistem imun badan gagal membunuh sel-sel kanser dalam badan pesakit? Sebenarnya, sel-sel imun mampu mengenalpasti dan membunuh sel-sel yang rosak sepanjang masa termasuklah sel-sel kanser. Sekiranya ini tidak berlaku, pasti sel-sel kanser membiak jauh lebih awal dari yang sedia ada. Ini kerana proses pembahagian sel-sel badan berlaku dengan cepat dan sepanjang masa. Maka, keberangkalian untuk berlaku kesilapan semasa proses tersebut adalah sangat tinggi. Kesilapan ini menjadikan sel rosak dan membahayakan badan. Di dalam kebanyakkan situasi, sistem imunisasi akan bertindak sebagai pengawal untuk mempastikan kesilapan sel adalah sedikit dan disingkirkan dari sistem badan melalui proses apoptosis. Sekumpulan sel imun yang dikenali sebagai sel T pembunuh (cytotoxic T cell) adalah antara sel imun yang bertanggungjawab untuk mengawasi sistem badan kita dan membuang sel yang rosak. Selain itu, sel T pembunuh ini juga mampu menyingkirkan sel tumor yang kecil sebelum sel-sel ini merebak dan membahayakan kesihatan badan seseorang. Sekiranya sistem imun kita berupaya menyingkirkan sel tumor pada peringkat awal, mengapa sel kanser boleh terus membiak dan menyebabkan penyakit kepada manusia?

Sel imun dan penyingkiran sel tumour kecil

Di peringkat awal pertumbuhan sel kanser, sel imun akan bertindak membunuh sel-sel kanser dari membiak. Ini dinamakan fasa membuang (eliminating phase) dimana sel imun mengawal sepenuhnya sel kanser. Namun, apabila kadar pertumbuhan sel-sel kanser mula menyamai aktiviti sistem imun, maka ia mencapai tahap keseimbangan (equilibrium phase). Sel-sel imun berusaha keras untuk masih mengawal sel-sel kanser sepanjang pertumbuhan dan pembiakan sel-sel kanser. Namun, setelah sekian masa, sel-sel kanser akan mempunyai perubahan genetik yang merupakan satu meknisme untuk sel-sel kanser mengelak dari kawalan sistem imun. Perubahan genetik dan kadar pertumbuhan yang cepat oleh sel-sel kanser menyebabkan mereka dapat mengatasi sel-sel imun dan membebaskan diri dari kawalan sel-sel imun. Pada ketika inilah, sel-sel imun hilang kawalan terhadap sel-sel kanser dan menyebabkan sel-sel kanser membesar, membiak dan merebak dengan kadar yang cepat.

Sel-sel kanser gagal dikesan oleh radar sistem imun

Sel-sel imun mengenalpasti signal bahaya melalui sekumpulan molekul yang berada di permukaan sel-sel di dalam badan. Ini membolehkan mereka mengenal pasti dan membezakan sel-sel badan dan sel-sel yang berpotensi mendatangkan bahaya. Namun apabila sel-sel kanser mencapai fasa menghindari dari sistem imun (escape phase), tiada signal yang memberitahu sistem imun tentang kewujudan sel-sel kanser. Akibatnya, sel imun tidak dapat mengesan bahaya yang akan datang. Sel kanser juga mempunyai cara untuk menyahaktifkan sel imun dengan penghasilan molekul tertentu. Jadi, sel-sel kanser berupaya mengubah persekitarannya menyebabkan sel-sel imun tidak mudah untuk mengesan bahaya. Contohnya, apabila sel kanser mengubah persekitarannya, sel T pembunuh yang sampai di persekitaran ini akan dinyahaktifkan dan tidak mampu menjalankan fungsinya.

Memperkuatkan sel imun

Banyak hasil penyelidikan telah menunjukkan bahawa sebarang perubahan penyahaktifan pada sel-sel imun adalah bersifat tidak kekal. Sekiranya, kita dapat mencari cara yang berkesan untuk mengaktifkan semula sel-sel imun di persekitaran kanser, sel-sel imun berkemungkinan akan dapat menghapuskan sel-sel kanser. Ini merupakan asas kepada terapi imun yang cuba menggunakan dan mengaktifkan semula sel imun pesakit kanser. Teknik baru nie memberikan alternatif rawatan dan peluang kesembuhan yang baru. Antara contoh terapi imun adalah perencat pemeriksaan (checkpoint inhibitors), sel terapi seperti sel T CAR terapi, peptide dan antibody yang telah digunakan secara meluas untuk merawat pelbagai jenis kanser termasuk kanser paru-paru, leukemia dan melanoma.

Namun, terapi imun ini tidak sesuai untuk semua pesakit kanser. Ada diantara pesakit yang tidak mendapat manfaat dari terapi ini. Penyelidik masih cuba memahami asas kepada perbezaan tindak balas antara pesakit terhadap rawatan imun dan proses bagaimana sel-sel kanser dapat menghindari dari dikesan sistem imun badan dengan lebih mendalam.

 

Rujukan:

Ahrends, T. & Borst, J. 2018. The opposing roles of CD4 + T cells in anti-tumour immunity. Immunology 154(4): 582–592. doi:10.1111/imm.12941

Arruebo, M., Vilaboa, N., Sáez-Gutierrez, B., Lambea, J., Tres, A., Valladares, M. & González-Fernández, Á. 2011, September. Assessment of the evolution of cancer treatment therapies. Cancers. Multidisciplinary Digital Publishing Institute  (MDPI). doi:10.3390/cancers3033279

Benmebarek, M. R., Karches, C. H., Cadilha, B. L., Lesch, S., Endres, S. & Kobold, S. 2019. Killing mechanisms of chimeric antigen receptor (CAR) T cells. International Journal of Molecular Sciences 20(6). doi:10.3390/ijms20061283

Bilusic, M., Heery, C. R., Arlen, P. M., Rauckhorst, M., Apelian, D., Tsang, K. Y., Tucker, J. A., et al. 2014. Phase i trial of a recombinant yeast-CEA vaccine (GI-6207) in adults with metastatic CEA-expressing carcinoma. Cancer Immunology, Immunotherapy 63(3): 225–234. doi:10.1007/s00262-013-1505-8

Burch, P. A., Breen, J. K., Buckner, J. C., Gastineau, D. A., Kaur, J. A., Laus, R. L., Padley, D. J., et al. 2000. Priming tissue-specific cellular immunity in a phase I trial of autologous dendritic cells for prostate cancer. Clinical Cancer Research 6(6): 2175–2182.

Burch, P. A., Croghan, G. A., Gastineau, D. A., Jones, L. A., Kaur, J. S., Kylstra, J. W., Richardson, R. L., et al. 2004. Immunotherapy (APC8015, provenge®) targeting prostatic acid phosphatase can induce durable remission of metastatic androgen-independent prostate cancer: A phase 2 trial. Prostate 60(3): 197–204. doi:10.1002/pros.20040