Mata Terbuka, Minda Tiada: Bahaya Senyap Era Digital
“Awak okay ke? Tadi macam terdiam sekejap je…”
Situasi ini mungkin berlaku ketika mesyuarat atas talian, ketika membaca mesej di telefon, atau lebih membimbangkan, ketika memandu. Dalam dunia hari ini, keletihan bukan lagi berpunca semata-mata daripada kerja fizikal, tetapi semakin dipengaruhi oleh beban digital yang kita hadapi setiap hari.
Seiring dengan tema “Kuasa Digital, Impak Global”, teknologi sememangnya telah mengubah cara kita hidup, bekerja dan berinteraksi. Peranti berskrin kini menjadi sebahagian daripada rutin harian, di mana kita menggunakannya kemungkinan daripada pagi hingga malam. Daripada bangun tidur hingga hendak tidur semula. Melalui mesyuarat, pemberian kuliah dalam kelas, pengajaran, komunikasi, hiburan, semuanya berlaku melalui skrin. Namun di sebalik kemudahan ini, terdapat kesan yang semakin jelas tetapi sering diabaikan iaitu kelesuan fizikal dan mental atau kognitif kita, terutamanya melibatkan mata dan minda.
Penggunaan peranti berskrin secara berpanjangan menyebabkan mata bekerja tanpa henti. Kadar kelipan berkurang, mata menjadi kering dan fokus visual semakin merosot. Dalam keadaan ini, otak terpaksa bekerja lebih keras untuk memproses maklumat yang dilihat. Apa yang bermula sebagai sekadar penat mata sebenarnya adalah tanda awal kepada beban kognitif yang meningkat.
Namun, kesan ini tidak berhenti di meja kerja, ruang belajar atau pengajaran dan pembelajaran (P&P) Sahaja. Ia juga terkait dengan aktiviti harian kita semasa kita ke sana sini terutama di dalam kabin kereta, di mana kereta kini semakin ke arah digitalisasi dan automasi.
Kereta moden hari ini bukan lagi sekadar alat pengangkutan. Ia telah berubah menjadi satu ekosistem digital bergerak. Skrin radio yang besar, sistem navigasi masa nyata, paparan pemuka digital, sambungan telefon pintar serta pelbagai notifikasi yang mana semuanya direka untuk memudahkan pengguna. Namun dalam masa yang sama, ia turut menambah beban maklumat yang perlu diproses oleh pemandu.
Ketika pemanduan juga, tugas yang asasnya sepatutnya ditumpukan pada pemanduan, telah berubah kepada sesuatu yang kompleks. Di situlah wujudnya mata yang asyik berubah arah daripada depan ke sisi, ke kanan atau ke kiri untuk membaca navigasi, mengawal muzik atau panggilan, membaca papan tanda dan sebagainya.
Keadaan ini secara tidak langsung meningkatkan beban mental atau beban kognitif, iaitu jumlah beban pemikiran yang perlu ditanggung oleh otak dalam satu masa. Apabila beban ini terlalu tinggi atau berpanjangan, prestasi manusia akan mula merosot. Dan sayangnya, ia kadang-kadang berlaku tanpa disedari. Di sinilah hubungan antara dunia digital dan fenomena terlelap sejenak (microsleep) serta minda melayang-layang (mind wandering) menjadi semakin nyata.
Terlelap sejenak ialah keadaan di mana seseorang tertidur seketika selama beberapa saat, walaupun mata mungkin masih terbuka. Dalam konteks pemanduan, keadaan ini amat berbahaya. Dalam tempoh hanya beberapa saat, kenderaan boleh bergerak jauh tanpa kawalan yang sebenar. Kajian terdahulu menunjukkan bahawa keletihan, sama ada fizikal atau mental, akan menjejaskan keupayaan pemandu dalam mengawal stereng, mengekalkan lorong dan mengawal kelajuan.
Namun, sebelum seseorang benar-benar terlelap, terdapat satu keadaan yang lebih halus tetapi sama berisiko, iaitu minda melayang-layang. Dalam keadaan ini, seseorang masih sedar dan mata masih terbuka, tetapi fokus sebenar tidak lagi berada pada tugas yang dilakukan. Pemandu mungkin masih memegang stereng dan melihat ke hadapan, tetapi fikirannya sudah teralih kepada perkara lain seperti mesej yang belum dibalas, kerja yang belum siap, atau sekadar lamunan tanpa arah.
Apa yang sering terlepas pandang ialah hakikat bahawa keletihan mental akibat penggunaan digital juga boleh menyumbang kepada keadaan ini. Seorang individu yang telah menghabiskan berjam-jam di hadapan skrin dengan menghadiri mesyuarat, menyiapkan tugasan, atau melayari media sosial, sebenarnya telah menggunakan sebahagian besar kapasiti kognitifnya. Apabila individu ini memandu, otaknya sudah berada dalam keadaan letih, walaupun secara fizikal mungkin masih bertenaga.
Tambahan pula, pemanduan dalam persekitaran tertentu seperti lebuh raya yang monotonous boleh mempercepatkan lagi keletihan ini. Tanpa rangsangan yang mencukupi, otak cenderung untuk berhenti seketika, lalu berlakulah senario terlelap sejenak. Dalam erti kata lain, risiko di jalan raya hari ini bukan sahaja datang daripada faktor luaran seperti keadaan jalan atau cuaca, tetapi juga daripada keadaan dalaman pemandu yang dipengaruhi oleh gaya hidup digital.
Namun, ini tidak bermakna teknologi harus dipersalahkan sepenuhnya. Sebaliknya, teknologi juga boleh menjadi sebahagian daripada penyelesaian. Dalam bidang ergonomik dan kejuruteraan manusia, pelbagai pendekatan telah dibangunkan untuk membantu mengurangkan risiko keletihan, termasuk sistem amaran seperti getaran tempat duduk (vibrotaktil), amaran bunyi, dan pemantauan tingkah laku pemandu atau manusia.
Di peringkat individu pula, kesedaran memainkan peranan yang sangat penting. Amalan mudah seperti peraturan 20-20-20 ketika menggunakan skrin, pengurusan masa skrin, serta memastikan rehat yang mencukupi sebelum memandu boleh membantu mengurangkan beban mental yang terkumpul sepanjang hari. Akhirnya, persoalan yang perlu kita renungkan ialah, dalam kita mengejar kemajuan digital, adakah kita benar-benar bersedia dari segi kapasiti kemanusiaan kita?
Kuasa digital sememangnya mampu membawa impak global yang besar di mana ia meningkatkan produktiviti, mempercepatkan komunikasi dan membuka peluang baharu, Namun tanpa keseimbangan yang betul, ia juga boleh membawa kepada keletihan yang senyap tetapi berbahaya.
Kata Kunci: Kelesuaan, Digital, Skrin, Minda Melayang, Terlelap Sejenak
Disediakan Oleh :
Dr. Nor Kamaliana Khamis
Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan,
Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina,
Univesiti Kebangsaan Malaysia
