Transformasi Sistem Sumbangan melalui Aplikasi Derma Berpusat
PENGENALAN
Dalam era digital, sumbangan dalam talian semakin mudah dilakukan, namun risiko penipuan NGO palsu turut meningkat.”
Rakyat Malaysia sememangnya terkenal dengan sifat pemurah dan prihatin dalam membantu golongan yang memerlukan. Semangat kesukarelawanan dan budaya memberi sumbangan sudah lama menjadi sebahagian daripada masyarakat kita, sama ada melalui bantuan bencana, kebajikan komuniti mahupun sokongan kepada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO). Namun begitu, sikap baik hati ini kadangkala diambil kesempatan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dengan menggunakan nama NGO untuk menjalankan kutipan derma yang meragukan.
Terdapat NGO yang kurang telus dari segi pengurusan dana dan penggunaan sumbangan, sekali gus menimbulkan keraguan dalam kalangan masyarakat. Keadaan ini menyebabkan ramai penderma menjadi lebih berhati-hati sebelum menyalurkan bantuan kerana sukar untuk menyemak kesahihan sesebuah organisasi. Selain itu, ketiadaan satu platform berpusat yang memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat berkaitan NGO turut menyukarkan proses semakan dan pengesahan.
Oleh itu, satu inisiatif seperti aplikasi berpusat amat penting bagi membantu masyarakat membuat semakan dengan lebih mudah dan meningkatkan semula keyakinan penderma terhadap NGO yang benar-benar menjalankan kerja kebajikan secara telus dan amanah.
APLIKASI DERMA BERPUSAT
Menyedari keperluan terhadap sebuah aplikasi derma berpusat yang lebih telus, selamat dan diyakini masyarakat,seorang pelajar dari Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat (FTSM), Universiti Kebangsaan Malaysia telah membangunkan sebuah aplikasi inovatif yang dikenali sebagai GiveMY sebagai satu aplikasi projek tahun akhir. Aplikasi ini dibangunkan bagi memudahkan proses sumbangan secara dalam talian di samping meningkatkan tahap kepercayaan, ketelusan dan kecekapan dalam pengurusan derma melalui satu platform bersepadu.
GiveMY ialah aplikasi kutipan derma berpusat yang membolehkan orang ramai menyalurkan sumbangan kepada NGO yang sah dengan lebih mudah, pantas dan telus melalui satu platform dalam talian. Aplikasi ini juga dapat membantu menghubungkan penderma dengan NGO yang sah dan dipercayai.
GiveMY dibangunkan menggunakan pendekatan Agile, iaitu kaedah pembangunan yang fleksibel dan membolehkan penambahbaikan dibuat secara berperingkat berdasarkan maklum balas pengguna. Pendekatan ini membantu memastikan aplikasi yang dibina benar-benar memenuhi keperluan pengguna dan sesuai dengan situasi semasa.
Bagi memastikan aplikasi berjalan lancar dan mempunyai paparan yang mudah digunakan, pembangunan GiveMY menggunakan React Native sebagai platform utama. Sistem pangkalan data pula diuruskan menggunakan Firebase bagi memastikan penyimpanan data lebih pantas dan teratur. Untuk urusan pembayaran dan transaksi derma, aplikasi ini turut menggunakan Stripe API supaya setiap transaksi dapat dilakukan dengan lebih selamat dan telus.
Sebagai sebuah aplikasi derma berpusat, GiveMY dibangunkan untuk memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat berkaitan NGO dengan lebih jelas dan telus. Melalui aplikasi ini, pengguna boleh melihat latar belakang NGO, tujuan penubuhan, aktiviti yang dijalankan serta maklumat berkaitan kempen derma yang sedang berlangsung. Setiap NGO juga perlu menyediakan dokumen dan maklumat penting seperti bukti pendaftaran, carta organisasi, laporan kewangan dan gambar aktiviti sebelum dibenarkan menjalankan kempen kutipan derma. Langkah ini membantu memastikan hanya NGO yang sah dan aktif dapat menggunakan platform tersebut.
Bagi penderma pula, GiveMY menyediakan pengalaman menderma yang lebih mudah dan teratur. Pengguna boleh mencari kempen mengikut kategori, membuat sumbangan secara dalam talian, menyemak rekod sumbangan terdahulu serta memuat turun resit derma untuk simpanan sendiri. Selain itu, aplikasi ini turut menyediakan sistem notifikasi yang membolehkan penderma menerima maklumat terkini berkaitan perkembangan sesuatu kempen, termasuk ucapan penghargaan dan bukti pelaksanaan aktiviti selepas kempen selesai dijalankan.
Untuk menilai keberkesanan aplikasi ini, satu pengujian kebolehgunaan telah dijalankan melibatkan 30 orang responden. Pengujian tersebut menggunakan instrumen Post-Study System Usability Questionnaire (PSSUQ) bagi menilai tahap kepuasan pengguna terhadap fungsi dan reka bentuk aplikasi. Majoriti responden terdiri daripada golongan belia berumur antara 21 hingga 30 tahun. Hasil pengujian menunjukkan maklum balas yang sangat positif, khususnya dari segi kemudahan penggunaan aplikasi, fungsi semakan rekod sumbangan dan tahap ketelusan maklumat NGO yang dipaparkan. Secara keseluruhannya, responden bersetuju bahawa GiveMY berpotensi membantu meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap NGO dan sistem kutipan derma dalam talian.
Walaupun GiveMY telah berjaya dibangunkan sebagai satu platform yang membantu meningkatkan ketelusan sumbangan awam, beberapa cadangan penambahbaikan turut dirancang pada masa akan datang. Antaranya ialah penambahan fungsi ulasan dan penilaian pengguna terhadap NGO bagi membolehkan penderma berkongsi pengalaman mereka secara terbuka. Selain itu, aplikasi ini juga dicadangkan untuk menyokong log masuk menggunakan media sosial, menyediakan pilihan dwibahasa dan menambah elemen antaramuka yang lebih interaktif supaya pengalaman pengguna menjadi lebih menarik dan mesra pengguna.
KESIMPULAN
Secara keseluruhannya, GiveMY bukan sekadar sebuah aplikasi, tetapi satu inisiatif digital untuk memperkukuh kepercayaan masyarakat terhadap sistem sumbangan dalam talian. Dengan gabungan teknologi moden, ketelusan maklumat dan reka bentuk mesra pengguna, GiveMY berpotensi menjadi platform derma berpusat yang lebih selamat, efisien dan diyakini.
Selain itu, sistem ini juga berpotensi untuk diperluaskan penggunaannya di seluruh Malaysia serta dikelolakan oleh kementerian atau agensi kerajaan yang berkaitan bagi memastikan proses pengurusan dan kutipan derma dapat dipantau secara lebih sistematik, telus dan berintegriti. Pendekatan ini bukan sahaja dapat meningkatkan kepercayaan masyarakat, malah mampu membantu mengurangkan risiko penipuan, penyalahgunaan dana dan kempen derma palsu yang semakin berleluasa dalam platform digital masa kini.
Kata Kunci : Sumbangan, Aplikasi Derma Berpusat, NGO
Oleh :
Muhammad Ammar Najwan Bin Hafrulnizam, Noor faridatul Ainun Zainal
Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat, Universiti Kebangsaan Malaysia, 43650 Bangi Selangor
a195989@siswa.ukm.edu.my, faridatul@ukm.edu.my

