WACANA PENDIDIKAN ISLAM KE 12

 Satu lagi seminar anjuran Fakulti Pendidikan, UKM

Latar Belakang

Secara umumnya, siri-siri WPI yang dianjurkan oleh Fakulti Pendidikan, UKM bertujuan menjadi forum perbincangan bagi semua pihak yang terlibat dengan Pendidikan Islam, Bahasa Arab dan bidang-bidang lain dalam konteks acuan Islam di institusi-institusi pendidikan termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia, majlis-majlis agama negeri, jabatan-jabatan agama Islam negeri, institusi pendidikan kerajaan-kerajaan negeri, universiti-universiti, kolej-kolej, maktab-maktab, sekolah-sekolah dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan di Malaysia.

Antara objektif Siri Wacana Pendidikan Islam adalah untuk mewujudkan platform wacana kepada para pendidik yang berkaitan pendidikan Islam pada semua peringkat dalam Malaysia. Ini bagi membolehkan para cendikiawan dalam bidang pendidikan menyumbang idea dalam konteks acuan Islam serta menyebarkan dapatan-dapatan kajian ilmiah dalam berkaitan  isu-isu pendidikan Islam yang memberi impak terhadap masyarakat. Selain itu, ia juga bertujuan untuk mewujudkan pentas untuk melontarkan idea dan cadangan ke arah memantapkan gagasan transformasi sistem pendidikan acuan Islam di Malaysia yang memberi impak terhadap transformasi masyarakat. Siri Wacana Pendidikan Islam juga bertujuan untuk memperluas kerjasama dan jaringan antara institusi dan individu dalam aspek akademik dan khidmat masyarakat, selain membuka ruang kerjasama dalam menjalankan penyelidikan merentas kepakaran dan institusi dalam pembangunan pendidikan acuan Islam sekaligus memberi impak terhadap transformasi masyarakat.

Objektif

  1. Membincangkan kepentingan pendidikan Islam dan peranannya dalam memberi impak kepada pembentukan ummah wasatiah.
  2. Membincangkan isu-isu transformasi masyarakat Malaysia melalui impak sistem pendidikan dalam konteks acuan Islam.
  3. Mengangkat dan memartabatkan pembelajaran Pendidikan Islam sebagai teras yang memberi impak terhadap masyarakat pada semua peringkat pendidikan.
  4. Pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam sebagai teras yang memberi impak terhadap masyarakat pada semua peringkat pendidikan.
  5. Menyebarkan dapatan-dapatan kajian yang berkaitan pendidikan Islam dalam sistem Pendidikan yang memberi impak terhadap transformasi ummah.
  6. Mengemukakan idea dan pandangan dalam kualiti Pendidikan Islam dan sistem pendidikan berteraskan Islam yang memberi impak terhadap transformasi masyarakat.
  7. Mengetengahkan peranan bidang selain pendidikan Islam dalam sistem pendidikan acuan Islam yang memberi impak terhadap transformasi masyarakat.