Teknologi Kuantum dalam Pendidikan Digital: Mencipta Impak Global melalui Pengalaman Estetika Fizikal dan Metaverse
Menyelusuri era masa kini dengan transformasi digital yang pesat, teknologi kuantum muncul sebagai pemacu kuasa baharu yang dilihat sebagai satu potensi bagi merevolusikan pelbagai bidang sedia ada termasuk pendidikan kreatif. Di institusi pengajian tinggi (IPT) khususnya, teknologi kuantum wujud dengan keupayaan yang tinggi dan pantas dalam mencari, mentafsir serta memproses maklumat secara kompleks. Hasilnya ia membantu dalam membuka ruang kepada pembangunan persekitaran pembelajaran digital yang lebih imersif, adaptif dan berskala global. Teknologi kuantum dilihat bukan lagi sekadar teknologi yang dianggap mempercepatkan inovasi sahaja tetapi mampu membentuk cara baharu manusia, khususnya pelajar universiti untuk mengalami pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna dan merentasi sempadan di antara bilik kuliah dan di persada global.

Rajah 1: Pelajar melawat Balai Seni Negara bagi mengalami sendiri pengalaman estetika secara fizikal
Mengambil contoh seperti kursus Kritikan Seni Tampak pelajar tidak hanya mempelajari teori kritikan seni secara konvensional, tetapi terlibat secara langsung dalam pengalaman estetika melalui lawatan ke Muzium Seni dan Balai Seni Negara dan dirakam dengan kaedah vlog. Aktiviti ini membolehkan pelajar merakam interaksi mereka dengan karya seni sebenar, memerhati ruang pameran, cahaya, susun atur, serta reaksi emosi yang terhasil daripada pengalaman tersebut. Pendekatan ini selari dengan prinsip pembelajaran pengalaman (experiential learning), di mana seni bukan sekadar objek visual, tetapi satu pengalaman ruang, emosi dan naratif.
Namun, pengalaman fizikal ini tidak berakhir di muzium. Pengalaman fizikal ini kemudiannya diperluas ke dunia digital melalui pembinaan galeri seni maya dalam persekitaran metaverse. Pelajar dikehendaki menghasilkan suatu karya seni berdasarkan refleksi, interpretasi visual dan emosi dan dipamerkan secara interaktif, membolehkan pengguna dari pelbagai lokasi meneroka pameran secara masa nyata. Di sinilah penggunaan dan aplikasi kuasa teknologi digital dalam pendidikan disokong oleh pengkomputeran kuantum yang bertujuan memainkan peranan besar dalam mewujudkan ruang pembelajaran tanpa sempadan. Hasilnya, pendidikan digital mampu menjadi medium komunikasi global dan bukan lagi pengalaman tempatan yang terhad pada skala kecil sahaja
Rajah 2: Galeri Seni secara maya dengan menggunakan teknologi Metaverse memberi penekanan kepada pendidikan digital dan juga pengalaman yang lebih bermakna
Teknologi kuantum, apabila digabungkan dengan realiti maya dan kecerdasan buatan, berpotensi menjadikan galeri seni digital lebih responsif terhadap emosi dan tingkah laku pengguna. Persekitaran maya boleh menyesuaikan pencahayaan, bunyi ambien, susun atur pameran dan aliran pergerakan berdasarkan reaksi pengunjung. Ini mewujudkan pengalaman estetika peribadi yang mendalam serta menyokong pembelajaran reflektif yang lebih berkesan. Kuasa pemprosesan tinggi ini menjadikan dunia maya bukan sekadar simulasi visual, tetapi ruang pengalaman seni yang hidup dan dinamik.
Pendidikan digital juga memperkasa pelajar sebagai pencipta kandungan global. Mereka bukan sekadar menilai karya seni, tetapi dalam masa yang sama membina pameran digital, mengkurasi naratif visual dan berinteraksi dengan audiens antarabangsa. Melalui platform metaverse, pelajar dapat menerima maklum balas daripada komuniti seni global, memperluas perspektif kritikan dan memahami kepelbagaian budaya visual dunia.
Rajah 3: Pengalaman Estetika dan proses karya dipersembahkan di dalam bentuk video digital
Selain itu, penggunaan galeri maya dan pengalaman fizikal muzium meningkatkan literasi digital kreatif pelajar. Pelajar mempelajari kemahiran dokumentasi visual, penceritaan digital, reka bentuk ruang maya serta analisis estetika berasaskan teknologi. Kemahiran ini amat relevan dalam ekonomi kreatif global yang semakin bergantung kepada pengalaman digital imersif, pameran maya dan kandungan seni interaktif.
Selain itu, pengalaman estetika yang berlaku dalam ruang metaverse membebaskan seni daripada halangan fizikal dan geografi. Pelajar boleh bereksperimen secara kreatif, membuat karya berskala besar tanpa menggunakan modal yang besar, dan mengubah ruang pameran mengikut idea cerita tertentu. Pada masa depan, teknologi kuantum dijangka mempercepatkan pemodelan kompleks ini. Ini akan membolehkan realiti maya menjadi semakin nyata dan mengintegrasikan emosi manusia dengan lebih halus.
Kesimpulannya, penggabungan teknologi kuantum secara konseptual dalam di dalam pendidikan mampu membawa transformasi besar terhadap cara pengalaman pembelajaran di antara pelajar. Kursus Kritikan Seni Tampak mithalnya, menggabungkan ciptaan reflektif, penciptaan video di muzium dan galeri seni metaverse bagi mewujudkan ekosistem pembelajaran yang luas di mana ia menghubungkan dunia sebenar, emosi manusia dan dunia digital masa hadapan. Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan kefahaman seni, tetapi melatih pelajar menjadi pengkarya, pengkritik dan kurator digital yang bersedia menghadapi landskap pendidikan kreatif abad ke-21.
Dr Mohd Fadhli Shah Bin Khaidzir

